Jasmin Hamid, 35, dramatis yang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri hiburan tanahair. Walaupun sudah lama berada di dalam industri, empunya nama ini jarang mencipta kontroversi melampau yang boleh membuat peminat mencemuh dirinya. Mungkin inilah formula yang membolehkan Jasmin terus berada di dalam industri walaupun muka-muka baru kerap datang dan pergi. Ketika berita perceraiannya dengan Ian Rashid Macquistan pada awal 2008 lalu sibuk diperkatakan oleh banyak pihak, Jasmin juga mengambil langkah berdiam diri dan tidak mahu membincangkan perkara tersebut kepada media. Menurut Jasmin, terlalu peribadi untuk dibincangkan kepada orang ramai. Selepas daripada peristiwa itu juga, Jasmin Hamid dilihat semakin ligat berlakon. Tekan sahaja mana-mana saluran televisyen, pasti wajahnya akan terpampang. Pelbagai watak telah dijayakan oleh pelakon yang berasal daripada Kuala Lumpur ini. Kemunculannya dalam telenovela ‘Spa Q’ tidak lama dahulu sedikit sebanyak telah menambah bilangan peminatnya. Kesempatan bertemu dengan Jasmin baru-baru ini memberi peluang kepada GUA untuk bertanya lebih lanjut tentang perkembangan kariernya. Menurut Jasmin, sepanjang tempoh setahun ini dia memang menerima banyak tawaran berlakon drama sehingga kurang masa untuk berehat. “Saya bersyukur kerana sepanjang tempoh setahun ini saya memang menerima banyak undangan berlakon. Mungkin sudah rezeki saya. Bagaimanapun, dalam tempoh terdekat ini, saya merancang untuk mengambil cuti rehat seketika kerana sudah lama saya tidak dapat merehatkan diri secukup-cukupnya.” Ditanya mengapa sekarang ini sudah tidak kedengaran lagi gosip-gosip atau cerita tentang kehidupan peribadinya di mana-mana media,sambil tersenyum Jasmin menjawab, memang itu yang diinginkan oleh dirinya. “Bagi saya sekarang ini bukan masanya untuk saya bercerita tentang kisah peribadi kepada orang ramai. Saya sudah lama berada di dalam industri dan zaman itu telah saya lalui tidak lama dahulu. Sekarang ini saya lebih suka bercerita tentang karier. Biarlah orang mengenali saya kerana karier saya bukan kerana kontroversi. “Memang saya tidak nafikan cerita tentang kehidupan peribadi seseorang artis itu memang ramai yang ingin tahu, tetapi saya memilih untuk tidak berkongsi cerita. Ini kerana bagi saya kontroversi boleh menutup periuk nasi seseorang artis. Jadi lebih baik elakkannya,” tambah Jasmin lagi. Sementara itu, Jasmin juga diminta mengulas tentang penampilannya yang semakin menawan dan seksi. Maklumlah, walaupun sudah bergelar ibu, Jasmin masih langsing dan dapat mempertahankan kecantikan yang dimiliki. “Saya tidak mengamalkan apa-apa petua, tetapi saya kerap bersenam untuk memastikan tubuh badan tetap fit dan bertenaga. Dulu memang saya tidak kisah sangat pasal bersenam ini, tetapi apabila saya mula berasa cepat penat, barulah saya rajin bersenam. Sebab itulah sekarang ini saya sudah mendaftar di gim. Lagipun sebagai seorang pelakon, saya perlu kekalkan kecantikan demi karier saya. Kalau tidak, mungkin saya sukar mendapat tawaran nanti,” jelas Jasmin. Terbaru, Jasmin Hamid membintangi drama bersiri ‘Datin Wan Abe’ yang kini bersiaran di TV3 pada setiap Selasa, jam 10 malam. Dalam drama itu, Jasmin memegang watak utama sebagai Kat, seorang surirumah yang terlalu dominan sehingga suaminya, Bakar dan anak-anaknya terpaksa berahsia dalam apa jua perkara yang mereka lakukan. Kat suka bercerita kepada jiran-jiran tentang perkara yang tidak benar kerana ingin bermegah-megah. Kepada jiran-jirannya dia memberitahu yang suaminya seorang pegawai di pejabat kerajaan tetapi hakikatnya suaminya hanyalah seorang kerani. Selain itu, Kat juga terlalu mengejar glamor sehingga sanggup menghabiskan duit ke spa semata-mata untuk mencari kenalan di kalangan datin-datin.
0 Comments