Tiz Zaqyah Razak, nama ini mungkin masing asing lagi di kalangan peminat hiburan tanah air. Maklumlah, gadis ini merupakan pendatang baru yang masih mencari-cari tapak untuk melebarkan sayapnya dalam dunia lakonan.
Pertama kali bersua dengannya, GUA sendiri tertanya-tanya siapakah gerangan gadis berkulit cerah ini. Rasa macam pernah terlihat kelibatnya di mana-mana, tetapi tidak pasti pula di mana. Bagi menjawab persoalan yang bermain di fikiran, GUA bertemu gadis ini untuk mendapatkan jawapan.
Menurut pelakon yang lebih mesra dengan panggilan Tiz ini, dia pernah muncul dalam drama bersiri ‘Gol & Gincu’ dan ‘Impian Illyana’ tidak lama dahulu. Dalam ‘Impian Illyana’, dia memegang watak Ika, rakan sebilik Illyana di kolej. Oh! patutlah GUA macam pernah melihatnya.
Lakonannya agak bagus walaupun hanya memegang watak pembantu. Lenggok tubuhnya memberitahu yang dia memang selesa dengan lakonan. Mungkin ini yang dapat dilihat oleh sutradara Khabir Bhatia apabila menawarkan watak utama kepada Tiz untuk drama terbarunya yang berjudul ‘Nur Kasih’. Untuk drama ini Tiz telah digandingkan bersama Remy Ishak dan Fiz Fairuz.
Hendak tahu apa watak yang dipegang oleh Tiz? Dia memegang watak Nur Amina, seorang gadis yang taat kepada agama dan ibu bapa. Dia juga seorang yang lemah-lembut dan bercita-cita tinggi tetapi terpaksa melakukan pengorbanan besar demi menjaga hati kedua ibu bapa. Nur Amina terpaksa berkahwin dengan seorang lelaki yang jahil tentang agama dan tidak menyintai dirinya.
Bercerita kepada GUA ketika majlis pelancaran drama ini kelmarin, Tiz memberitahu yang dia sebenarnya bagaikan tidak percaya apabila watak Nur Amira diberikan kepadanya.
“Pertama kali mendapat tahu yang saya berjaya mendapat watak Nur Amira, saya rasa macam tidak percaya dan berasa agak takut kerana ini pertama kali saya memegang watak utama. Bukan setakat itu, watak ini juga berat kerana ia banyak bermain dengan perasan. Bukan seperti watak-watak yang pernah saya lakonkan sebelum ini. Selain itu, saya juga perlu memakai tudung bagi menjayakan drama ini. Tapi perkara ini tidak menjadi masalah, saya anggapnya sebagai satu cabaran,” jelas Tiz.
Dalam pada itu, Tiz turut diminta berkongsi pengalamannya bekerja dengan Khabir Bhatia. Ini kerana ramai yang sudah maklum, pengarah yang tidak boleh berbahasa Melayu ini agak sukar untuk dipuaskan hatinya.
“Saya senang bekerja dengan Khabir. Dia banyak memberi tunjuk ajar dan banyak ilmu yang telah saya perolehi daripadanya. Kalau saya tidak faham tentang sesuatu, Khabir boleh dibawa berbincang dan dia juga mahu mendengar pendapat orang lain. Setakat ini saya memang tiada masalah dengan Khabir. Malah, saya berasa cukup bertuah kerana bukan mudah mendapat peluang berlakon di bawah pengarah bernama besar ini,” tambah pelakon yang mengakui sukar melakonkan babak-babak menangis ini.
Sementara itu, sebagai seorang pendatang baru sudah pastilah Tiz akan diminta bercerita tentang harapannya dalam dunia lakonan dan ini jawapan yang diberikan oleh Tiz.
“Saya harap kerjaya dalam bidang lakonan ini akan terus berkembang sehingga boleh meletakkan nama saya sebaris dengan pelakon-pelakon yang ada sekarang ini. Saya ambil serius dengan kerjaya ini dan kalau boleh saya mahukan jadi yang terbaik di kalangan yang terbaik.”
Bagi yang ingin melihat sejauh mana kebolehan gadis ini berlakon jangan lupa saksikan ‘Nur Kasih’ bermula hari ini, jam 9 malam di saluran TV3.
0 Comments