Maizawati Mula Langkah Berceramah


Namanya mungkin kurang popular andai tidak dikaitkan dengan nama Akhil Hayy. Sementelah statusnya kini masih bergelar isteri kepada pendakwah itu walaupun sejak akhir-akhir ini kekeruhan rumah tangga mereka hangat diperkatakan di seluruh negara.

Sebelum ini, nama Maizawati Zainal tidak pernah dihidu pihak media mahupun orang awam kecuali individu serta kumpulan yang sering mengikuti ceramah ustaz Akhil di sekitar Semenanjung serta Singapura.

Berpatah arang berkerat rotan dan enggan berundur daripada permohonannya untuk berpisah, keputusan itu hanya akan diketahui pada 15 Julai nanti.

Masalah rumah tangga yang dihadapi Maizawati tidak jauh bezanya dengan ribuan kes yang dialami wanita biasa, namun, sebagai individu yang mempunyai kaitan dengan pendakwah selebriti, Maizawati antara wanita contoh.

Melihat wajah tenang Maizawati, pasti ramai ingin berkongsi rahsia bagaimana dia mampu bersabar dengan dugaan paling hebat dalam diari seorang wanita itu. Dan faktor itu jugalah menjadi kriteria pemilihannya sebagai duta Yayasan Pembangunan Nurhikmah yang berpusat di Kajang.

Bukan mencari populariti jauh sekali membuka aib suami, wanita beranak enam ini sekadar ingin berkongsi pengalaman hidup sepanjang menjadi isteri kepada pendakwah serta kisah ‘survival’nya sepanjang tiga bulan ditinggal suami.

“Ingin saya tegaskan, tujuan saya menjadi duta untuk yayasan ini sekadar memenuhi tanggungjawab sebagai insan. Lagipun saya bukan ingin bercerita mengenai keburukan orang lain, sebaliknya sekadar berkongsi kisah bagaimana menjadi isteri dan suaminya pula selalu berpergian kerana tuntutan tugas,” katanya.

Menolak dakwaan kononnya dia sengaja mencari publisiti, Maizawati tidak menafikan, keterbukaannya untuk menjadi duta sekaligus membuka ruang luas untuknya berdampingan dengan media sedikit sebanyak disalah erti oleh sesetengah pihak.

“Pertama sekali perlu dijelaskan, bukan saya yang mencari media, sebaliknya pihak media yang mahukan penjelasan dari pihak saya yang selama ini berdiam diri. Malah sebagai wanita, saya juga berhak mempertahankan hak saya sebagai seorang isteri dan ibu kepada anak-anak kami.

“Keduanya saya bersedia menjadi duta setelah bersedia dan merasakan banyak pengalaman positif yang boleh dikongsi bersama wanita yang senasib dengan saya. Pengalaman berceramah bukan baru sehari dua diperolehi, sebaliknya saya sudah terdedah kepadanya sejak awal perkahwinan bersama ustaz Akhil. Malah saya tidak nafikan seringkali diminta muncul di hadapan kamera sejak dibangku sekolah, cuma minat saya bukan ke arah itu,” akui Maizawati.

Sejak kisah pergolakan rumahtangga yang dihadapinya, Maizawati acapkali menerima nasihat dan kata-kata semangat daripada ratusan individu yang dikenalinya sepanjang mengikuti suami berceramah. ‘Perkenalan’ Maizawati dan Yayasan Pembangunan Nurhikmah diatur bekas anggota Raihan, Nordin Jaafar.

BondaMama jana pendapatan
Yayasan Pembangunan Nurhikmah merupakan subuah badan amal yang menumpukan kerja-kerja amal dan pendidikan kepada wanita berstatus ibu tunggal serta anak yatim di seluruh negara melalui program MangkukTingkat.com. Melalui program ini, ramai ibu tunggal serta anak yatim dapat turut serta.

Percaya kepada kemampuan setiap ibu tunggal, Yayasan Pembangunan Nurhikmah membuka satu lagi program yang membantu meningkatkan pendapatan ibu tunggal serta suri rumah iaitu melalui portal BondaMama.com.

Menurut pengarah programnya, Normalianty Omar, program BondaMama memberi peluang kepada surirumah menjana pendapatan dengan menjadi pengasuh bayi dan kanak-kanak.

“Setiap peserta (bonda) akan diberikan latihan khas daripada pihak kami dan Unit Pendidikan Berterusan, Universiti Malaya. Ibu-ibu (mama) yang bekerja tidak perlu gusar menghantar anak mereka kepada Bonda kerana anak mereka akan mendapat penjagaan bersifat personal. Peserta (Bonda & Mama) yang berminat boleh mendaftar di laman sesawang www.BondaMama.com. Kami akan memadankan peserta mengikut zon tempat tinggal mereka,”katanya.

Untuk permulaan, BondaMama.com akan mengadakan ceramah mengenai programnya pada 20 dan 21 Jun ini di Hotel De Palma, Ampang. Maizawati akan berada di sana untuk memberikan ceramah sulungnya.

Post a Comment

0 Comments