Di luar jangkaan! Itulah yang  dapat disimpulkan apabila melihat  sambutan 'dingin' yang diberikan para  peminat terhadap konsert yang  menggabungkan dua 'gergasi' band indie  tempatan, 'Hujan vs Bunkface'  yang diadakan di KL Life Centre, Sabtu  lepas.
Walaupun tidak sampai 300 peminat yang hadir menyaksikan  konsert yang  diadakan dua malam berturut-turut itu, namun Hujan dan  Bunkface seperti  biasa, tetap memberikan persembahan terbaik mereka.
Kehadiran  peminat yang boleh dianggap lesu pada malam pertama konsert  tersebut,  sedikitpun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus  beraksi pada  malam kedua.
Hujan dan Bunkface ketika diminta mengulas mengenai  isu tersebut  memberitahu, keadaan cuaca, 'World Cup' serta konsert yang  diadakan dua  malam berturut-turut mungkin menjadi punca senario  tersebut terjadi.
"Pada malam ini mungkin kurang peminat yang  hadir kerana hujan, tetapi  malam esok kami yakin lebih ramai peminat  yang akan menyaksikan  persembahan kami.
"Tidak dinafikan 'World  Cup' yang kini sudah sampai ke kemuncaknya juga  menjadi faktor mengapa  orang malas untuk keluar rumah. Tetapi bagi kami  ini bukan satu masalah  kerana menyanyi dan bermain muzik adalah minat  kami.
"Jadi jika  seorang sahaja penonton yang hadir pada malam ini pun, kami  akan tetap  memberikan persembahan terbaik," ujar Sam yang mewakili  kumpulan  Bunkface.
Katanya dia begitu teruja kerana dapat beraksi bersama  kumpulan Hujan  yang dianggapnya sebagai idola sewaktu mula-mula  menceburi bidang  nyanyian secara 'underground'. Malah pengalaman  tersebut sangat indah  dan sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.
"Selepas  membuat konsert ini kami bercadang untuk mengadakan sebuah  konsert  yang lebih besar selepas ini. Kemungkinan besar kami akan  mengadakannya  di Sabah selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri  memandangkan sambutan  peminat di sana yang sangat memberangsangkan,"  tambahnya.
Manakala  Noh yang kelihatan santai ketika ditemui memberitahu mereka  sangat  gembira kerana penonton yang hadir benar-benar 'enjoy' dengan   persembahan mereka.
Tambah menarik, bukan sahaja peminat dari  Kuala Lumpur yang hadir, malah  peminat Hujan dari Kuantan, Melaka serta  Singapura juga sanggup turun  ke KL Life Centre semata-mata untuk  memberikan sokongan.
    
Konsepkan 'Battle Of The Bands'  menjadi
Mengimbau kembali perjalanan konsert pada malam  tersebut, pentas  pembukaan menyaksikan Hujan dan Bunkface beradu  kekuatan menyanyikan  lagu "Overture".
Selepas itu, Bunkface  menarik perhatian penonton apabila menyanyikan  lagu popular Hujan,  "Bila Aku Sudah Tiada" dan "Aku Skandal" dengan cara  mereka sendiri.  Hujan tidak mahu beralah apabila muncul menyanyikan  lagu yang  mengangkat Bunkface ke puncak populariti, "Ekstravaganza" dan   "Revolusi".
Tambah hangat apabila kedua-dua kumpulan tersebut  secara berselang-seli  menyanyikan lagu popular masing-masing secara  berturut-turut. Antara  lagu yang menjadi pilihan Bunkface ialah "Bunk  Anthem", "Prom Queen" dan  "Soldier". Manakala Hujan tidak kalah dengan  menyanyikan lagu "Pagi  Yang Gelap", "Jiwa Kelajuan" dan "Kau Harus  Ada".
"Konsep selang-seli ini kami buat sebab konsert ini  berkonsepkan 'battle  of the bands'. Kami sama-sama berbincang dan  merancang persembahan yang  kami lakukan.
"Namun kebanyakan  perkara yang berlaku di pentas pada malam ini adalah  tidak dirancang.  Namun nampaknya peminat menyukainya dan kami cukup puas  dengan apa yang  kami persembahkan," ujar Noh ketika ditanya mengenai  konsep  persembahan yang mereka paparkan pada malam itu.
Untuk segmen  kedua, Hujan menguasai pentas dengan menyanyikan lagu-lagu  popular  mereka seperti "Dugaannya", "Obsesi", "Empayarmu", "Mencari  Konklusi",  "Aku Skandal" dan "Bila Aku Sudah Tiada". Sementara itu,  Bunkface terus  berseronok dengan menyanyikan lagu "Silly Lily", "Escape  Dance",  "Dunia" dan "Through My Window".
Sebagai penutup, Hujan dan  Bunkface bergabung sekali lagi menyanyikan  lagu "Situasi" dan "Ludah  Amerika" secara medley.
Secara keseluruhan, Konsert Hujan vs  Bunkface sangat menghiburkan. Aksi  serta gelagat Noh dan Sam ketika di  pentas wajar dipuji kerana selain  menghidangkan kualiti vokal yang  mantap, mereka turut berjaya membuatkan  penonton ketawa dengan lawak  bersahaja serta keletah spontan mereka.
 
 
 
0 Comments