Kepesatan band baru Indonesia ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Setiap hari ada sahaja nama dan lagu baru diperkenalkan di arena arus perdana. Itu belum lagi band-band indie yang menunggu peluang untuk muncul dengan karya muzik mereka.
Sebagai sebuah band yang sudah bertapak di pentas arus perdana muzik Indonesia sejak sedekad lalu, Padi sedikitpun tidak pernah merasa tercabar dengan kemunculan band baru yang dianggap sebagai pelapis kepada industri hiburan negara itu. Malah, mereka tidak pernah menganggap band pelapis ini sebagai pesaing apatah lagi seteru yang boleh menidakkan kehadiran mereka dalam industri.
Tempoh 10 tahun yang diperoleh bukan satu jangkamasa singkat untuk sebuah band bertahan. Sejarah membuktikan, sukar untuk sesebuah band bertahan dalam tempoh itu, apatah lagi mengekalkan ahli kumpulan yang sama sejak dari awal penubuhannya. Tetapi Padi membuktikan tempoh 10 tahun bukan halangan untuk mereka terus unggul sebagai salah sebuah band yang disegani, malah terus mengekalkan silaraturrahim sesama mereka.
“Syukur ke hadrat Tuhan kerana Padi terus utuh untuk terus berkarya dan tiada seorang pun antara kami bertindak meninggalkan band,” kata Rendra, selaku pemain gitar bass Padi.
Dalam band lain sibuk mencari tapak untuk terus berada di antara yang terbaik, Padi terus unggul dalam kelasnya yang tersendiri, menghasilkan karya yang merungkai soal jiwa manusia dengan lirik yang begitu puitis.
Tidak mahu terburu-buru dalam merencanakan perjalanan muzik, tidak pula mahu ketinggalan dalam kehangatan band-band lain melunaskan album mereka, Padi dalam proses menyiapkan album terbaru yang bakal hadir penghujung 2009 ini.
“Segala-galanya berjalan dengan baik sekali, tidak perlu terburu-buru untuk menghasilkan karya. Kami merasakan inilah masa yang terbaik untuk tampil dengan album baru namun, judulnya belum ada lagi,” tambah Rendra.
Proses penghasilan album yang sudah 50 peratus siap bakal menyaksikan karya Padi yang dilihat sangat unggul di kalangan peminat fanatiknya. Jika selama ini lirik lagu mereka banyak berkisah tentang jiwa insan sedang bercinta, album baru ini lebih kepada perasaan berkelana sang insan bergelar manusia.
“Kami tidak menetapkan lirik bagaimana yang harus diketengahkan, apatah lagi mengikut permintaan pasaran. Apa yang hadir dalam lirik itu adalah luahan perasaan yang dialami ketika itu. Namun itu pun bukan bermaksud kami sedang bercinta,” katanya.
Namun, dia tidak menafikan album terbaru nanti bakal menyorot kisah lara seorang manusia dan ada antaranya diambil dari kisah duka salah seorang anggotanya, Yoyo yang sudah berpisah dengan penyanyi popular Indonesia, Rossa.
“Iya, tempoh 10 tahun kan lama, jadi pelbagai perkara boleh berlaku dalam tempoh itu. Kali ini kami merasakan harus diketengahkan lirih yang banyak bercerita mengenai perasaan duka serta konsep albumnya minimalis,” akui Rendra.
Hadir ke Malaysia untuk menjayakan Pesta Malam Indonesia 3 (PMI3) yang bakal berlangsung di Bukit Jalil 20 Jun ini, Rendra hadir ke sidang media PMI3 bersama dua rakannya, Piyu dan Ari. Walau bagaimanapun, penyanyi dan pemain drum band ini, Fadly dan Yoyo tidak dapat hadir kerana keletihan.
0 Comments