Walaupun Hafiz dinobatkan sebagai juara Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7) dan banyak pihak yang berpuas hati, namun keupayaan peserta yang berjaya meraih tempat ketiga, Akim, memang tidak dapat dipertikaikan.
Tampil cemerlang dengan kedua-dua persembahan, Akim bukan sahaja berjaya meraih sorakan hebat daripada peminat yang membanjiri Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur, malam tadi, malah juri pertandingan tersebut yang terdiri daripada Edrie Hashim, Datuk Khatijah Ibrahim dan Adlin Aman Ramlie juga kagum dengan kebolehan anak muda itu.
Malah Edrie Hashim tidak teragak-agak memberitahu secara terbuka, Akim mampu muncul sebagai juara jika diadili berdasarkan persembahannya pada malam itu. Ini membuktikan Akim memang mempunyai pesona seorang bintang muda.
Pada malam kemumcak itu, untuk persembahan pertama, Akim menyanyikan sebuah lagu baru, “Bengang”, ciptaan Amir dan lirik oleh SQ dengan cukup berkesan. Untuk persembahan itu Edrie Hashim menyatakan persembahan Akim seperti berapi dan meninggalkan impak.
"Berdasarkan persembahan tadi awak memang boleh jadi juara. Awak sebelum ini tidak menyerlah sangat tetapi pada malam ini awak telah membuktikan AF7 berjaya melahirkan banyak bintang yang berbakat besar. Lagu tersebut juga sesuai dengan awak dan penghayatan awak sangat bagus. Cuma di bahagian korus lagu, awak perlu control sedikit supaya ianya lebih baik," katanya.
Sementara itu, Adlin Aman Ramlie yang sentiasa mengharapkan persembahan luar biasa daripada peserta AF7 menganggap persembahan Akim dalam segmen pertama sebagai “boleh tahan”. Namun katanya untuk persembahan dalam sebuah konsert yang berskala besar seperti AF7, apa yang diberikan oleh Akim masih belum mencukupi untuk melayakkannya muncul sebagai juara pertandingan.
Tetapi Akim ternyata mampu memberikan persaingan sengit apabila dia muncul dengan konsep persembahan yang cukup menarik melalui lagu keduanya, “Bencinta” yang sebelum ini pernah dipopularkan oleh Faizal Tahir.
Dengan persembahan yang berkesan dan dramatik, Adlin Aman Ramlie ternyata berpuas hati dengan apa yang dihidangkan oleh Akim. Katanya, Akim memenuhi segala item yang perlu ada di dalam sebuah konsert besar seperti AF7.
Tambahnya sebagai seorang penyanyi, mereka tidak boleh muncul dengan persembahan yang hanya berbekalkan lagu dan mikrofon tetapi perlu tampil dengan konsep-konsep yang menarik seperti yang dilakukan Akim agar ia mampu memberikan impak serta menarik perhatian semua orang.
Komen Finalis Lain:
Aril - Saya memang tak sangka akan muncul menjadi naib juara pada malam ini. Apa yang penting, saya telah lakukan yang terbaik demi peminat saya yang telah mengundi saya hingga saya masuk kembali di dalam AF7. Saya harap semua pihak berpuas hati dan kepercayaan yang diberikan oleh peminat menjadi kekuatan diri saya pada malam ini. Yazid- Sama seperti peserta lain. Saya berterima kasih kepada tenaga pengajar dan peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan. Saya harap peluang saya untuk menonjolkan bakat saya akan lebih terbuka selepas ini. Isma - Walaupun saya mendapat tempat kelima tetapi saya tak rasa kecewa. Apa yang pasti selepas ini saya akan berusaha dengan lebih bersungguh-sungguh supaya apa yang yang saya cita-citakan selama ini akan berjaya dicapai.
0 Comments