Awal Ashaari, aktor dan pengacara popular kegilaan ramai gadis ini, kini muncul dengan filem terbaru berjudul Syurga Cinta. Filem yang diarahkan oleh Ahmad Idham ini bercorak komedi romantik Islamik yang menggandingkan Awal dengan heroin filem terbaru, Heliza AF.
Kepada peminat pelakon ini, anda perlu lihat penampilan Awal dalam Syurga Cinta. Karektornya cukup berbeza dengan filem-filemnya yang terdahulu. GUA sendiri tidak sangka Awal boleh melakon watak yang sebegitu. Dalam Syurga Cinta, Awal memegang watak Irham, seorang jejaka yang dibesarkan di luar negara dan sangat jahil tentang agama. Namun, perubahan mula berlaku apabila dia bertemu dengan Syuhadah.
Ketika ditemui selepas prebiu filem itu baru-baru ini, Awal menjelaskan yang filem ini telah membuatkan dia jatuh cinta dengan lakonan. Padahal sebelum ini dia sering meletakkan lakonan di tempat yang kedua selepas pengacaraan. “Filem ini telah membuatkan saya mula jatuh cinta dengan lakonan. Sedangkan sebelum ini saya lebih utamakan tugas pengacaraan berbanding lakonan. Tetapi selepas membintangi Syurga Cinta, saya mula merasakan nikmat berlakon. Berlakon bukanlah hanya kerana wang atau untuk suka-suka tetapi ia merupakan satu tanggungjawab.
Enam filem saya sebelum ini tidak pernah memberikan perasaan sebegini walaupun saya memegang watak hero. Mungkin kerana sebelum ini watak saya agak stereotaip. Jadi, tidak salah kalau saya katakan Ahmad Idham telah berjaya mencungkil sesuatu dari dalam diri saya yang sebelum ini saya tidak tahu kewujudannya,” jelas Awal. Ditanya mengapa kali ini dia mudah menitiskan air mata, dengan pantas Awal memberitahu yang filem ini berjaya membuatkan dia sebak.
“Banyak kata-kata yang dilafazkan dalam filem ini membuatkan hati saya benar-benar terusik. Kali ini tangisan saya bukan dibuat-buat, tetapi ia lahir daripada hati. Jiwa saya betul-betul tersentuh. Banyak babak dalam filem ini yang meninggalkan kesan kepada diri saya. Contohnya, babak di mana Syuhadah (Heliza) berkata, “saya maafkan awak walaupun awak tak buat salah dengan saya”. Kata-kata itu dilafazkan oleh Syuhada ketika Irham minta maaf daripadanya,” sambung awal lagi. Dalam masa yang sama, Awal turut mengakui ‘Syurga Cinta’ telah mengubah persepsinya kepada wanita yang memakai tudung. “Dulu saya pelik juga mengapa ada wanita yang muda-muda lagi sudah mahu memakai tudung. Kini saya sudah tahu sebabnya dan saya lebih menghormati mereka.”
Menyentuh tentang gandingan terbarunya, Heliza, Awal tanpa berselindung memberitahu yang dia pada mulanya rimas dengan Heliza yang suka bertanya banyak soalan sebelum penggambaran bermula. Tetapi lama-kelamaan dia selesa kerana dengan cara itu dai dan Heliza berpeluang berbincang tentang karektor masing-masing dan ia sangat membantu dalam lakonan. “Saya puji Heliza kerana dia seorang yang rajin bertanya apabila dia tidak jelas dengan sesuatu perkara. Bagi saya ini sikap yang bagus bagi pendatang baru seperti dia. Sepanjang pengambaran, saya tidak menghadapi sebarang masalah dengan dia,” ujar Awal yang impikan watak yang lebih mencabar seperti lelaki psiko atau pendera isteri.
Dalam waktu terdekat ini Awal akan mula menjalani pengambaran drama bersiri 3 Serumah yang turut diterbitkan oleh MIG Production Sdn Bhd. Drama ini akan disiarkan melalui siaran ASTRO.
0 Comments