Masakan dari daerah Padang, Sumatera Barat, Indonesia sudah lama menjadi kegemaran masyarakat Melayu tempatan. Sementelah masyarakat Minang yang merantau ke pelbagai daerah di Malaysia berkurun dulu, menjadikan masakan tradisi Minangkabau bukan asing di sini. Malah, masakan Minang tidak jauh bezanya dengan masakan Negeri Sembilan, cuma rasa dan cara masakan sedikit berbeza disebabkan faktor geografi dan masa.
Uniknya restoran Minang, kepelbagaian lauk pauk menjadi penambat selera pengunjung. Bayangkan setiap bahagian daripada seekor lembu dijadikan lauk pauk enak oleh masyarakat Minang. Tidak hairanlah andai dikatakan masakan Minang antara hidangan paling enak dikalangan masakan Melayu.
Bukan mudah mencari restoran yang menyediakan masakan Minang enak di sekitar Kuala Lumpur. Kampung Baru Kuala Lumpur misalnya, adalah syurga untuk menikmati segala jenis masakan Melayu.
Restoran Nasi Padang Kampung Baru, menyediakan pelbagai lauk pauk khas untuk penggemar masakan Minang. Lokasinya yang terletak di jalan utama berdekatan Masjid Jamek Kampung Baru, memudahkan pengunjung datang menikmati juadah enak di sini.
Keenakan rasa
Resam masakan Minang, masakannya tidak pedas dan lauk berkuah pula terasa sedikit masam. Apabila datang menjamu selera berkumpulan, lebih baik makan berhidang. Bukan apa, cara makan begini dapat mengeratkan silraturrahim yang sedia terjalin disamping lebih menjimatkan.
Hidangan wajib dicuba apabila berkunjung ke mana-mana restoran Minang, semestinya gulai lemak daging atau lebih dikenali sebagai gulai dagingtetel di sesetengah tempat. Kebanyakan restoran masakan minang di Malaysia pula menyediakan ikan air tawar seperti keli, tilapia dan sepat sebagai menu wajib.
Ruang luas di restoran Nasi Padang Kampung Baru bukan sahaja selesa dan memudahkan pengunjung yang datang dalam kumpulan besar, malah kebersihan premis dan makanannya juga terjamin.
Melihat lauk pauk yang tersusun sudah mengiurkan, apatah lagi apabila menikmatinya. GUA memilih lauk pauk seperti gulai ikan patin, gulai nangka, gulai daging tetel dan ikan keli sambal.
Hidangan nasi panas sudah menjadi keutamaan apabila menikmati masakan Minang. Keenakan rasa lauk pauk tidak akan terasa andai dihidangkan nasi sejuk.
Tidak ketinggalan, GUA pastikan bergedel dan tempe goreng dihidang sama, juadah perut berkeroncong. Tambah menyelerakan apabila nasi panas digaul bersama sambal cili hijau bersama ikan bilis.
Jadi, pastikan anda mencubanya!
0 Comments