Konsert ‘Rhythm of Unity’ Menyedihkan


Kredit Foto: Khalilmakata

Apa cerita di konsert ‘last minute’ ‘Rhythm of Unity’ bertempat di tapak Stadium Bukit Jalil, Kuala Lumpur malam minggu lalu? Ramai yang kecewa dan terkilan dengan acara yang mungkin sewajarnya diadakan dengan niat yang murni, iaitu untuk menyatukan kumpulan-kumpulan rock terkemuka Malaysia dan Indonesia di atas satu pentas yang gilang-gemilang.

Itulah niat dan ideanya, namun realitinya begitu lain sekali. Mungkin terlalu teruk untuk dihuraikan sepenuhnya – kerugian yang dikhabarkan dalam lingkungan enam angka, siaran tergendala berejam disebabkan boikot kontraktor yang tidak dibayar, dan yang paling menyedihkan, kesan reputasi dan nama baik artis yang diundang, tidak kira artis Malaysia atau Indonesia.

Gerangan kegagalan spektakular konsert ‘Rhythm of Unity’, sebuah lagi tamparan malu telah dilemparkan ke atas nama baik bidang konsert rock di sini, pada saat ia baru mahu berkembang positif menuju tahap profesionalisme yang antarabangsa.

Awal-awal disuarakan di sini, semoga ‘disaster’ ini menjadi pedoman kepada penganjur-penganjur konsert di negara ini yang mahu mengambil kesempatan era baru muzik rock dan indie. Ingat! Keuntungan anda tidak semestinya bermakna keuntungan untuk band tempatan (yang meminta bayaran dan layanan yang setimpal), peminat muzik tempatan (yang inginkan konsert yang berkualiti) apatah lagi industri rock tanahair (yang menuju kemajuan)!

Tangguh Empat Jam
Jam 4 petang, apabila dijangka pasti penuh kerumunan kaum Slankers beratur di luar kawasan berbayar di tapak letak kereta A, Stadium Bukit Jalil untuk menanti permulaan konsert, ia kelihatan kosong sahaja. Bayangkan keraguan segerombolan peminat yang telah sedia berjemur dan selepas itu kuyup pula, apabila konsert yang dijadualkan bermula jam 5 petang masih belum ada tanda-tanda kehidupan pada pukul 6.

Disebabkan hujan lebat sekitar waktu maghrib, jawabnya pentas jam 8 malam baru siap. Berikutan tangguhan yang melampau ini, Bunkface terpaksa tarik diri untuk memenuhi komitmen konsert Jelajah Era di Shah Alam pada malam itu.

Sejam kemudian, para Slankers, Raingers dan klik-klik peminat kumpulan Estranged dan One Buck Short mula menyuarakan rasa tak puashati dengan bunyi-bunyi hambar ‘sound check’ ala kadar yang dilakukan oleh jurutera bunyi dan kru upahan penaja dan penganjur.

Kasualti kedua merupakan One Buck Short, kuartet punk rock yang digemari ramai tetapi hanya selaku pembuka tirai yang malang di ‘Rhythm of Unity’. Diakui OBS memang bertenaga, tetapi betapa susah untuk menikmati mereka apabila kualiti bunyi dan suasana tidak banyak beza dari ‘gig’ amatur biasa sahaja!

Di tengah-tengah keadaan konsert yang masih kucar-kacir itu, artis-artis yang diundang kesemuanya tetap ‘maintain’ dan meneruskan penampilan seadanya, walaupun acara sudahpun boleh dikira tergendala lebih tiga jam. Kelima-lima artis yang tinggal untuk membuat persembahan kini terpaksa memendekkan ‘set’ mereka dari sejam ke hanya sebahagian daripada itu.

Walaupun lancar dan profesional, persembahan dari kumpulan Letto dan Estranged kedua-duanya sedikit melarat kalau dilihat dari sudut ratusan Slankers yang meramaikan tapak konsert untuk menemui band utama pada malam itu. Tetapi wajar dihargai, Letto, yang paling dikenali dengan lagu “Ruang Rindu”, malam itu membuktikan diri mereka sebagai kugiran pop-rock ‘live’ yang mahir dan lengkap. Estranged lagi menonjol, mengambil peluang mengetengahkan katalog nyah-pop mereka, kembali mengganas dengan repertoire ‘new metal’ yang agak mantap disampaikan pada malam itu.

“Kameo” Slank
Selepas beberapa jam yang terasa begitu lama, ketibaan istimewa Slank selaku ‘headliner’ dan penarik utama konsert ‘Rhythm of Unity’ lebih kepada ‘kameo’ beberapa saat sahaja. Selepas dua lagu hit terkenal mereka, penampilan Slank selesai dengan Kaka, Ridho, Abdee, Bim Bim dan Ivanka berkumpul di hadapan pentas untuk menunduk hormat ke arah penonton, tanda selamat tinggal dan ‘thank you, good night’. Reaksi bingung universal dari semua yang hadir ketika itu: “Apa cerita ni?”

Tiada drama dari pihak Slank, malah nampak ‘cool’ dan senyum sahaja di belakang pentas Kaka dan sahabat-sahabatnya selepas konsert yang pasti agak kelakar bagi mereka itu. Mujur lagi, tiada apa-apa drama atau tunjuk perasan dari pihak Slankers yang berambut gondrong dan berseluar jeans ketat pelbagai warna!

Slank, ikon MTV Indonesia yang pertama, perintis rock di Indonesia pra-Dewa, lagenda kultus yang mempunyai kira-kira 15 keluaran album termasuk sebuah album Inggeris yang dipasarkan di Amerika Syarikat baru-baru ini, dihadapkan dengan sebuah konsert tak laku (bukan salah Slank), kesuntukan masa dan juga pentas yang tidak berbumbung.

Rakan-rakan artis Malaysia juga tampak hadir menyokong Slank seperti Aru dari Koffin Kanser/Republic of Brickfields, yang datang siap dengan T-shirt Slank menunjukkan kesejatian minatnya. Hujan yang hangat dan sensasi pun bertungkus lumus mempercepatkan persembahan mereka (termasuk sebuah lagu baru berjudul “Obsesi”) untuk mengalu-alukan kumpulan Slank naik ke pentas dan menemui peminat mereka.

Cukup pelik pengalaman konsert ‘Rhythm of Unity’, sesuatu yang tak mungkin sanggup diharungi lagi oleh setiap insan yang membayar harga tiket RM55 (kemudiannya diturunkan ke RM35 apabila semakin ketara kekurangan ‘crowd’ yang sudi memenuhkan kawasan berbayar di depan pentas) untuk masuk ke kawasan “tertutup” itu.

Seperti yang dirumuskan oleh Dimas, pemain kibod Hujan selepas persembahannya: “Saya rasa seperti mahu buat T-shirt ¬... ‘I Survived Rhythm of Unity’.” Ya, konsert itu menyedihkan sebegitu sekali. Tolonglah jangan ada lagi, demi kewarasan suasana konsert di Malaysia.

Post a Comment

0 Comments