Album:
Radio Rosak: Permulaan Baru (Neo Gendang Records)
Genre:
Indie, Rock, Alternatif
Ulasan:
Album kompilasi ‘Radio Rosak: Permulaan Baru’ ini bukan seperti kompilasi muzik rock biasa yang sering kita disuapkan sejak zaman ’80-an lagi. Pertama ianya bukanlah koleksi hit-hit unggul, sebaliknya seleksi karya-karya bunyi baru muzik Malaysia daripada suara baru kugiran muda tanahair. Kedua, tajuk ‘Radio Rosak’ pun sudah cukup memberikan gambaran gaya lagu-lagu yang terkandung di dalamnya.
Lagi satu, dan yang paling wajar diperhatikan tentang ‘Radio Rosak’ ialah ini sedikit sebanyak merupakan sebuah ‘showcase’ bakat-bakat yang kini mula bernafas dalam era Hujan/Meet Uncle Hussain/Bunkface ini. Ia boleh juga dihargai sebagai satu titik tanda dalam perjalanan muzik rock baru Malaysia ke aras perdana industri tempatan.
Kompilasi ini dibuka dan ditutup oleh seorang insan yang cukup layak digelar antara figura paling berpengaruh dalam perkembangan muzik alternatif di negara ini sejak album sulungnya, ‘OAG’, 15 tahun lepas. Insan yang bernama Radhi ini cukup diselubungi kontroversi dan tragedy, berikutan isu keretakan rumahtangganya yang sedang sibuk diwartakan oleh media hiburan tempatan.
Disebalik semua belenggu itu, seni Radhi tetap kreatif kerana dua lagu pemberiannya untuk ‘Radio Rosak’, “MerDAYka!” bersama OAG dan juga “Infiniti” dibawah nama ‘Radhi-O’ masih mempunyai sentuhan pop keanak-anakannya yang unik.
Anak-Anak Indie
Sebut tentang keanak-anakan dan keriangan, satu nama yang benar-benar menarik perhatian dan menunjukkan potensi adalah The Rhaman, kumpulan berenam dari Jasin, Melaka yang muziknya memberikan sedikit sebanyak solusi untuk dilemma arahtuju pop Malaya baru untuk zaman ‘post-modern’ ini. Dua lagu rakaman mereka, “Lagu Satu Tahun”, dan juga “Sekutu Kuat Berangan” memang melembutkan hati dan membentangkan keistimewaan sebenarnya muzik ‘indie’ yang ringan dan tidak kompleks.
Sejiwa dengan The Rhaman tetapi tidak sefesyen, kugiran indie kesayangan Johor Baru, Plague of Happiness, membuktikan bahawa pendirian yang setia kepada istilah ‘ska/punk’ sekian lama akan berbuah juga dan inilah saat mereka diakui. Kumpulan yang pernah menerima pelbagai tawaran untuk ke Amerika bersama kumpulan-kumpulan seangkatan di sana memang menyinar dengan lagu “Hasrat” – nantikannya di radio indie tempatan tak lama lagi menemani ‘single’ pertama Plague, “Kawan”.
Stereosakit pula, sebagai kumpulan yang paling muda di dalam kompilasi ini, begitu ‘hip’ dan ‘cool’ mewakili citarasa muda-mudi yang terkini, seperti yang diperagakan dengan lagu “Indah Khabar”, yang berbau pengaruh kumpulan Barat seperti Bloc Party dan juga idola tempatan seperti Butterfingers.
Wajah Baru Rock Kita?
Di spektrum rock pula, ‘Radio Rosak’ menampilkan ‘askar’ lama dan juga yang baru, iaitu Projek Pistol dan Auburn. Lagu-lagu Projek Pistol, “Hingga Hujung Nyawa” dan “Turun Dari Langit”, membuktikan keutuhan Moq, Edrie Hashim, Zam dan Lola memperjuangkan rock rumit yang lebih dikias untuk perhatian pemuzik tempatan, demi menaikkan semula martabat penghargaan muzik di sini. Rock keras, funk, sedikit jazz...PP mampu membawakannya semua.
Seperti PP, lirik dan pengisian muzik Auburn, sebuah trio muda dari Lembah Klang, sama berlapis dan berkepelbagaian dalam coraknya. Kedua-dua lagu Auburn, “Ruang Hati” dan “Dondang Kaseh Aurora” (epik rock yang dihiasi gamelan dan satu-satunya lagu lima minit di dalam album ini) menunjukkan pembentukan awal sebuah kemistri kreatif yang jarang ditemui dan wajar diberikan kepercayaan.
Ditengah-tengah dua dikotomi itu, kuartet dari Klang, Zip Zeiller, barangkali merupakan jelmaan dan bukti kukuh istilah “rock takkan mati” dengan lagu makan dalam, “Blues Salah Pangkah”. Dengan falsafah blues dan bawaan serta ‘attitude’ yang rock, Zip Zeiller dan penyanyi bersuara serak mereka, Along – semuanya masih dalam lingkungan umur awal 20-an – benar-benar menjiwai muzik kesukaan bapak-bapak dan pakcik mereka, bukti bahawa umur tidak menjadi faktor dalam apresiasi rock.
Anugerah ‘balada rock’ terbaik jatuh ke lagu “Sampai Masa”, di mana penyanyi kumpulan Cili, Vivine, menaruhkan segala emosinya kepada persembahan lagu ini yang berkiaskan orkestra dan harmoni yang membuatkan pendengar meremang menghayatinya. Lagu ini wajar dipasarkan sebagai ‘single’ yang paling ‘mainstream’ untuk ditonjolkan ke khalayak pendengar di luar dunia ‘indie’ dan ianya antara komposisi Edrie Hashim yang terindah setakat ini.
Antara trek lain di sini termasuklah “Kontrak” (lagi sebuah lagu blues-rock pedas yang mampu memberikan kejutan di radio, karya band Zip Zieller), “Elusi” (Stereosakit), “Mimpi” (Cili) dan “Useless Enemy” (Plague of Happiness).
Fakta:
Edrie Hashim selaku penerbit eksekutif album ‘Radio Rosak’ menyumbangkan tiga buah komposisi baru iaitu “Hingga Hujung Nyawa” dan “Turun Dari Langit”, kedua-duanya persembahan Projek Pistol, serta “Sampai Masa”, balada membuai kumpulan Cili.
Antara sumbangan yang paling menonjol melodinya, “Mimpi” nyanyian Cili, digubah oleh Fathullah Luqman, kini seorang pelukis dan seniman sepenuh masa yang disegani dan seorang lagi tokoh alternatif tanahair yang pernah menerajui kumpulan-kumpulan ‘underground’ awal seperti Spiral Kinetic Circus dan juga Infectious Maggots.
Kredit nama pena penciptaan lagu Radhi-O dan OAG di dalam ‘Radio Rosak’ bukan dikreditkan pada Mohd Radhi Razali sebaliknya kepada “Muslim”, nama kedua anaknya, Mohd Rifdhi.
Kugiran Plague of Happiness membaut penampilan di dalam ‘Radio Rosak’ ihsan label mereka sendiri yang sekian lama, Nyaring.
Kedua-dua karya Auburn di sini mendapat sentuhan gitar undangan daripada Hanafi, pemain gitar utama kumpulan Estranged.
*Album kompilasi ‘Radio Rosak: Permulaan Baru’ boleh didapati ekslusif di semua cawangan Gloria Jean’s Coffees sahaja, dengan harga istimewa dan juga pemberian percuma dari menu Gloria Jean’s.
0 Comments