Polis mengesahkan pihaknya menerima panggilan sekitar 12.15 tengah hari mengenai kes curi yang melibatkan penyanyi itu di Lorong 24 Geylang. Menurut pelakon bebas Singapura yang berusia 26 tahun itu, penyanyi rok itu tiba di Singapura dan menginap di rumahnya sejak 3 November lalu.
Pada sekitar 8 pagi 14 November lalu beliau mendapati penyanyi Malaysia itu telah menghilangkan diri dan telefon bimbitnya itu turut hilang. Usaha artis Singapura itu menghubungi telefon bimbitnya serta penyanyi itu tidak membuahkan hasil.
'Saya mula mengesyaki dia yang mencuri setelah teman wanitanya yang tidak pernah saya kenali mengirimkan SMS kepada rakan saya untuk memberitahu nombor telefon barunya. Namun, nombor itu sebenarnya nombor telefon bimbit milik saya,' ujarnya.Artis Singapura itu pula mendapat tahu penyanyi itu akan ke Sims Lane untuk mengambil barangnya dan terserempak dengannya pada sekitar 11 pagi. Beliau mengekori penyanyi itu hingga ke Lorong 24 Geylang, dan dengan bantuan rakannya, memaksanya masuk ke dalam kereta rakannya itu. Mereka menghubungi polis.
'Di dalam kereta, dia merayu kepada saya supaya melepaskannya. Katanya dia perlukan wang kerana bekas isteri dan anaknya sakit,' kata pelakon Singapura itu lagi.Menurutnya, penyanyi itu dikatakan merancang mengeluarkan album di bawah kontrak dengan syarikat rakaman setempat tetapi menghadapi masalah untuk menerbitkannya.Penyanyi Malaysia itu kini ditahan di Balai Polis Bedok.
0 Comments