Bagi mereka yang tergaru-garu kepala, ‘Oo La La’ ialah rancangan realiti hiburan terbaru terbitan TV9 yang bertujuan mencari bakat baru remaja dalam bidang nyanyian. Kelainannya berbanding rancangan realiti nyanyian lain adalah ia melibatkan ahli keluarga.
Seramai 10 pasangan telah dipilih di mana enam daripadanya terdiri daripada penyanyi terkenal tanahair. Empat pasangan lagi adalah dari peserta awam yang berbakat dalam bidang nyanyian.
Antara penyanyi terkenal yang terlibat adalah Andy Flop Poppy dan anaknya Megat Danial, Juliza Adzlizan bersama dua anak saudaranya, Ajreena dan Shakina; Neves dari kumpulan Pretty Ugly bersama Reen; Eddie Hamid dan Farah; serta Aris Ariwatan dan Shahida.
Empat lagi pasangan terdiri daripada Ameer dari MyStarz LG bersama bapanya Bakri; Afiq (Idola Kecil) bersama kakaknya Rini; Amira bersama ibunya Alina dan Dilla bergandingan dengan bapanya Yazid.
Penyingkiran akan dinilai melalui keupayaan pasangan dalam mengetengahkan bakat ahli keluarga masing-masing sebagai seorang penghibur. Penonton juga diberi peluang untuk mengundi peserta pilihan mereka bagi menentukan kedudukan pasangan peserta setiap minggu.
Hadiah-hadiah menarik yang ditawarkan kepada juara ‘Oo La La’ berupa wang tunai berjumlah RM30,000, tempat kedua RM20,000 dan tempat ketiga RM10,000.
Episod pertama ‘Oo La La’ sudahpun disiarkan pada hari Sabtu lalu, bersamaan 23 Mei jam 9.30 malam. Jangan lupa untuk menyaksikan episod-episod seterusnya, setiap Sabtu di TV9.
0 Comments