Jelajah Awan Biru Search: Sepintas Lalu


Tanggal 2 Mei 2009 bertempat di Tapak Pesta Seberang Perai telah berlangsungnya konsert tersebut dan apa nak dikata, memang gilang-gemilang sambutan terhadap abang Amy dan sahabat-sahabatnya Yazid, Nasir dan Hilary. Celcom merupakan penganjur utama bagi konsert Jelajah Awan Biru. Walaupun belum sampai masanya lagi Nabila Huda, anak kepada teraju terkenal Search, Amy, untuk melakukan ‘debut’ nyanyiannya, Nabila telah mengacarakan konsert ini dengan handal sekali. Aksi spontan dan bersahaja oleh Nabila mencuit hati peminat yang hadir pada malam itu walaupun dalam keadaan cuaca hujan yang tidak menentu. Para peminat terpaksa menunggu sehingga jam 9.40 malam untuk menunggu kumpulan Search tampil di pentas. Jadual yang telah di tetapkan iaitu jam 9 malam terpaksa ditunda berikutan hujan lebat namun sebaik sahaja reda, aktiviti cabutan bertuah telah dilaksanakan oleh Nabila. Sebaik sahaja Search muncul dan tiba di pentas dengan deruman lagu “Setelah Hujan”, suasana di tapak konsert menjadi riuh rendah dengan suara teriakan dan sorakan dari para peminat. ‘Set list’ Search untuk jelajah ini sempurna mencampur-adukkan lagu-lagu balada dengan hadiah untuk ‘headbangers’ sekalian. “Laila Namamu Teratas”, medley “Gadis Misteri”-“Gadis Ku”-“Gadis Ayu”, “Fenomena” dan semestinya, “Isabella”, yang tetap lagi berbunyi ‘ori’, begitu mendayu dan cekal dijiwai oleh abang-abang Search yang bagaikan disuntik semangat baru sempena jelajah ini. Amy terutamanya, tampak lengkap semula sebagai seorang penghibur, seorang seniman, seorang tokoh dan juga seorang ketua keluarga. Semenjak pulang dari tanah suci tempoh hari, ikon rock kita ini seperti lebih tenang dan tenteram jiwanya, kelihatan juga sinar ‘nur’ yang ketara di raut wajahnya. Alhamdulillah... Seterusnya pula, lagu-lagu ‘fast’ diperagakan oleh Search, dan jelas bahawa revelasi Amy di Makkah telah mengekalkan keistimewaan suaranya yang masih satu dalam sejuta. “Derap Komando” mengawet kelaparan peminat, diikuti sepanjang malam oleh “Balada Pemuzik Jalanan”, “Langit Dan Bumi”, “Pelesit Kota”, “Diari Habil Qabil”, Gothik Malam Edan”, “Bencana”, “Melastik Ke Bintang”, medley “Mat Rock”-“Pasti” langsung ke “Pawana”. Para peminat begitu teruja dan tidak terkata mendengar lagu-lagu keramat ini kerana hampir 15 tahun kumpulan ini tidak membuat persembahan di hadapan peminat-peminatnya di Seberang Perai. Nabila turut serta bersama peminat berteriakan memberi sokongan kepada bapanya dan ahli-ahli Search yang lain. Aksi yang lama tidak dilihat telah dilihat pada malam itu. Aksi Amy yang bertenaga telah membuat para perminat amat berpuas hati pada malam persembahan itu. Sebaik sahaja Yazid selesai membuat persembahan solo dengan drumnya yang sunguh dramatik dan bertenaga, lalu di teruskan dengan nyanyian perbukaan lagu “Isi Atau Kulit”. Ketika Amy melaungkan lirik lagu itu dengan serta merta hujan turun dengan lebatnya, ibarat suatu tanda keramat ke atas lagu dan kumpulan itu. Walaupun hujan turun tak henti-henti, para peminat sedikit pun tidak berganjak dari tapak konsert. Bagi menghargai peminat yang begitu setia, kumpulan Search tetap meneruskan konsert sehinga lagu terakhir, “Fantasia Bulan Madu”. Selepas lagu klimaks itu, walaupun konsert sudah hampir lima minit bulat-bulat sudah berakhir, peminat seolah-olah tidak mahu berganjak dan masih mahu kumpulan itu meneruskan konsert itu meskipun ketika itu Amy dan ahli kumpulan yang lain telah pun beredar dari pentas. “Sebagai peminat Search yang berpeluang bukan sahaja untuk menikmati konsert ‘comeback’ besar-besaran ini, tetapi juga diberi peluang bergambar dengan idola-idola saya ini, saya memang terangkat dan tidak terkata menceritakan impak karier kumpulan rock lagenda ini yang masih bertahan setelah hampir 30 tahun,” cerita kawan GUA. *Gambar ihsan Zainal Abidin Yusoff *‘Jelajah Penghargaan Search di Awan Biru’ dibawakan oleh Celcom berterusan di Stadium Sultan Mohamen Ke-IV, Kelantan pada 5 Jun dengan harga tiket RM38 dan RM58. Untuk peminat-peminat setia Search, lawatilah tickethotline.com.my untuk senarai bandar-bandar seterusnya dan juga maklumat berhubungan tiket. Di celcom.com.my, peminat Search juga boleh menikmati tawaran-tawaran Prabayar Celcom Blue khas sempena konsert penghargaan Search ini.

Post a Comment

0 Comments