Bak kata orang, manusia merancang, Tuhan menentukan. Bila Anding Indrawani Zaini menyertai musim kedua ‘Akademi Fantasia’ pada 2004, yang diharapkan adalah platform untuk menengahkan bakatnya sebagai seorang penyanyi-pemuzik. Sebaliknya apa yang berlaku di luar jangkaan beliau.
Walaupun minatnya dalam muzik, mengikuti jejak ibu dan kakaknya yang gemar menyanyi, bidang lakonan yang menjadi takdirnya. Sehingga kini, sudah 20 buah drama yang dibintanginya berbanding tidak ada satu pun album yang boleh dikatakan miliknya sendiri.
Kali terakhir dia muncul di dalam sebuah album adalah lima tahun lalu, album kompilasi yang menggabungkan para peserta AF2, di mana dia mendendangkan dua buah lagu – “Emosi dan Situasi” (lagu ensemble) dan “Ceria Bersamamu” duet bersama Edlin. Ingat lagi dia ketika itu mereka hangat diperkatakan media sebagai dilamun cinta.
“Saya memang menaruh hasrat untuk mengeluarkan album sendiri tapi saya tidak pasti bila, lebih-lebih lagi dengan keadaan pasaran album yang tidak menentu. Walaupun saya sudah lama menyepi dari bidang muzik namun saya tidak pernah berhenti menulis dan menggubah lagu.
“Jika ada peluang saya ingin mengeluarkan sebuah album bergenrekan jazz dan new soul. Saya pun tidak muda lagi jadi muzik yang diketengahkan tu perlulah bersesuaian dengan umur saya,” kata jejaka kelahiran Melanau-Bidayuh dari Bumi Kenyalang yang berusia 26 tahun itu.
Pelakon Tak Sengaja
Percubaan pertamanya dalam lakonan bukan sesuatu yang dirancangkan. Mengambil kesempatan demam AF yang melanda seluruh negara ketika itu, drama ‘Akademi’ (2004), arahan Rashid Sibir, diterbitkan, membariskan peserta-peserta AF.
Mengimbas kembali mutu lakonannya ketika itu, graduan UiTM dalam jurusan perfileman ini mengakui dia agak “bodoh”.
“Saya tahu teorinya tetapi secara praktikal dari segi ‘eye lines’ atau ‘conti’, saya memang bodoh. Ketika itu, tak terfikir pun saya nak jadi seorang pelakon. Bila disuruh menyertai ‘Akademi’, saya ikut saja.
“Kalau ditanya projek mana yang saya mula serius dalam bidang lakonan, semestinya filem ‘Gol & Gincu’ (2005). Saya pergi ke sesi casting, membuat latihan … dan bila saya ditawarkan watak dalam filem itu, walaupun saya tampil di dalam beberapa babak saja, saya begitu teruja sekali. Saya tak berkira pun pasal bayaran sebab ia peluang untuk bekerjasama dengan pengarah yang saya hormati, Bernard Chauly,” cerita Anding.
Selain Bernard, Ng Ping Ho seorang lagi pengarah kesukaannya. Mula meminati kerjanya dalam ‘Kopitiam’, tuah nampaknya berpihak kepada Anding apabila terbukanya peluang untuk dia bekerjasama dengan Ng dalam ‘Impian Illyana’.
Seronok Jadi Alam
Kerjasama itu dilanjutkan dalam ‘Ghost’ (2008), di mana Anding memainkan watak sampingan Syamir, seorang penyanyi baru bercita-cita tinggi yang ingin mengambil tempat Zack Imran, lakonan Nazrudin Rahman. Dan bila bermulanya pemilihan barisan pelakon untuk musim kedua ‘Ghost’, Ng sudah memutuskan watak Alam akan dimainkan Anding.
Oleh kerana tidak dimaklumkan Ng terlebih dahulu hasratnya untuk Anding membawa karektor Alam, kata Anding, pada hari ujibakat, watak yang menjadi sasarannya adalah watak Ridzuan (yang akhirnya dilakonkan Zahiril Adzim) kerana wataknya “dark, yang suka memendam perasaan”. Malangnya, dia tidak pandai bermain gitar. Jadi, bila disuruh mencuba karektor Alam, Anding membuatnya dengan separuh hati.
“Apabila mereka menelefon balik memberitahu yang saya mendapat watak Alam, saya terasa risau kerana bimbang tidak dapat menghidupkan watak itu dengan baik. Sebahagian persediaan saya termasuk menonton drama ‘Weeds’, ‘Heroes’ dan ‘Psych’, dan selama seminggu saya cuba menjadi Alam dalam realiti hinggakan housemate saya ingatkan saya ni sudah hilang akal. Hanya selepas beberapa minggu penggambaran baru saya merasakan yang saya berjaya menjiwai watak Alam,” katanya yang telah menolak lima projek lakonan kerana ‘Ghost 2’.
Cerita Anding lagi, dalam banyak-banyak watak yang telah dimainkannya sehingga hari ini, watak Alam yang paling disukainya dan dirasakan paling menyerlah bakat lakonannya. Jika dibaca maklumbalas pengikut ‘Ghost 2’ dalam forum, Alam juga antara watak kegemaran mereka.
“Saya tak sangka Alam akan menjadi begitu popular sehingga ada sekumpulan peminatnya telah memulakan Kelab Alam. Awalnya, bila saya habis membaca skrip, reaksi saya (terhadap Alam), ‘Poyo siot lelaki ni, berlagak, ego’ tetapi jelas dia mempunyai tarikannya tersendiri. Memang seronok menjadi Alam,” jelas Anding yang bakal memulakan penggambaran untuk sebuah drama terbitan Popiah Pictures (produksi sama yang menerbitkan ‘Ghost 2’) pada pertengahan bulan depan.
‘Ghost 2’ ke udara setiap Ahad, jam 10.30 malam di 8TV.
0 Comments