Bienda Bangkit Selepas Musibah



















Semangat kental tidak pernah mengenal erti putus asa dan sabar dalam menghadapi dugaan-Nya, menjadikan Nor Azlinda Razli atau Bienda, lebih cekal dalam menghadapi perjalanan hidup. Sejak menjalani pembedahan jantung berlubang pada Januari 2008, Bienda banyak menghabiskan masa berehat dan menjalani rawatan di hospital dan berpantang secara tradisional. Malah ketika itu, ibunya, penyanyi dangdut yang tidak asing lagi, Sheeda, menjadi peneman setia yang sentiasa berada di sisi. Selepas beberapa lama berehat dan apabila merasakan dirinya benar-benar sembuh, barulah Bienda berani menerima tawaran berlakon yang datang mencurah. Namun tidak semua diterimanya kerana kesan masalah kesihatan yang dihadapinya tidak membolehkan dia terlalu aktif. “Bienda tidak pernah mengeluh dengan apa yang berlaku, malah bersyukur dengan rezeki dan apa juga dugaan yang Allah berikan,” kata Bienda.

Kenaliku selepas enam tahun
Ketika berehat lama itulah Bienda terfikir untuk melakukan sesuatu yang berharga dalam hidupnya. Malah, dia tidak mahu terus-menerus mengharapkan bantuan orang lain dalam melaksanakan impiannya. Semangat yang ada dalam dirinya menjadi pendorong untuknya bangkit dan melakukan apa yang sepatutnya dilakukan lama dulu. Selepas enam tahun tanpa album baru, Bienda akhirnya nekad mengeluarkan modal sendiri untuk menerbitkan album berjudul ‘Kenaliku’. Bersama Yasin, yang bertindak sebagai penerbit album, Bienda kini lebih matang dalam meniti hari-hari bergelar anak seni. “Perancangan untuk menerbitkan album baru sudah lama difikirkan namun setelah sekian lama rancangan itu tertangguh, akhirnya saya nekad meneruskan niat itu ketika berehat panjang. Berkat usaha berlakon, saya dapat mengumpul modal sebanyak RM40,000 untuk menerbitkan album ini,” katanya ketika majlis pelancaran album yang di adakan di Restoran Sabak. Bienda kini selesa bergerak sendiri melalui syarikatnya Impiana Entertainment yang sebelumnya diuruskan ibu dan pakciknya. Enggan bernaung di bawah syarikat pengurusan artis lain, Bienda tidak menafikan persefahaman antara sebab dia rela bergerak solo. Bertindak sebagai penerbit eksekutif ‘Kenaliku’, Bienda memilih lapan lagu untuk dimuatkan. Empat lagu baru antaranya, memuatkan lagu duet bersama ibu berjudul “Usah Kau Tanya”. Selebihnya, lagu popular yang dinyanyikan semula, contohnya “Mimpi Laila”. “Sudah lama saya ingin berduet bersama mama. Setiap kali mengadakan persembahan pasti ada yang bertanya bila agaknya kami anak-beranak akan berduet. Jadi inilah masanya dan lagu “Usah Kau Tanya” menjadi hadiah ikhlas yang menceritakan isi hati saya terhadap mama,” tambahnya yang sudah tidak kuasa mendengar komen mengenai perbezaan antaranya dan Sheeda. Ekonomi negara yang tidak menentu serta kebanjiran artis luar menjadi antara faktor yang menyumbang kepada kesuraman pasaran album tempatan. Atas alasan itu juga untuk permulaan, Bienda bertindak memasarkan sendiri albumnya. “Harapan saya, peminat akan mendapatkan album yang saya kira sebagai penceritaan perjalanan seni Bienda. Buat masa ini saya akan menjual album ini melalui siri jelajah Dunia Herbs serta persembahan yang akan diadakan nanti,” ujarnya.

Duta Dunia Herbs
Sekali ditimpa musibah, bukan selamanya menanggung derita. Berdoa, bersabar dan bertawakkal kepada-Nya, nescaya murung bertukar ceria. Setelah melalui hari-hari suram ketika berdepan masalah jantung berlubangnya, Bienda sedikit pun tidak pernah lemah semangat. Selepas pembedahan, Bienda mengalami alahan terhadap bahan kimia. Kesukaran menggunakan bahan ubat yang diberi doktor menyebabkan dia mencuba alternatif lain iaitu produk yang menggunakan bahan herba. Barangan Dunia Herbs menjadi pilihannya sehingga akhirnya dipilih sebagai duta. Sebagai duta untuk Mustajab Cosmetic Series yang mengeluarkan dua produk baru iaitu losyen tangan dan badan serta krim siang dan malam, Bienda sangat berpuas hati dengan produk yang menjadi ‘rakan karibnya’ ketika ini. “Secara peribadi memang saya sudah mengenali Pengarah Urusan Dunia Herbs sejak sekian lama kerana kami berjiran. Sejak pembedahan saya memang menggunakan produk yang mengandungi pati halia. Kesan pembedahan juga menyebabkan badan saya naik kerana terlalu lama berehat. Jadi saya menggunakan produk pelangsingan Mustajab dan nampaknya berjaya,” kata Bienda yang turut menggunakan mesin treadmill untuk bersenam. Hubungan baik serta keberkesanan produk membuatkan Bienda tidak teragak-agak menerima pelawaan untuk menjadi duta syarikat ini. Sebelum bersetuju menjadi duta, dia terlebih dahulu diberi peluang mencuba barangan selama sebulan. Peminat yang ingin mendapatkan album ‘Kenaliku’ boleh menghubungi Bienda melalui emelnya bienda_85@yahoo.com.

Post a Comment

0 Comments