SINGAPURA 12 April — Singapura berharap Sidang Kemuncak Asean ke-14 dan sidang kemuncak berkaitan yang dibatalkan berikutan sebab-sebab keselamatan oleh kerajaan Thai semalam akan diadakan semula secepat mungkin.
Singapura berkata ia menyokong dan memahami keputusan yang dibuat kerajaan Thai bagi menangguhkan semua sidang kemuncak, kata Kementerian Luarnya dalam satu kenyataan malam tadi.
Sidang kemuncak dua hari yang dijadual bermula semalam di Pattaya, bandar pusat peranginan pantai terkenal itu, dipendekkan selepas penunjuk perasaan anti-kerajaan Thai merempuh tempat di mana sidang kemuncak itu diadakan dan mengancam keselamatan para pemimpin negara luar.
Beberapa ketua kerajaan yang menginap di hotel dalam kawasan Dewan Pameran dan Konvensyen Pattaya (PEACH) terpaksa dipindahkan menggunakan helikopter ke lapangan terbang berdekatan bagi mengelak daripada perusuh Thai, sebelum pulang ke negara masing-masing.
“Singapura menyedari bahawa kerajaan Thai telah memberikan usaha maksimum sebagai hos untuk menjayakan sidang kemuncak itu, tetapi akhirnya ia memutuskan untuk memastikan keselamatan anggota delegasi berbanding pertimbangan yang lain.
Thailand, yang merupakan pengerusi Persatuan Negara-negara Asia Tenggara itu dilaporkan akan mengadakan semula sidang kemuncak itu pada Ogos.
— BERNAMA
0 Comments