Benar-benar terharu dan berbesar hati Jatt, penyanyi lagu-lagu seperti “Untuk Ibu” serta “Si Gadis Ayu” dan juga muka depan BDB, di samping rakan-rakannya Razzi M., Masron, Hamid, James dan Michael diangkat ke Panggung Sari meraikan karier muzik mereka yang bermula lebih tiga abad dahulu dan berakhir di kemuncaknya pada tahun 1981.
Sehingga 7 Mei tempoh hari, Black Dog Bone sudah bertahun tidak mengadakan konsert berbayar yang sebesar ini. Malah, menurut tokoh rock terkenal, Aziz Bakar, yang memberi sepatah dua kata sebelum persembahan pertama Jumaat lepas, ahli-ahli BDB tidak memegang alat muzik pun sehingga bulan April, apabila undangan diterima daripada IB lalu dimulakan sesi latihan intensif BDB selama sebulan!
Dulu Dan Sekarang
Pada hari persembahan, cukup meriah sambutan dengan tiket yang ‘sold out’ dan ahli media dan orang kenamaan tempatan yang berpusu-pusu memenuhkan Panggung Sari. Dijajanya pula album-album BDB di luar panggung, seperti juga persembahan-persembahan konsert dan ‘funfair’ dahulu.
Nampak jelas bahawa konsert ini tidak memerlukan sebarang bantuan dari segi artikel dan sebagainya – berita kenaikan BDB ke tangga keramat IB sudah cukup perangsang bagi peminat lama mereka yang terdiri daripada generasi lingkungan umur 40 ke atas.
Jay Jay yang membuka persembahan dengan gayanya sekali nyata berbangga dengan jemputan ini, penyanyi bersuara emas itu tidak membuang masa menganugerahkan lapan lagu terkenalnya termasuk “Cukuplah Sekali”, “Rindu Bayangan”, “Permaisuriku” dan juga lagu terbesar Carefree yang dipopularkan kumpulan Innuendo, “Belaian Jiwa”.
Penyanyi pop/rock terulung itu, yang bermula sebagai penyanyi kumpulan Carefree, turut ditemani di atas pentas oleh Rahim Othman, rakannya dalam Carefree dan seorang lagi lagenda muzik yang dijulang kerana terbitan-terbitan kumpulan popular serta ciptaan-ciptaan lagu popularnya. Penampilan Rahim kali ini sebagai peniup seruling, dan segala pengalamannya menjalar indah melalui melodi-melodi yang merdu pada malam itu.
Duet dua lagenda ini diiringi Orkestra Simfoni Kebangsaan dan juga gabungan pemuzik-pemuzik muda dan juga senior seperti Fly dan Abang Tom Headwind.
Sepanjang konsert, gimik-gimik seperti penari disko serta klip-klip video lama dipetik daripada arkib Carefree, Jay Jay, dan semestinya, BDB, mengembalikan memori ibubapa kita bercinta zaman 70-an dahulu.
Malam Kenangan
Repertoir BDB pula pastilah terdiri daripada lagu-lagu dari katalog mereka sendiri, dan senarai lagu pada malam itu merangkumi karier pendek mereka yang berakhir dengan populariti yang mencecah hingga ke Eropah pada awal dekad 80-an.
Walau susah untuk memilih diantara 18 lagu hit yang dipersadakan secara akustik dan elektrik di pentas Panggung Sari selama tiga malam itu, lagu-lagu berkualiti universal BDB seperti “Untuk Ibu”, “Bila Rindu” dan “Hatiku Luka Lagi” melekat di nurani setelah menjejak pulang dari konsert.
Lagu “Dulu dan Sekarang” pula bagaikan imbasan yang begitu relevan pada hari ini dalam sejarah BDB, sebuah institusi yang begitu dihormati dan disayangi pendengar dan pencinta muzik di Malaysia. “Malam Kenangan” yang membuka persembahan dengan begitu ‘grand’ sekali juga memberikan kesan yang sama.
“Jangan Lukakan Hatiku Lagi” yang cukup berhantu, walaupun tidak ‘menjelma’ kali ini, pasti di hati setiap peminat setia yang hadir di Panggung Sari, manakala lagu-lagu ‘darah muda’ BDB seperti “Geram”, “Joget Bujang Di Rantau” dan “Rilek” pula memberikan kerancakan dan tenaga yang tidak dijangka oleh pemuzik yang tidak semuda dahulu.
Antara lagu-lagu lain yang disampaikan oleh Jatt dan sahabat-sahabatnya di IB termasuklah “Zai”, “Lupakan”, “Diganggu Kenangan”, “Sayang”, “Nasi Goreng”, “Nani Adikku Sayang”, “Joget Hati Jujur”, “Bahagia Dan Derita” dan “Khayalan”, kesemuanya berbaloi dibayar sehingga RM200 untuk menghayatinya.
Dua jam lima belas minit tanpa intermisi, konsert tanpa henti ini menandakan satu pencapaian bagi karier Jatt dan BDB, serta tetamu-tetamu mereka. Dengan iringan orkestra mantap dan susunan-susunan moden yang melangit, dilengkapi pula dengan fasiliti persembahan bertaraf antarabangsa IB, BDB pada hujung minggu lepas menyertai liga lagenda seni muzik rantau ini.
Bakal dikeluarkan sebuah video Konsert Black Dog Bone Bersama Jay Jay, Rahim Othman dan Orkestra Simfoni Kebangsaan ini untuk mengenangi detik indah kumpulan BDB serta peminatnya dan teramatlah patut – semangat BDB kini telah diperbaharui dan disemarakkan semula dengan begitu bermutu sekali.
0 Comments