KOTA BHARU 12 April — Bekas Pengarah Jabatan Perikanan Kelantan, Abdullah Jaafar hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan bersubahat dengan seorang kontraktor mengemukakan tuntutan palsu, tiga tahun lalu.
Abdullah, 57, yang kini ditukarkan ke Putrajaya, dituduh bersubahat dengan Muhammad Fadzil Md Sulong, 53, di Jabatan Perikanan Kelantan pada Ogos 2006 bagi mengemukakan satu Pesanan Kerajaan sebanyak RM13,000.15 kepada Pegawai Tadbir jabatan itu Marini Mohamed.
Tuntutan palsu itu didakwa bagi memperakui pakej bagi kerja mencuci dan memasukkan air ke dalam kanvas serta makan minum satu gotong royong di Pejabat Perikanan Machang oleh Syarikat Matlee Trading telah selesai dilakukan.
Abdullah didakwa mengikut Seksyen 11© Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama iaitu jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan terbabit atau pun RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.
Hakim Asmadi Hussin kemudiannya membenarkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin terhadap Abdullah.
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen berlainan, Muhammad Fadzil juga mengaku tidak bersalah atas tuduhan membuat tuntutan palsu itu.
Hakim Mohd Dasuki Ali kemudiannya membenarkan Muhammad Fadzil dijamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan selama empat hari sebagai tarikh perbicaraan bersama dengan Abdullah iaitu pada 13 dan 14 Julai dan 19 dan 20 Ogos ini.
Muhammad Fadzil juga didakwa mengikut Seksyen 11© Akta Pencegahan Rasuah 1997 (Akta 575) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 akta yang sama.
Kedua-dua tertuduh itu diwakili Datuk Shukri Mohamad manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Sophian Zakaria.
— BERNAMA
0 Comments