SuriaFM Tawar Peluang Menang RM18 ribu


Siapa nak menang duit? Kalau dah angguk kepala tu, kenalah sertai kempen 'SuriaFM Senyum & Menang RM18,000 bersama Tuah dan Zizi'. Menurut Ketua Pegawai Operasi SuriaFM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, kempen tersebut diadakan untuk menghargai sokongan para pendengar selama ini. Apatah lagi daripada kajian yang telah dilakukan oleh AC Nielsen menunjukkan terdapat peningkatan hampir 200 ribu pendengar bagi stesen radio itu, kira-kira 30 peratus jika dibandingkan dengan tahun lalu. "Ini merupakan satu peningkatan yang banyak bagi sebuah stesen radio Bahasa Malaysia di negara ini. Dengan ini, saya harap kempen yang kami jalankan ini dapat menarik lebih ramai pendengar baru pada masa yang akan datang," jelasnya ceria. Suami kepada pelakon serta penyanyi jelita Erra Fazira ini juga memberitahu, kempen tersebut merupakan satu cara untuk mempromosikan kru pagi SuriaFM iaitu Tuah dan Zizi yang mengendalikan segmen Breakfast@Suria setiap hari Isnin hingga Jumaat, seawal jam 6 hingga 10 pagi. Tambahnya para pendengar yang mahu menyertai kempen tersebut hanya perlu mengambil gambar bersama Tuah dan Zizi yang bakal menjelajah ke beberapa buah destinasi terpilih di seluruh negara. Antara lokasi pilihan mereka ialah Melaka, Kuantan, Perak dan di sekitar Lembah Klang. Semua penyertaan boleh dihantarkan online iaitu di www.suriafm.com.my. Gambar pendengar yang paling menarik serta kreatif akan dipilih sebagai pemenang. "Bagi pendengar yang terlepas peluang untuk bergambar secara 'live' bersama mereka, mereka boleh merakamkan gambar kreatif berlatarkan replika khas Tuah dan Zizi yang akan diletakkan di beberapa buah cawangan Mydin, Taiping Sentral, Plaza Angsana Johor Bharu dan Plaza Alam Sentral Shah Alam," ujarnya. Sementara itu, Tuah dan Zizi berpendapat kempen tersebut merupakan cara terbaik untuk mereka mendekati para pendengar SuriFM. Ini kerana di dalam slot yang dikendalikan oleh mereka berdua, mereka menerima banyak respon positif daripada peminat. "Ini merupakan salah satu cara untuk kami menghargai pendengar. Sebelum ini mereka hanya mendengar kami di dalam radio, namun melalui sesi penjelajahan yang akan kami lakukan, mereka boleh bertemu dengan kami secara langsung dan bergambar bersama kami dengan cara yang kreatif dan menarik. "Saya percaya kempen ini akan mendekatkan kami dengan pendengar sekaligus mempopularkan lagi stesen radio SuriaFM kepada para pendengar. Tidak ketinggalan mereka yang berjaya akan memperolehi wang tunai yang disediakan," jelas mereka. Untuk kempen tersebut pemenang utama kategori gambar paling kreatif akan memenangi wang tunai RM10 ribu. Manakala pemenang tempat kedua bakal membawa pulang RM5 ribu dan hadiah harian dengan RM100 setiap hari berjumlah RM3 ribu. Pendengar SuriaFM berpeluang memenangi RM100 setiap hari sepanjang kempen itu yang bermula 1 Jun hingga 3 Julai ini. Untuk keterangan lanjut, para pendengar boleh melayari laman web www.suriafm.com.my.

Post a Comment

0 Comments