Murah Rezeki Yana Selepas Berpisah


Bila ditawarkan KRU Studios watak Suri dalam drama ‘Bio-Nik’, Norliana Samsudin memang teruja kerana dapat juga karektor idamannya, walaupun boleh dikatakan ia satu pengalaman yang agak ‘menyakitkan’. Semuanya gara-gara berlawan dengan Kamal Adli.

“Dapat memainkan watak antagonis sememangnya idaman saya. Suri memiliki kuasa medan magnet. Seperti Kamal, saya juga perlu melakukan stunt sendiri. Ini kali pertama saya melakonkan sebuah cerita aksi. Badan tu adalah sakit-sakit kerana perlu berlawan dengan Bio-Nik tapi memang seronok,” cerita Yana yang mengakui dirinya seorang yang lasak.


Tambahnya, pihak produksi telah meyaksikan lakonannya dalam ‘Histeria’ sebelum menawarkannya watak Suri, yang akan muncul dalam musim kedua ‘Bio-Nik’.

Diakui Yana, sejak kemunculannya dalam ‘Histeria’, tawaran lakonannya semakin bertambah hinggakan tiada masa untuk mengarah. Selain membintangi ‘3 Janda’, dia bakal sibuk dengan penggambaran ‘Lu’Lu’ dan ‘etoyol.com’. Namun kritikan yang diterima untuk ‘Selamat Pagi Cinta’ tidak mematahkan semangatnya untuk mencuba lagi.

“Masa itu, saya cuma 23 tahun dan baru pertama kali menjejakkan kaki dalam bidang pengarahan. Saya menerima kritikan yang diberi,” kata graduan UiTM dalam jurusan seni layar ini, yang memberitahu filem tersebut berjaya mencatat kutipan sekitar RM1juta.

Untuk projek arahan keduanya, skripnya sudah ada, karya panel MiG yang bertajuk ‘Cinta Alam Maya’, sebuah filem bergenrekan ‘love thriller’. Ia menceritakan tentang pasangan bahagian Alam dan Maya. Perhubungan mereka diuji apabila Alam mulai rapat dengan seseorang di alam maya.

Untuk watak heroine-nya, Yana nekad inginkan Lisa Surihani tetapi disebabkan jadualnya yang padat, penggambaran terpaksa ditangguhkan. “Sepatutnya penggambaran sudah bermula bulan ini tapi kami perlu tangguhkan. Saya pun tak mahu benda ini ‘rushing’ jadi kami akan duduk semula dan aturkan jadual.”

Tuah berpisah dengan Pierre
Nampaknya, ada kebenaran kepada apa yang dikatakan bekas kekasihnya, Pierre Andre pada awal perpisahan mereka dulu. Jika tidak berpisah, mungkin Yana tidak akan mengecapi kejayaan yang ada sekarang ini. Dedah Yana, Pierre masih ada menelefonnya, bertanyakan khabar.

“Dia orang yang pernah saya sayang. Saya masih sayang dia sebagai sahabat. Saya juga gembira melihatnya sudah stabil.” Tambahnya lagi, keputusan Pierre ke Indonesia bukan kerana merajuk atau ingin meninggalkan terus industri seni tanahair, tetapi ingin mengembangkan kerjaya seninya di sana.

“Katanya, penerimaan terhadapnya di sana baik selepas (filem) ‘Teman Selamanya’. Jadi, mengapa tidak mengambil peluang ini? Dia muda lagi dan saya percaya dia dapat bangkit semula. Dia mampu bertapak sendiri.”

Ditanya jika sudah terbuka hatinya untuk bercinta semula, jawabnya, “Saya berjanji kepada diri saya, selepas tamat pengajian saya akan tumpukan dua tahun pada kerjaya saya untuk pergi all out.

“Selepas itu, jika bertemu jodoh, baru saya akan bukakan hati saya. Ada masa satu setengah tahun lagi,” katanya tersenyum

Post a Comment

0 Comments