Hujan Mahu Lebih Profesional

http://gua.com.my/photobank/article/1/9/D4E64B4C4FC84493B4517219E6DC54A6.jpg
Selepas memenangi anugerah Album Rock Terbaik di AIM 16 tempoh hari, pasti ramai yang menjangka bahawa kugiran Hujan dan penyanyi berkarisma mereka, Noh Salleh, semakin berbesar hati dengan kuasa dan status yang diraih di dalam industri tanahair.

Realitinya tidak, seperti yang diakui oleh Noh dan dipersetujui anggota-anggota Hujan yang lain. Sebaliknya lima pemuzik muda itu, yang juga merangkumi Am, AG, Jaja dan Hang Dimas, lebih insaf dan introspektif terhadap karier mereka walaupun cukup berbesar hati dengan “kejayaan kecil” ini.

“Kita bersyukur dengan apa-apa anugerah yang diberi kerana itu semua sokongan setia daripada Raingers, dan ia satu tanda juga perjalanan Hujan setakat ini,” kata Noh.

Noh mengakui ketidaksediaan mereka untuk menjulang perhatian dan anugerah yang diraih setakat ini. Hubungan Hujan dengan media hiburan tempatan juga, selama ini sesuatu yang lebih bergantung kepada silap faham daripada kontroversi.

Dengan kemenangan dua trofi serta persembahan yang bermakna di samping Meet Uncle Hussein di AIM16, Hujan kini bertekad untuk “lebih profesional” dan bertanggungjawab bergelar artis rakaman.

Noh menceritakan baru-baru ini, bila difikirkan balik pra-AIM16, memang mula-mula dahulu Hujan biadab apabila media datang mendekati mereka.

“Keadaannya saya tak nafikan, ibarat satu ‘culture shock’,” katanya. “Sekarang saya percaya bahawa kedua-dua pihak lebih mengenali antara satu sama lain dan tak mustahil kalau kita dapat lebih memahami dan bekerjasama.”

Ujar Noh, 24, lagi: “Kami terima perubahan ini, semua tohmahan dan kesilapan kita sendiri ada disebalik setiap kejayaan. Sekarang kita lebih matang dan tidak lagi ralat dikaitkan dengan gelaran artis rakaman, artis profesional atau apa-apa pun.”

“Kini kami sudah ‘taubat’ untuk menjaga diri sebagai pemuzik yang juga bergelar artis dan kita harap bahawa sokongan dan kerjasama daripada semua dapat diteruskan. Untuk mana-mana pihak kami di sini akan sentiasa terbuka dan untuk audiens lagilah kami sentiasa berikan semua. Inilah proses ‘pembesaran’ kugiran Hujan.”

Post a Comment

0 Comments