Rossa (Edaran Suria Records)
Genre:
Pop, Balada
Ulasan:
Amboi, bukan main dia ni bercinta! “Terlanjur Cinta”, “Ayat-Ayat Cinta”, “Takdir Cinta”, “Cerita Cinta”, “Atas Nama Cinta” – semua lagu daripada album debut si penyanyi jelita bernama Rossa. Personaliti/penyanyi Indonesia yang semakin naik ini jelas berpotensi dengan terbitan album yang baik, kemas dan lulus selaku pemberian pertama ini.
Duetnya bersama Faizal Tahir di majlis malam AIM tempoh hari membuktikan kekuatan suaranya secara ‘live’, tetapi rekodnya pula yang sedikit kurang sebenarnya. Bukan apa, komposisi lagu-lagunya begitu formula dan seperti kekeringan idea yang segar, hanya selesa dengan irama-irama yang biasa didengar dan pada hakikatnya juga, tidak mual-mual dilahap oleh konsumer pop secara keseluruhan.
Walaupun Rossa sendiri mempunyai karisma yang menceriakan dan kelantangan vokal yang menyinar, albumnya ini kebuntuan konsep dan terlalu bergantung kepada motif-motif lemau, yakni “cinta”. Cinta memang senang jual, tapi janganlah sampai ekploitasi, pendengar pun bukan lurus bendul dan senaif itu. Kejujuran persembahan barangkali, sama seperti di mana-mana juga, sesuatu yang harus disemarakkan semula di dalam artis pop rantau ini.
Namun, kerana kemerduan nyanyian Rossa, album ‘Rossa’ ini dapat dinikmati seadanya dengan kandungan lain seperti “Sakit Hatiku”, “Takkan Berpaling Dari-MU”, “Kecewa”, “1000 Malam”, “Tega”, “Hatiku Yang Sakit!” dan “Keajaiban Cinta”.
Menariknya, album ‘Rossa’ ini juga mendapat sentuhan daripada komposer ‘superstar’ Melly Goeslaw dan Anto Hoed serta juga pemuzik terbilang Indonesia seperti vokalis lelaki R&B muda, Pasha, dan Yoyo Prasetyo, pemain dram berwibawa kumpulan Padi.
0 Comments