‘Happy’ Cara Amy Mastura


Gaya lincahnya tidak pernah berubah biarpun dalam usia 38 tahun dan mempunyai dua cahaya mata. Mungkin itulah keistimewaan Amy Mastura yang sememangnya cukup terkenal dengan sifat ‘happy-go-lucky’nya.

Sifat periang Amy bukan sahaja disenangi peminat yang mula mengenalinya sejak memenangi ‘Asia Bagus’ pada tahun 1993, malah peminat generasi muda juga tidak janggal untuk mendekati penyanyi ini.

Bercerita mengenai karier penyanyi ini, pasti ramai tahu lagu-lagu Amy seringkali menjadi pilihan anak muda yang gemarkan lagu-lagu berentak ceria. Memang tidak salah andai lagu Amy sering keudara di pesta muda-mudi sekitar ibu kota terutamanya lagu “Sha Na Na” dan “Cinta”.

Album Baru
Walaupun pasaran album tempatan kurang memberangsangkan, itu bukan alasan untuk tidak menerbitkan produk baru. Sebagai penyanyi yang sudah bertapak sejak 16 tahun lalu, itu alasan remeh yang tidak harus diperbesarkan.

Selepas album terakhirnya, ‘Lebih Baik’ pada 2005, Amy Mastura lebih memfokus kerjaya lakonan serta menjadi jurucakap beberapa produk. Hasrat untuk memiliki album baru akhirnya dimakbulkan apabila ‘Happy’ dipasarkan Mei 2009.

Malah Sony Music tidak teragak-agak memberi peluang kepada artis naungannya itu memilih penerbit dan mencipta lagu dalam album terbarunya.

“Terima kasih kepada Sony Music kerana mempercayai bakat yang ada pada Amy, malah mereka juga memahami corak nyanyian dan cara Amy Mastura. Pada mulanya mereka mahu Amy cipta dua lagu, tapi akhirnya menjadi lima,” terangnya yang mencipta lagu pertama, “Sha Na Na”.

Album ‘Happy’ jujurnya menyampaikan bingkisan hati Amy Mastura buat peminat-peminat yang selama ini teguh berdiri di belakangnya. Malah, ‘Happy’ juga antara tanda terima kasih kepada peminatnya.

Kembali bekerjasama dengan penerbit Goh Boon Hoe, orang yang bertanggung jawab menerbitkan dua album awal, ‘Amy Mastura’ dan ‘Pujaanku’.

“Sambutan terhadap lagu-lagu daripada dua album ini memang baik, jadi pihak Sony mencadangkan agar Amy merakamkan lagu-lagu seumpamanya dan Goh Boon Hoe selayaknya menerbitkan ‘Happy’,” katanya.

Lima lagu ciptaan Amy ialah “Langkah Dihatimu”, “Lagu Happy”, “Dingin Malam”, “Ini Kasihku” dan “Mencapai Bintang”.

“Sembilan lagu dirakam di Jakarta kerana Boon Hoe mempunyai studio di sana. Sepanjang proses rakaman selama lebih seminggu, tidak banyak masalah dan kami semua happy sahaja. Timbul idea untuk menamakan album ini Happy,” akuinya.

Proses mencipta lagu tidak memerlukan masa yang panjang buat Amy. Ketika diminta membuat lagu untuk album terbaru Ogos 2008, Amy terus memulakan langkah mencipta melodi dan lirik.

“Amy bukan jenis orang yang mencipta kemudian menyimpannya. Sebaliknya apabila diminta menyiapkan lagu, terus Amy melakukannya,” tambahnya.

Selepas ‘Happy’ muncul, Amy mula merangka jadual untuk bertemu peminat di seluruh negara, dan berharap dapat menghiburkan peminatnya. Malah tidak mustahil dia bakal muncul dengan konsert mini seperti yang pernah dilakukan sebelum berkahwin dulu.

Amy juga selesai menjalani penggambaran klip video ‘Happy’ yang diarahkan Aben, pengarah drama bersiri ‘Comel’.

Keluarga bahagia
Kehadiran dua cahaya mata, Adriana, 8 tahun dan Adalia, 4 tahun menjadi pelengkap hidup Amy dan suami, Mohd Sufian. Malah kata Amy, hidupnya bertambah gembira dengan kehadiran anak-anak yang kini semakin membesar.

Walaupun suaminya bertugas di pelantar minyak dan pulang dua minggu sekali, itu bukan penghalang hubungan mesra antara mereka.

“Biasalah, kalau dah berkumpul, aktiviti wajib kami makan bersama. Ada ketikanya keluar bercuti, sama saja macam orang lain,” kata Amy yang menunggu filem terbarunya ‘Hooperz’ ditayangkan.

Post a Comment

0 Comments