‘Punca dan Tindakan’ Imran Ajmain


Single berjudul “Seribu Tahun” yang menjadi lagu tema drama bersiri ‘Kerana Cintaku Saerah’ ternyata berjaya menaikkan nama Imran Ajmain di persada seni hiburan tempatan. Semenjak daripada itu, tuah penyanyi yang berasal dari Singapura ini semakin bersinar sehingga terpaksa menetap di negara bagi memastikan kariernya terus berkembang.

Setelah “Seribu Tahun” menjadi siulan ramai, Imran kembali dengan single “Selamat Ulang Tahun, Sayang” dan sekali lagi single ini menjadi hit. Masih membawakan tema percintaan, lagu ini digubah sendiri oleh Imran manakala liriknya ditulis oleh Fedtri Yahya. Populariti yang diraih “Selamat Ulang Tahun, Sayang” membuatkan lagu ini menjuarai beberapa carta radio tempatan untuk beberapa kali.

Terkini, single berjudul “Jika Engkau Pergi” yang menjadi lagu tema kepada drama bersiri ‘Yusoff’ pula menjadi taruhan Imran. Setakat ini, single ini mendapat sambutan baik di kalangan peminat. Kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh Imran ini pasti membuat dia tersenyum lebar. Lebih-lebih lagi, lagu-lagu ini popular sebelum album terbarunya, ‘Punca dan Tindakan’ berada di pasaran.

Pasti sudah ramai yang menunggu naskah terbaru daripada penyanyi bersuara lunak ini bukan? Seperti yang dijanjikan oleh Imran sebelum ini, dua hari lepas bertempat di No Black Tie, Kuala Lumpur, album terbarunya telah pun dilancarkan dalam satu majlis ringkas. Album berkonsepkan pop Melayu itu akan berada di pasaran bermula Jun ini dan ia memuatkan sembilan buah lagu baru dan satu ‘minus one’ lagu “Selamat Ulang Tahun, Sayang”.

Lagu lama yang diberi nafas baru
Bercerita tentang albumnya itu, Imran memberitahu pihak media bahawa album terbarunya itu tidak seperti albumnya terdahulu yang semua lagu adalah ciptaannya, tetapi kali ini dia berkerjasama dengan beberapa penulis lirik berbakat seperti Fedtri Yahya dan Sulu Sarawak.

“Salah satu kelainan album ini ialah saya berkolaborasi dengan Nabil Raja Lawak, Diana Danielle dan kumpulan Infinatez untuk lagu berjudul “Radio”. Lagu berentak rancak ini dinsipirasikan daripada lagu dendangan Headwind suatu ketika dahulu iaitu “Hanya di Radio”. Saya percaya lagu ini boleh menambat hati peminat.

“Selain itu saya juga ada mengambil dua lagu lama yang diberi nafas baru. Lagu-lagu itu ialah “Harapan Kecewa”, dendangan Dato’ Ahmad Jais dan “Menimbang Rasa”, ciptaan Oslan Husin. Untuk lagu “Harapan Kecewa”, saya memasukkan unsur-unsur jazz dan sentuhan orkestra. Manakala untuk lagu “Menimbang Rasa”, saya menggunakan rentak bossanova dan bersuara latar pelajar muzik dari Universiti Teknologi Mara,” ujar Imran yang pernah digosipkan dengan Siti Saerah sebelum ini.

Tindakan Imran mengambil lagu-lagu lama ini telah menimbulkan cakap-cakap belakang yang mengatakan penyanyi ini sebenarnya kekurangan idea untuk menghasilkan lagu-lagu baru. Namun, tuduhan ini dijawab dengan baik oleh Imran.

“Saya mengambil lagu-lagu lama ini bukanlah kerana saya ketandusan idea, tetapi tujuan saya ialah untuk memperkenalkan lagu-lagu ini kepada golongan muda. Lagu-lagu itu adalah karya yang bagus dan saya rasa ia perlu diketengahkan. Memang ia lagu-lagu lama, tetapi susunan muziknya sama sekali baru.

“Tidak salah rasanya saya berbuat begitu. Industri muzik Hollywood juga ada mengambil lagu-lagu lama dan diberi nafas baru. Senang cerita, secara peribadi saya percaya tiada idea yang original. Setiap idea memang ada meminjam daripada bahan lain untuk dijadikan ‘sample’. Irama R&B dan hip hop misalnya memang menggunakan ‘sample’ untuk menghasilkan sesuatu yang baru,” luah Imran lagi.

Saerah hanya kawan baik
Sementara itu, Imran turut diminta mengulas tentang hubungannya dengan Siti Saerah kerana lagu “Jika Engkau Pergi” ada versi dia berduet dengan Saerah. Walaupun versi ini hanya boleh dimuat turun di laman web secara percuma, tetapi ia tetap menimbulkan tanda tanya mengapa Saerah diberi peluang sebegitu. Mungkinkah kerana mereka mempunyai hubungan istimewa?

“Kami hanya berkawan baik”, itu jawapan yang diberikan oleh Imran apabila soalan itu diajukan. Menurut Imran lagi, dia menjadi rapat dengan Saerah bermula Disember tahun lalu apabila mereka mula digosipkan oleh pihak media.

“Ketika itu juga saya ditimpa musibah apabila kawasan perumahan saya di Bukit Antarabangsa ditimpa tanah runtuh. Dalam masa yang sama saya kena penyakit Allopecia Arriata yang membuatkan saya sering kena migrain dan rambut gugur sehingga botak.

“Hanya Saerah yang tahu saya kena penyakit itu dan dia banyak beri sokongan kepada saya kerana ketika itu saya sudah hampir berputus asa kerana tidak boleh berkerja. Pembikinan album saya juga tertangguh gara-gara penyakit yang dihidapi. Lagu duet dengan Saerah itu bolehlah dikatakan sebagai tanda terima kasih saya kepada dia.”

Post a Comment

0 Comments