Filem:
Syurga Cinta
Dibintangi oleh:
Awal Ashaari, Heliza, Fizz Fairuz, Shaheizy Sam, Hadziq, Mustapha Kamal, Dian P.Ramlee, Hisham Ahmad Tajuddin dan Wazata Zain
Genre:
Komedi Romantik Islamik
Ulasan:
‘Syurga Cinta’, filem arahan Ahmad Idham ini sudah pun berada di pawagam. Filem yang menampilkan Awal Ashaari dan Heliza sebagai teraju utama ini merupakan filem ke-29 terbitan Metrowealth (MiG).
Buat pertama kalinya GUA merasakan filem ini lari daripada ‘badi’ filem-filem terbitan MiG yang terdahulu (kecuali ‘Jangan Pandang Belakang’ & ‘Congkak’). Maksud GUA, dahulu kalau sebut sahaja filem daripada MiG, pasti ramai yang akan berkata, “jangan expect lebih-lebih, tahu ajelah filem Metrowealth.”
Berbeza dengan ‘Syurga Cinta’, GUA yakin filem ini akan mendapat maklum balas yang positif. Pertaruhan Ahmad Idham menggandingkan Awal dan Heliza sebagai hero dan heroin filem ini nampaknya menjadi. Walaupun ini kali pertama mereka digandingkan. Pasangan ini nampak serasi. Bukan itu sahaja, lakonan yang ditampilkan oleh mereka juga cukup berkesan dan memberangsangkan.
Awal yang sering membawakan watak sterotaip ini rupa-rupanya mampu melakonkan watak yang lebih berat. Begitu juga dengan Heliza, walaupun ini kali pertama dia beraksi di layar perak, lakonannya tidak mengecewakan. Namun, banyak yang perlu dipelajari oleh Heliza untuk mempertingkatkan mutu lakonannya. Untuk filem ini, Heliza nampak agak berhati-hati, terutama untuk babak-babak romantik. Mungkin kerana dia melakonkan watak yang cukup berbeza dengan dirinya yang sebenar, seorang pelajar yang gila-gila dan ‘outspoken’.
Kemunculan Hadziq (Tom Tom Bak) berjaya memeriahkan suasana dan menyuntik mood komedi untuk filem ini. Pelakon cilik ini memang petah berkata-kata dan pandai juga berlakon.
Selain itu, GUA juga ingin memuji sinematografi filem ini. Terdapat beberapa adegan yang cukup menyentuh jiwa. Salah satunya, ketika Awal mengambil wudhuk (air sembahyang) untuk menunaikan solat.
‘Syurga Cinta’ mengupas kehidupan dua remaja Melayu yang mempunyai pegangan agama yang jauh berbeza. Irham (Awal) seorang yang mengagungkan gaya hidup barat dan Syuhada (Heliza) pula seorang muslimah yang teguh mempertahankan ajaran Islam. Kedua-dua insan ini akhirnya jatuh cinta walaupun pada mulanya Irham hanya mahu mempermainkan Syuhada kerana bertaruh dengan rakan-rakannya.
Info:
Selepas ‘Syurga Cinta’, pengarah filem ini, Ahmad Idham akan tampil pula dengan filem terbarunya yang bercorak komedi seram. Filem yang berjudul ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ ini akan mula ditayangkan di pawagam bermula 4 Jun hadapan.
0 Comments