Rossa cari jodoh di Malaysia


DALAM kerjaya Rossa nyata sudah berada pada kedudukan paling selesa - tersohor di tanah kelahiran dan menempa tempat tersendiri di kalangan peminat muzik negara jiran, khususnya Malaysia.

Namun rona percintaan yang dilalui penghibur Indonesia itu tidak serancak kerjaya seninya, bermula dengan ikatan perkahwinan yang kecundang tatkala populariti memuncak dan kini dikhabarkan sedang berkasih bersama anak seorang tokoh politik terkenal di Jakarta pula menemui titik noktahnya.

Namun bagai tiada sisa duka pada wajahnya. Hanya tawa gembira selain celoteh bersahaja yang muncul satu persatu daripada bibir munggil pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani yang diterbangkan sekali lagi ke Kuala Lumpur memenuhi permintaan ramai.
“Ya, saya masih solo!” luahnya ringkas sambil tertawa besar apabila diminta mengulas lanjut desas-desus yang bertebaran terutama menerusi laman sosial mengenai kisah cintanya.
Mungkin dirinya sudah kebal melayani soal hati dan perasaan hingga tiada masa untuk meratapi nasib atau bermuram di atas perpisahan itu.

Rossa yang ditemui di sebuah puat membeli belah di Petaling Jaya ketika sesi bertemu peminat datang kembali untuk mengadakan persembahan eksklusif pada esok dan Jumaat ini di Tropicana Golf & Country Resort tampak seperti selalu - ceria!

Akui penyanyi lagu Pudar itu lagi, bersendirian tidak bermakna dirinya sunyi kerana di sekelilingnya ramai insan tersayang yang ada di sisi untuk melalui hari-hari indah, malah memenuhi undangan pentas hingga ke Kuala Lumpur juga membuatkan masanya sentiasa terisi.
“Saya sangat sibuk hingga tiada masa untuk bersedih. Sekarang saya masih mencari yang terbaik atau mungkin jodoh saya ada di Malaysia,” selorohnya lagi yang sememangnya cukup suka berjenaka.
Sememangnya, jika dihitung Kuala Lumpur sudah menjadi rumah kedua ibu kepada Rizky Langit Ramadhan kerana sejak awal tahun hingga kini sudah empat kali Rossa ‘turun’ ke negara ini dengan kunjungan terbaru April lalu untuk promosi album kompilasi, Harmoni: Jalinan Nada dan Cerita.

Senyuman terus mekar menguntum apabila membicarakan perihal anak tunggal hasil perkongsian hidupnya dengan bekas suami, Yoyo yang kini sudah memasuki alam persekolahan.

Walau masih terlalu muda, penyanyi itu cukup mementingkan pendidikan sahsiah diri buah cintanya apabila mendaftarkan si kecil menghadiri kem cuti sekolah sempena musim cuti persekolahan.
“Saya mahu dia merasai pengalaman istimewa - bermain dengan rakan sebaya dan mencuba bermacam perkara baru. Sekarang Rizky punya hobi menarik iaitu mewarna dan melukis dinding rumah,” kongsinya lagi sambil tertawa mengenang telatah anak kesayangannya.
Pada Julai ini genap dua tahun Rossa hidup sendirian namun biar apa pun dugaan, perceraian membuatkannya semakin tegar melayari kehidupan terutama sekali apabila membabitkan soal anak.

Selain keluarga, tumpuan penghibur berusia 32 tahun kini adalah merealisasikan pembikinan album solo membabitkan paduan suara dengan beberapa teman seangkatan dari negara jiran.

Walau rancangan yang dijangka mengambil masa setahun untuk disiapkan sesetengah pihak itu sebagai kerja gila, sebaliknya Rossa tidak peduli kerana itulah hajatnya selama ini.

Antara penyanyi yang bakal bergandingan dengan Rossa ialah Afghan yang juga rakan seperjuangan dari negaranya sendiri, selain Taufik Batisah (Singapura) dan penyanyi lelaki Taiwan, dari Malaysia pula adalah Anuar Zain.

Awal dulu Aizat antara nama yang disebut-sebut sebagai teman duetnya namun berikutan rancangan penyanyi muda itu mahu melanjutkan pelajaran di luar negara, hasrat itu terpaksa dilupakan.
“Memang Aizat calon awal tetapi disebabkan situasi tidak mengizinkan, saya yang sememangnya menyukai vokal Anuar Zain terus berbincang dengan penyanyi itu untuk merakamkan sebuah lagu lain yang khusus diciptakan untuk kami.

“Jika ikut perancangan, rakaman bersama Anuar dilaksanakan selepas Aidilfitri. Sekarang projek ini sudah dimulakan malah antara projek lain yang membuatkan saya sukar untuk duduk diam adalah single bersama Ungu berjudul Ku Pinang Kau Dengan Bismillah,” kongsinya lagi.
Mahu intim dengan peminat

Mengulas mengenai persembahan khas di Tropicana Golf & Country Resort, Rossa teruja untuk bertemu peminatnya kerana berasakan persembahan berkonsepkan makan malam itu lebih dekat dengan khalayak.

Selain rangkaian seleksi popularnya, dia bakal membawakan beberapa lagu daripada penyanyi tempatan termasuk dendangan Dayang Nurfaizah dan Anuar Zain yang disifatkan cukup istimewa.
“Boleh dikatakan malam itu nanti akan lebih Rossa. Sudah dua minggu kami berlatih dan tentu saja saya mahu lebih intim dengan peminat yang selama ini membuka pintu selebar-lebarnya untuk saya,” katanya.


Persembahan yang turut mendapat sokongan Badan Amal dan Kebajikan Isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) ini dijangka berlangsung satu setengah jam dengan menyampaikan hampir 20 lagu termasuk Aku Bukan Untukmu, Hey Ladies dan Atas Nama Cinta

Diminta mengulas perihal moral selebriti Indonesia khususnya membabitkan teman baik sendiri, Krisdayanti yang mengakui hamil sebelum nikah, secara jujur katanya artis bukan manusia sempurna dan ada kalanya terkhilaf.

Namun tambahnya lagi peminat semakin bijak membuat pertimbangan apabila hanya menyenangi karya seseorang bukannya mencontohi pelakuan atau sikap idola mereka dengan membabi buta.
______________________________________________________
Jangan lupe tekan iklan2 yg ada dalam blog ini..
Cukup lah hanya sekali..Terima kasih..
Please Click the advertisment.Once is enough.Thank You
______________________________________________________

Post a Comment

0 Comments