Lakonan Pertama Lisdawati Yang ‘Gila-Gila’


Sebelum ini, memang pernah kedengaran gosip yang mengatakan perkahwinan pelakon Fauzi Nawawi dan isteri, aktres Lisdawati mengalami masalah. Namun baik Fauzi mahupun Lisda, masing-masing menafikan tentang khabar angin tersebut.

Bagaimanapun, masih ada pihak yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan dengan menyatakan mereka berdua hanya 'berlakon' bahagia di depan pihak media. Hakikatnya hubungan mereka ibarat retak menanti belah.

Ternyata spekulasi tersebut tidak benar sama sekali apabila Fauzi dan Lisda tampil sebagai pasangan suami isteri melalui filem pendek ‘Buih-Buih Cinta’, yang diarahkan pengarah berbakat besar, Osman Ali.

"Hubungan kami tetap baik sehingga kini. Sebagai suami isteri kami sentiasa cuba mengelakkan daripada berlakunya perselisihan faham. Jika kami ada masalah pun hanya berkaitan kerja dan kami akan cuba menyelesaikannya sebaik mungkin," ujar Lisda yang lebih senang bercerita tentang filem ‘Buih-Buih Cinta’ daripada perkara yang berkaitan dengan kehidupan peribadinya.

Ditanya tentang filem tersebut, Lisda dan Fauzi yang pernah berlakon bersama di dalam beberapa buah drama sebelum ini memberitahu mereka senang apabila digandingkan berdua dan berharap gandingan terbaru mereka itu akan diterima baik oleh peminat.

Tambahnya dalam filem tersebut dia memainkan dua watak iaitu sebagai Lolly dan Soraya, isteri kepada Sidek, lakonan Fauzi. Sebagai Soraya, dia sentiasa memendam perasaan dan makan hati dengan karenah Sidek yang berubah selepas beberapa tahun berkahwin.

Ini kerana Sidek walaupun telah berkahwin dengan Soraya, masih tetap terkenangkan bekas kekasihnya, Mila. Malah walaupun mereka berdua telah dikurniakan seorang anak, ingatan Sidek terhadap Mila tetap sukar untuk dilupakan.

Demi menggembirakan Sidek, Soraya mengikut cakap jirannya, Diana (Vanidah Imran) agar berubah imej. Soraya yang sebelum ini selesa berbaju kurung longgar mula mengubah penampilannya dengan pakaian trend terkini disertai dengan solekan tebal dan rambut palsu. Dengan gaya barunya itu, Soraya berubah menjadi Lolly.

"Menjayakan watak sebagai Soraya dan Lolly memang sangat mencabar bagi saya. Selama lapan tahun bergiat aktif sebagai pelakon, ini merupakan lakonan pertama saya yang saya anggap sebagai 'gila-gila'. Itulah sebabnya saya menerima tawaran ini kerana beranggapan tawaran sebegini bukan selalu diterima.

"Oleh sebab tidak biasa menjayakan watak sebegitu, saya banyak membuat 'homework' dan berbincang dengan pengarah agar lakonan yang saya tampilkan menepati kemahuannya. Mujurlah semasa proses penggambaran, semuanya berjalan lancar," jelas Lisda yang sebelum ini pernah berlakon di dalam filem ‘KL Menjerit’ dan ‘Syaitan’ di samping Rosyam Nor.

Di samping itu katanya, kebebasan yang diberikan oleh pengarah kepadanya untuk mencorakkan watak Soraya dan Lolly memberikannya peluang untuk lebih kreatif dan bersahaja. Ini kerana dia dibenarkan menambah beberapa dialog yang diarasakan sesuai dan dapat menarik perhatian penonton.

"Osman Ali selalu suruh saya gambarkan watak seperti Sarimah Ibrahim. Tetapi apa yang sukar, saya perlu lebih 'over' daripada Sarimah. Memang adakalanya saya malu kerana tidak pernah menjayakan watak sebegitu, namun inilah cabaran bila saya bergelar pelakon dan saya berusaha melakukan yang terbaik," katanya yang pernah menjuarai program realiti ‘Sehati Berdansa’ musim ke-2 sebelum ini.

Filem pendek ini merupakan sebuah filem romantik tentang hubungan suami isteri dalam masyarakat Melayu masa kini yang diinspirasikan daripada cerita yang dihantar oleh wanita Malaysia dalam peraduan Mandi Susu Johnson's Baby Milk Bath 'Suami & Si Manja Semakin Sayang'.

Filem ini memaparkan dua cerita yang diinspirasikan daripada dua pemenang peraduan iaitu Ezna Ahmad Khalili, 33, dan Jamakyah Ahmad dan bakal ditayangkan di TV3 tidak lama lagi.

Post a Comment

0 Comments