Terminator: Salvation


Filem:
Terminator: Salvation

Barisan Pelakon:
Christian Bale, Sam Worthington, Moon Bloodgood, Bryce Dallas Howard, Anton Yelchin, Jadagrace, Common dan Helena Bonham Carter

Genre:
Aksi, Francais

Ulasan:
Kegelapan dan kecemasan yang jarang ada semenjak filem ‘Aliens’, ‘Terminator: Salvation’ ataupun ‘T4’ memperbesarkan unsur-unsur asing yang lebih pintar dan lebih ‘superior’ daripada kita, diolah di sini sehingga benar-benar seperti boleh mengancam dan meluputkan manusia. Bunyi robot terminator besar jenama “Hunter-Killer” berjalan-jalan mencari mangsa rasa seperti bunyi akhir zaman dialami dalam stereo – nak pecah dada gua cakap lu!

Bawaan watak penyelamat manusia John Connor oleh Christian Bale juga meletup-letup di layar perak, serius dan dramatis diseimbangkan dengan aksi fizikal yang bukan calang-calang. Settingnya di tahun 2018, apabila John yang sudah besar panjang tampil ke depan di era nazak peperangan manusia-mesin sebagai penghulu gerakan Resistance yang mementingkan kesinambungan kaum manusia. Protagonis kedua yang akhirnya memainkan peranan terpenting kali ini ialah Marcus Wright (Sam Worthington), manusia separuh siborg dari masa silam.

Dengan hanya berpandukan berpuluh-puluh mesej kaset ditinggalkan oleh ibunya yang hilang, Sarah Connor, dan juga rakan karib/pegawai kanannya Barnes (Common), John tiada pilihan tetapi untuk meneruskan tanggungjawab beratnya sebagai ketua umat-umat manusia yang tinggal di Bumi dalam memerangi komplot dan dominasi Skynet, institusi teknologi durjana yang merekacipta mesin-mesin kemusnahan ini. Premis ini yang mungkin membuatkan ‘T4’ seperti sebuah peristiwa benar yang boleh terjadi tidak lama lagi.

Walaupun peluangnya tipis, dihadapkan dengan kemusnahan, ketidakstabilan sains dan teknologi, ekonomi dan politik serta asakan tanpa belas kasihan robot-robot T-1000, T-800 dan T-600 (yang direka berdasarkan rupabentuk fizikal Arnold Schwarzenegger, ‘Terminator’ terunggul), John tetap kental dengan misinya mencari Kyle Reese (Anton Yelchin), seorang remaja ‘survivor’ yang dipercayai habis-habisan oleh John sebagai kekunci penyelamat umat tetapi berada di luar kawasan manusia bersama seorang budak jagaannya yang bisu, Star (Jadagrace).

Untuk cuci mata kali ini, kita ada Moon Bloodgood sebagai pegawai Resistance dan pilot cun bernama Blair, dan juga Bryce Dallas Howard selaku isteri John yang mengandungkan zuriatnya (jika ada sekuel, pasti menariklah jawabnya). Namun kehadiran Bloodgood di skrin berat dan menyerlah, manakala Howard (‘Lady In The Water’ serta Gwen Stacy dari ‘Spider-Man 3’) juga memainkan peranan. Si montel Jadagrace juga pasti menyentuh hati dengan peranannya sebagai Star.

Muzik oleh komposer filem moden terulung, Danny Elfman, tidak mengecewakan, malah mengagumkan dalam kapasitinya membesarkan cerita dan visual-visual luarbiasa yang bakal menunggu kita untuk ‘T4’. ‘Salvation’ boleh dikatakan antara filem terbaik arahan McG, yang mencipta nama dalam arena muzik video sebelum ini. Sekuens aksi di dalam filem ini tidak perlu digembar-gemburkan, hanya perlu disaksikan sendiri keseniannya di sebalik deruman mesin industrial, api dan kegelapan.

Sedikit Fakta & Renungan:
• Mesin-mesin Skynet di masa depan yang kita lihat kali ini termasuk model Hunter Killers ataupun HKs, terminator berbentuk kapal terbang; Moto-Terminators, berbentuk motosikal; Harvesters, yang paling digeruni kerana ia bagak dan tugasnya mengumpul manusia untuk penyelidikan; Hydrobots yang mengawal di dalam air; Aerostats yang berterbangan merata-rata selaku robot pengintip gerakan Resistance; dan juga Transports, kapal-kapal besar separuh robot yang menggerakkan manusia banduan ke hulu ke hilir.

• ‘Terminator: Salvation’ berlangsung ketika permulaan perang manusia-mesin, jadi robot terminator yang dicipta Skynet merupakan model T-600, lebih awal daripada T-800 model dipopularkan oleh Arnold. Model T-600 secara amnya lebih besar, lebih jahat tetapi tidak sepintar robot Arnold ataupun T-100 dari ‘T2’ dan T-X dari filem ‘T3’.

• Menurut pengarah, McG, ‘Terminator: Salvation” ialah sebuah cerita dua takdir bertembung. John Connor adalah sebahagian daripada Resistance yang dianggotai oleh insan berlainan warna dan agama di dunia, jadi filem ini lebih daripada Los Angeles sahaja, malah ia mencerminkan krisis global umat manusia, melalui metafora perang masa depan dengan mesin.

• Kata Bill Wisher pula, yang menulis lakonlayar ‘T2’ bersama pengarah James Cameron, cerita ‘Terminator’ ada persamaan dengan ‘It’s A Wonderful Life’ kerana ia mengatakan bahawa hidup anda bermakna – di permukaan anda adalah ‘nobody’, tapi pada masa yang sama sesiapa sahaja boleh menjadi orang paling penting di dunia.

Post a Comment

0 Comments