Mentor 3: Black Terus Cemerlang


Konsert kedua kumpulan B ‘Mentor’ musim ketiga berlangsung dalam suasana meriah di Auditorium MBSA Shah Alam malam tadi. Sekali lagi, protégé Mas Idayu, Black beraksi cemerlang di pentas ‘Mentor’ musim ini. Memulakan persembahan pertama dengan lagu “Ku Telah Jatuh Cinta”, nyanyian Agnes Monica, Black sedikitpun tidak menampakkan kecacatan dari segi persembahan serta vokal. Berilah apa sahaja lagu, lontaran vokal Black sungguh jelas walaupun ketika dia ligat menari, jelas anak muda ini begitu bersemangat dan bersungguh-sungguh dalam membuat persembahan. Seperti minggu sebelumnya, protégé kumpulan A perlu berduet bersama rakan-rakan dari kumpulan B dan minggu ini protégé kumpulan B meneruskan persembahan mereka dengan diiringi rakan-rakan kumpulan A. Persembahan Black bersama kumpulan Evo mendendangkan lagu nostalgia, “Srikandi Cintaku”, nyanyian Bloodshed, memperlihatkan kehebatan berterusan anak muda ini sekaligus menenggelamkan persembahan sokongan daripada Evo yang lebih bervokal harmoni. “Saya kagum dengan vokal Black terutamanya ketika lagu solo. Lontaran vokal Black adalah yang terbaik pada malam ini,” itu antara komen Adnan Abu Hassan selaku juri professional untuk minggu ini. Malah kata-kata Adnan turut disokong penyanyi lagenda, Datuk David Arumugam yang turut menjadi juri perofesional. Sebagai peserta yang mendahului kumpulan B, Black masih bertahan dengan markah mingguan sebanyak 77.4 peratus sekaligus mengumpul jumlah markah keseluruhan sebanyak 149.5 peratus, tertinggi untuk ‘Mentor’ musim ketiga setakat ini.

Thye mula mendaki
Jika pada minggu pertama konsert mingguan kumpulan B, protégé Adibah Noor, Thye teruk dikritik juri profesional, itu bukan alasan untuk terus murung. Berbekalkan semangat dan harapan menggunung, Thye bangkit untuk menebus kekalahannya sebelum ini. Lagu berirama etnik kreatif, “Selasihku Sayang” dan “Zapin Hari Ribut” menjadi pilihan jejaka Kota Belud ini. Walau bagaimanapun, lagu duet bersama protégé kumpulan A, Chaq, melalui lagu “Pilihlah Aku” tidak menampilkan sebarang keistimewaan vokal. Baik Adnan mahupun David, kedua-duanya bersetuju vokal Thye tenggelam ketika menyanyikan lagu duet. “Suara Thye lunak terutamanya ketika menyanyikan lagu “Selasihku Sayang” namun untuk lagu duet, suara Thye kurang jelas, mungkin kerana key lagu itu terlalu rendah,” kata Adnan. “Lagu pertama Thye sungguh cantik dan unik, mungkin kerana diiringi penari latar, tetapi saya dapat rasakan pitching suara awak lari untuk lagu kedua,” tambah David. Minggu pertama Thye perlu berpuas hati dengan markah 45.0 peratus sahaja, seharusnya dia patut berasa bangga kerana juri awam memberikan markah tertinggi dalam sejarah ‘Mentor 3’ iaitu 19.0 dan jumlah markah konsert minggu kedua ini sebanyak 65.2 peratus. Thye berjaya mengumpul markah keseluruhan sebanyak 110.2 peratus.

Vokal Keena kurang menyerlah
Sejak konsert minggu pertama lagi, kekuatan vokal Keena kurang menyerlah. Sehingga konsert minggu kedua malam tadi, suara Keena seakan-akan tenggelam lebih-lebih lagi ketika berduet bersama protégé kumpulan A, Fira melalui lagu rock Search dan Wings, “Gemuruh”. Persembahan duet jelas menampakkan Keena tenggelam dengan kehebatan vokal Fira yang jauh lebih lantang. Malah, persembahan solonya melalui lagu “Tak Ada Logika”, nyanyian Agnes Monica, Keena hanya menyerlah dengan tarian serta penari-penari yang mengirinya. Sayang sekali, Keena sepatutnya lebih menonjolkan vokal berbanding tarian. Setelah dua minggu membuat persembahan, Keena hanya mampu mengumpul jumlah markah keseluruhan sebanyak 101.3 peratus. Minggu ini, Keena mengumpul markah 52.4 peratus, menjadikan markah paling sedikit untuk minggu ini.

Peluang terakhir
Setiap kumpulan diberi tiga peluang untuk membuktikan kehebatan persembahan serta meraih undi penonton. Ini bermakna hanya tinggal satu konsert sahaja untuk setiap peserta. “Selepas ini masih ada satu lagi peluang kepada semua peserta untuk membuktikan kehebatan masing-masing. Minggu depan merupakan peluang terakhir bagi protégé kumpulan A menunjukkan kehebatan masing-masing dan markah terkumpul selepas persembahan pada minggu depan bakal menentukan siapa layak untuk terus berada di pentas ‘Mentor’ dan siapa pula bakal tersingkir,” kata penerbit dan pengarah ‘Mentor 3’, Muhamad Sufian Isa. Pembahagian markah ‘Mentor’ musim ketiga ini dibahagikan kepada tiga bahagian iaitu 50 peratus daripada juri profesional, 30 peratus daripada undian SMS dan 20 peratus daripada juri awam.

Post a Comment

0 Comments