Menikmati menu lazat sentiasa menjadi agenda penting setiap peminat makanan. Kadangkala, kerana ingin mencuba, sanggup memandu berjam-jam semata-mata mahu menikmati hidangan enak yang digembar-gemburkan.
GUA juga tidak ketinggalan berbuat demikian, setiap kali terdengar ada gerai atau restoran yang menyediakan menu lazat, pasti teruja untuk mencubanya.
Bagi peminat beriani, pasti dapat membezakan kepelbagaian rasa beriani. Beriani Johor misalnya lebih dikenali sebagai beriani gam, nasi dan lauknya disatukan dalam periuk.
Walaupun bayak restoran di luar negeri Johor seringkali mengakui menyediakan beriani Johor, sebenarnya mereka hanya menyediakan beriani biasa dengan rempah dan cara masakan orang Johor.
Keinginan menikmati beriani membuatkan GUA berkunjung ke restoran Azira, selepas hampir tiga tahun tidak ke sana. Sebenarnya sudah lama GUA meminati masakan beriani yang ada di Restoran Beriani Azira, Seksyen 10 Shah Alam.
Ketika pertama kali menjejak kaki ke restoran ini, keenakan rasa serta kuantiti makanan yang disediakan menjadi tarikan utamanya. Mungkin juga ketika itu harga pasaran bahan mentah tidak semahal sekarang.
Namun, semua itu tidak berkekalan kerana harga pasaran bahan mentah semakin hari semakin memeningkan kepala. Itulah yang berlaku di restoran ini apabila kuantiti lauk beriani tidak lagi semewah dulu.
Walaupun saiz lauk pauk seperti ayam, daging atau kambing semakin kecil, namun rasa masakan masih dikekalkan. Sekurang-kurangnya tidaklah terasa sangat dengan perubahan yang berlaku.
Seperti kebiasaannya, menu yang sering menjadi pilihan ialah nasi beriani dengan ayam dan kambing masak beriani. Dalca sayur, acar nenas dan papadom ialah pelengkap menu beriani. Hidangan daging masak beriani dan ayam masak merah pula dipilih sebagai hidangan sampingan.
0 Comments