6 lagi ditahan berhubung insiden rusuhan di stadium


KOTA BHARU 12 April — Polis menahan enam lagi lelaki termasuk empat pelajar semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian rusuhan penonton di Stadium Sultan Muhammad Keempat di sini, minggu lepas.

Ketua Polis Kelantan SAC I Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata kesemua lelaki yang berusia dalam lingkungan 15 dan 32 tahun itu ditahan di beberapa lokasi di sini bagi melengkapkan lagi siasatan polis berhubung kejadian itu.

“Sehingga kini seramai sembilan orang telah ditahan termasuk tiga orang pada hari kejadian, iaitu seorang guru dan dua orang pelajar,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Polis Kontinjen Kelantan di sini, hari ini.

Dalam kejadian malam Selasa lepas, perusuh telah menyebabkan beberapa kenderaan rosak dan sebuah pacuan empat roda milik polis dibakar.

Seorang pelajar pula dilaporkan cedera di mata kanan akibat terkena objek keras didakwa sebagai serpihan bom pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan polis ketika menyuraikan tunjuk perasaan itu.

Mengulas kejadian yang menimpa pelajar itu, Abdul Rahim berkata setakat ini doktor yang membuat bedah siasat mengesahkan mata Muhammad Huzaifah Mohd Noor buta terkena objek keras seperti tin air, botol air, batu atau apa-apa objek keras yang melayang.

Beliau tidak menolak kecederaan kekal yang akan dialami oleh pelajar terbabit mungkin disebabkan tembakan bom pemedih mata yang dilepaskan oleh pasukan keselamatan ketika itu.

“Kita akan mengambil tindakan tegas tanpa mengira kedudukan, kerana kejadian itu menyebabkan kecederaan kepada orang lain,” katanya.

Sehubungan dengan itu, beliau meminta orang ramai yang melihat kejadian dan merakam peristiwa itu menggunakan video dan sebagainya agar tampil membantu polis dalam menyelesaikan kes terbabit.

“Kita berharap orang ramai akan membantu polis menyelesaikan kes ini bagi menentukan keadilan benar-benar dapat dilaksana,” katanya.

Bagi tujuan itu juga beliau berkata polis akan menyiarkan lebih banyak gambar-gambar peristiwa dan orang yang dikehendaki bagi membantu polis menyelesaikan sisatan kes itu.

— BERNAMA

Post a Comment

0 Comments