Juadah Bangsawan


Apabila tiba Ramadhan, kuih muih menjadi pilihan ramai sebagai juadah berbuka puasa dan juga pencuci mulut. Kuih muih tradisional Melayu seperti karipap, tepung pelita, talam berlauk dan sebagainya pasti ada samada di pasar-pasar malam atau sebagai hidangan di hotel terkemuka.

Berjalan-jalan di Pavillion, GUA bertemu dengan Bangsawan yang menyediakan kuih-muih tradisional Indonesia dalam saiz super-kecil yang dibalut dengan plastik satu persatu. Persembahan kuih muih di Bangsawan menarik sekali apabila kuih-muih comel lote ini disusun atur kemas di dalam jendela pameran yang terang cahayanya. Warna-warni kuih-muih Bangsawan menarik GUA untuk menghampiri lantas ingin mencuba hidangan menyelerakan ini.

Menjenguk nama-nama yang dipamerkan juga menarik seperti Pepe Antikri, Jongkong, Lemper, Kelepon, Ketan Unti, semuanya nama-nama Indonesia tetapi GUA boleh namakan nama Melayu yang serupa dengan nama-nama ini. Sebagai contoh, Ketan Unti ialah Pulut Inti, Talam Pandan ialah Kuih Talam, Jongkong ialah Kuih Lapis. Bangsawan menyediakan kotak-kotak yang boleh diisi dengan 9, 16 atau 24 biji kuih dengan harga bermula RM1.23 sehiris.

Pepe Antakiri Ketan Unti

GUA tidak ada masalah dengan saiz kuih Bangsawan tetapi harganya sangat tidak padan dengan saiz yang ditawarkan. Kalau di luar boleh dapat 3 biji kuih saiz normal dengan RM1.20. Di Bangsawan, RM1.23 hanyalah untuk sebiji kuih sebesar ibu jari. Beli di Bangsawan bukanlah untuk kenyang, sekadar rasa dan dengan bungkusan yang cukup menarik, Bangsawan memang sesuai untuk dijadikan hadiah korporat di bulan-bulan perayaan.

Jongkong Jogja Lapis
Gua memilih 9 biji kuih comel lote ini dan membayar RM11.74. Berbaloi? Tidaklah sangat kerana rasanya biasa sahaja dengan kuih Melayu yang lain. Wajik yang ditawarkan di Bangsawan telah diberi memberi markah D oleh GUA kerana tidak hampir langsung dengan Wajik lazat yang diadun ibu GUA yang bukan sahaja lemak manis tetapi likat gulanya dan lembut tetapi rangup pulutnya. Wajik di Bangsawan kurang manis dan macam nasi dicampur gula rasanya. Talam Pandan di sini sama rasa dengan Talam biasa kita tetapi rasa pandannya kuat sedikit dari biasa. Jongkong pula umpama Kuih Lapis tetapi menurut Bangsawan, adunannya dibuat daripada tangkai padi dan untuk memastikan ketulenan rasanya, kuih ini telah diterbangkan terus dari Indonesia. Jogja Lapis serupa rasa seperti Kek Lapis Sarawak tetapi buatannya kasar sedikit dan rasanya biasa sahaja.

Melihat kepada lokasi Bangsawan, kuih comel lote ini tentu sekali akan menarik perhatian pengunjung asing yang ingin merasai juadah tradisional dan juga mereka yang mempunyai poket besar dan tidak kisah untuk berbelanja. Untuk yang berminat, Bangsawan terletak di tingkat satu, Food Republic, Pavillion.

Post a Comment

0 Comments