Band-Band Hangat Di Pesta Malam Indonesia 3


Hujung minggu ini jangan lupa temujanji anda dengan Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) yang akan berlangsung di Stadium Bukit Jalil (tempat letak kereta A) pada 20 Jun, bermula jam 10 pagi sehingga tengah malam.

Acara yang dibawakan oleh TELEKOM Malaysia Berhad (TM) dan Fat Boys Records Sdn Bhd ini akan membariskan lima kumpulan hebat daripada Indonesia yang terdiri daripada Andra & The Backbone, Gigi, Sheila On 7, Dewa19 dan Padi.

Acara yang akan dimulakan dengan persembahan pembukaan daripada kumpulan rock tempatan, Jinbara dan Aku ini akan menyajikan persembahan beraneka genre muzik bagi memberi kepuasan kepada setiap pembeli tiket.

Dalam sidang medianya tengahari tadi, pihak penganjur telah menggumumkan bahawa pengunjung yang menghadiri PMI3 bukan sahaja boleh menikmati muzik dari Indonesia bahkan mengenali kumpulan yang terlibat secara lebih dekat.

Menurut Pengurus Operasi Fat Boys Records Sdn Bhd, Hamkanudin Mohd Taufik, pada hari konsert tersebut akan diadakan acara bertemu dengan peminat bagi pengunjung bertuah.

“Acara ini akan diadakan selepas setiap kumpulan mengadakan persembahan. Setiap kumpulan hanya akan melayan 20 orang peminat sahaja. Untuk mendapat peluang ini, pengunjung perlu membeli barangan TM di kaunter-kaunter yang disediakan pada hari tersebut,” ujar Hamkanudin.

Sementara itu, mengulas mengenai penglibatan TM dalam PMI3, Naib Presiden Produk Jualan TM, Azizi A. Hadi berkata, ia adalah satu cara untuk menguatkan jenama TM. Jelasnya lagi, penganjuran PMI3 juga adalah sebagai cara TM menghargai khalayak pengguna terutama mereka yang menggunakan produk kad iTalk.

Kepada yang berminat untuk menghadiri festival muzik ini anda boleh membeli tiket pada harga RM63 seorang. Tiket konsert PMI3 dijual di Stadium Putra Bukit Jalil dan kaunter Axcess Tickets di Axxess Office, Section 14, Petaling Jaya; 1 Utama Box Office, Bandar Utama dan Alamanda Shopping Centre, Putrajaya.

Post a Comment

0 Comments