Puas Berbuka Di KLIH


Apabila tiba sahaja bulan Ramadhan, berbagai promosi dilakukan oleh premis perniagaan untuk menarik perhatian pelanggan. Berpeluang berbuka puasa di Top Pot Cafe, Kuala Lumpur International Hotel (KLIH), Kuala Lumpur baru-baru ini, hati begitu teruja dengan menu yang dihidangkan. Tambah menarik apabila melihat hidangan yang berunsurkan tradisional memenuhi meja hidangan.

Bagi masyarakat kota yang jarang dapat menikmati masakan kampung, inilah masa yang paling sesuai untuk menjamu selera sambil mengingati kembali nostalgia lama. Dengan hanya bermodalkan RM48++ untuk dewasa dan RM23++ untuk golongan kanak-kanak, bufet Ramadan yang disediakan sudah pasti mampu memikat hati sesiapa sahaja. Malah bukan setakat masyarakat Islam yang hadir ke KLIH untuk menjamu selera, sebaliknya kaum-kaum lain turut mengambil kesempatan menjamu selera dengan masakan yang pelbagai aneka dan lazat.

"Berbuka puasa di sini memang menyeronokkan. Bukan sahaja kerana menunya yang pelbagai, malah harganya yang berpatutan juga menyebabkan saya membawa keluarga untuk berbuka di KLIH. Paling penting makanan yang dihidangkan lazat-lazat belaka. Sebabnya setelah seharian menahan lapar dan dahaga, saya pasti mahukan makanan yang betul-betul lazat dan berkhasiat untuk juadah berbuka puasa seisi keluarga," ujar salah seorang pelanggan KLIH.

Tambah hebat katanya, selain makanan tradisional seperti ayam percik, daging salai, ayam
masak kurma, kari daging dan ayam, kurma daging, masak lemak cili padi, siput sedut masak lemak, ikan talapia sambal acheh, kerabu pucuk paku, kerabu jantung pisang serta pelbagai menu lain, semasa menjamu selera dia dan pengunjung yang lain turut dihiburkan dengan dendangan lagu-lagu lama daripada residen artis KLIH sendiri.

"Kalau kat tempat lain kita mungkin sukar nak cari pengalaman sebegini. Atau pun perlu
membayar dengan harga yang mahal, tetapi di sini ia sesuatu yang istimewa dan saya tak mungkin akan melepasakannya. Selain makanan berat, pelbagai kuih muih serta pencuci mulut juga tidak menghampakan. Malah semua makanan di sini dihidangkan di dalam belanga tradisional yang sukar untuk dicari pada hari ini. Sekurang-kurangnya saya dapat menunjukkan dan memperkenalkannya kepada anak-anak saya," tambahnya.


Post a Comment

0 Comments