3 Tempat Mesti Lawat Di Kuching


Setelah hampir lima tahun tidak menjejakkan kaki ke Bumi Kenyalang, akhirnya pada penghujung Februari lalu, GUA berkesempatan ke negeri itu. Itu pun atas undangan Tourism Malaysia dan Tourism Sarawak.

Paling menarik, lawatan media kali ini kami bukan sahaja dibawa menjelajah di sekitar bandaraya Kuching, tetapi ke beberapa daerah lain. Sebab itu sebaik sahaja melihat aturcara program yang dikirim melalui email, GUA terus teruja untuk turut serta.

Sebelum GUA bercerita lebih panjang, ada baiknya GUA ceritakan serba-sedikit tentang keunikkan negeri ini. Mana tahu, info ini boleh membuka pintu hati anda untuk ke sana.

Dengan keluasan muka bumi 124,499 kilometer persegi, Sarawak mempunyai jumlah penduduk lebih daripada dua juta orang yang terdiri daripada 30 suku kaum. Kuching merupakan pusat pentadbiran atau ibu negeri kepada negeri yang terkenal dengan kek lapis yang berwarna-warni.




Bandar yang dinaikkan taraf sebagai bandaraya pada 1 Ogos 1988 itu memiliki keistimewaan tersendiri kerana ia adalah satu-satunya bandaraya yang mempunyai dua orang Datuk Bandar. Ini kerana keluasan bandaraya Kuching amat besar. Sebab itu ia dibahagikan kepada dua kawasan iaitu Kuching Utara yang ditadbir oleh Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) dan Kuching Selatan yang ditadbir oleh Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS).

Oklah, cukup bercerita tentang fakta. Kepada yang belum pernah ke bandaraya Kuching, pasti anda tertanya-tanya ke mana harus kaki melangkah bukan? Jangan risau, maklumat berikut pasti membantu. Paling penting, rancang percutian anda bermula dari sekarang. Kalau wang jadi penghalang, mulalah menabung hari ini!

Ini tiga tempat yang mesti dilawati apabila anda sampai ke Kuching, Sarawak.

1. Kuching Waterfront
Ini tarikan utama bandaraya Kuching. Di kalangan warga Kuching, lokasi ini popular dan sering menjadi tumpuan, terutama di hujung minggu. Kunjungan anda ke Kuching dikatakan tidak lengkap jika tidak singgah ke sini. Ini kerana, selain daripada dapat menikmati panorama indah Sungai Sarawak, anda juga berpeluang menikmati makanan dan minuman di gerai-gerai yang terletak di susur pejalan kaki.

Jangan lupa menikmati segelas kopi atau teh di sini. Penyediaan minuman ini berbeza dengan yang ada di sini. Ia dihidangkan secara tiga lapis. Soal rasa jangan dirisaukan, memang enak.


Dirasmikan pada September 1993, Kuching Waterfront mudah untuk dikunjungi kerana ia terletak di tengah-tengah pusat bandaraya. Malah, kebanyakan hotel penginapan sama ada mewah atau hotel bajet terletak tidak jauh dari lokasi berkenaan.

Satu aktiviti yang ingin GUA sarankan kepada anda ialah menyusuri Sungai Sarawak dengan menaiki bot tambang yang mudah didapati di sini. Tambang yang dikenakan bergantung kepada kecekapan anda tawar-menawar. Tetapi percayalah, harga yang dikenakan memang setimpal dengan pengalaman yang bakal anda perolehi.

Paling mengasyikkan jika aktiviti ini dilakukan pada waktu petang. Bolehlah melihat matahari terbenam (sunset). Pemandangannya memang indah dan mengasyikkan. GUA dan rakan-rakan tempoh hari tidak henti-henti merakam memori untuk dijadikan kenangan.


2. Kampung Budaya Sarawak
Dengan melawat perkampungan ini, anda bagaikan sudah melawat ke seluruh negeri Sarawak. Sebab itulah, ia digelar muzium hidup terbesar di dunia. Perjalanan ke sini mengambil masa kira-kira 45 minit dari Kuching dan tiketnya pula berharga RM60 untuk dewasa dan RM30 untuk kanak-kanak. Memanglah harganya agak tinggi tetapi ia berbaloi kerana di situ anda bukan sahaja dapat melihat aktiviti kebudayaan, tetapi anda juga dapat melihat pelbagai aspek sosio budaya kaumnya yang pelbagai.




Dengan berlatar belakangkan Gunung Santubong, Kampung Budaya Sarawak ini mempunyai tujuh model berskala asal iaitu Rumah Panjang Bidayuh, Rumah Panjang Orang Ulu, Rumah Panjang Iban, Pondok Penan, Rumah Melanau, Rumah Melayu dan Rumah Cina. Selepas meninjau kesemua rumah berkenaan, bolehlah singgah sebentar ke panggung kampung ini untuk melihat keunikkan tarian masyarakatnya seperti tarian Ngajat Lesong dan Ngajat Pahlawan. Persembahan tarian ini hanya diadakan untuk dua sesi iaitu pada jam 11.30 pagi dan 4 petang.


Sekiranya anda bertandang ke sini pada hari-hari keraian seperti Hari Gawai, Pesta Menuai, Hari Raya ataupun Tahun Baru Cina, anda berpeluang meraikan perayaan ini di sini sambil menikmati hidangan yang menyelerakan. Selain itu, anda juga akan mendapat diskaun untuk pembelian tiket masuk.

3. Taman Negara Bako
Taman Negara tertua di Sarawak ini menggabungkan laut, pantai, paya, hutan dan tanah tinggi. Sebab itulah ia cukup unik dan tidak stereotaip dengan taman-taman negara yang lain. Untuk sampai ke sini anda perlu menaiki bot kecil selama 20 minit dari Kampung Bako.

Terletak 37 km dari Kuching, Taman Negara Bako kaya dengan flora dan fauna. Monyet Proboscis atau dikenali sebagai ‘Orang Belanda’ merupakan tarikan utama pengunjung ke taman ini. Maklumlah, monyet ini hanya boleh ditemui di Borneo. Bagaimanapun, mengikut rekod, taman negara yang diwartakan pada tahun 1957 ini mempunyai 600 spesis tanaman bunga, termasuk 49 spesis orkid serta 267 spesis haiwan, termasuk 30 spesis mamalia, 34 spesis kelawar, 24 spesis reptilia dan 16 spesis amfibia selain 196 spesis burung.

Salah satu keistimewaan Taman Negara Bako ialah ia mempunyai 18 denai yang dikod mengikut warna bagi memudahkan mengunjung membuat pilihan pengembaraan, sama ada yang mudah atau sukar. Pilihan ini boleh dilakukan ketika anda berada di pejabat taman negara di Telok Assam.

Apa pun pilihan anda, GUA nasihat supaya anda memakai pakaian yang sesuai. Jangan pakai jeans atau selipar. Ini kerana anda perlu masuk ke dalam air sekiranya bot tidak boleh menghampiri pantai. Jangan jadi macam rakan GUA, dia terpaksa bergerak dalam keadaan yang tidak selesa kerana seluar jeansnya basah sehingga ke lutut.

Sebagai info tambahan, lawatan ke taman negara ini tidak begitu digalakkan pada Oktober hingga Mac. Masa yang paling sesuai ialah pada April sehingga September. Ini kerana pada waktu itu keadaannya tidak begitu lembap seperti pada musim monsun.

Post a Comment

0 Comments