Nas Adila Serik Bercinta


Cerita pertunangan di antara penyanyi Nas Adila dan Putera Megat Azizul Azree Datuk Baharin yang dikatakan salah seorang kerabat diraja negeri Kedah mengejutkan banyak pihak. Lebih kontroversi apabila Putera Megat Azizul Azree atau Ary bukanlah kerabat diraja seperti yang dihebahkan. Akibatnya hubungan yang terjalin menjadi tegang dan terputus di tengah jalan.

Berkesempatan bertemu dengan Adila baru-baru ini, dia menyatakan rasa serik untuk menjalinkan hubungan cinta dengan mana-mana lelaki selepas putus tunang. Katanya buat masa ini dia belum terfikir untuk mencari teman istimewa walaupun ada pihak yang cuba mendekatinya.

"Saya putus tunang dua hari sebelum 'final' Akademi Fantasia 7 (AF7). Memang rasa sedih tetapi selepas berbincang dengan keluarga, rasanya itulah keputusan terbaik yang dibuat. Saya tak nafikan kontroversi tersebut menjadi antara punca perpisahan kami.

"Tetapi ada juga sebab-sebab lain yang saya rasakan terlalu peribadi untuk saya nyatakan di sini. Bagaimanapun saya tetap bersyukur kerana itu merupakan antara pengalaman hidup yang pernah saya lalui dan rasai. Mujurlah keluarga dan peminat sentiasa memberikan sokongan kepada saya," ujar Adila.

Enggan mengingati peristiwa sedih itu lagi, Adila lebih senang membicarakan tentang kerjaya seni nyanyian dan lakonannya yang semakin berkembang. Katanya kalau dia sentiasa bersedih dengan apa yang berlaku, dia pasti tidak akan maju dalam hidup. Oleh sebab itu, penyanyi yang baru berusia 23 tahun itu menganggap perkara tersebut sebagai takdir dan pasrah dengan ketentuan Allah.

"Sekarang saya dalam proses menghasilkan single terbaru. Mengikut perancangan, saya akan memuatkan dua buah lagu. Satu daripadanya ialah “Salah Siapa”, ciptaan Adi Hassan. Manakala satu lagi lagu berentak pop etnik ciptaan Aidit Alfian.

"Namun lagu tersebut belum mempunyai tajuk sebab beberapa perubahan akan dibuat. Kalau segala-galanya berjalan lancar, single tersebut akan dilancarkan pada penghujung Julai ini," ujarnya yang lebih senang bergerak sendiri melalui syarikatnya, Nas Adila Entertainment.

Ditanya tentang nasibnya di dalam industri nyanyian yang dikatakan sering 'tidak bertuah', dia tidak menafikan perkara tersebut. Namun katanya dia tidak sekali-kali akan berputus asa kerana percaya berkat usaha gigihnya, kejayaan pasti akan menjadi miliknya.

"Saya anggap belum rezeki saya untuk popular. Selain saya, ramai lagi penyanyi lain yang turut menerima nasib yang sama. Oleh sebab itu saya mengharapkan single yang bakal saya keluarkan kelak akan mengubah nasib saya.

"Sebab itulah saya mengambil masa yang agak panjang untuk mengeluarkan single ini kerana mahu memastikannya benar-benar berkualiti dan menepati selera pendengar masa kini," katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Adila memberitahu dia bersyukur kerana terpilih menjadi peserta AF7. Walaupun tersingkir awal, namun populariti program tersebut banyak membantu kerjaya seninya. Buktinya sehingga kini dia sentiasa ditawarkan pelbagai undangan nyanyian di seluruh negara. Malah peminatnya juga semakin bertambah mencakupi warga Singapura dan Brunei.

"Saya bersyukur kerana dalam kegawatan ekonomi, rezeki saya sentiasa murah. Selain menerima tawaran nyanyian, saya juga kini menjadi duta produk kecantikan Camella Cosmetics yang dihasilkan berasaskan emas.

"Saya menerima tawaran tersebut kerana selepas beberapa bulan menggunakannya, saya dapati ianya cukup sesuai dan memberikan kulit yang lebih sihat kepada saya. Melihat akan kesannya yang positif, saya bersetuju untuk menjadi duta produk itu selama enam bulan buat permulaan," jelasnya.

Selain itu, Adila juga kini bergelar pelakon apabila mula membabitkan diri dalam bidang lakonan melalui drama ‘Impak Minima’. Drama komedi itu menggandingkannya dengan ramai pelakon ternama antaranya Nabila Huda, Riezman Khuzaimi dan Munir.

"Sebelum ini saya memang pernah berlakon. Tetapi tidak begitu menonjol seperti di dalam filem ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ kerana tidak banyak babak yang membabitkan saya. Di dalam ‘Impak Minima’, kiranya itu lakonan pertama saya yang agak serius kerana di dalam beberapa episod, saya menjadi pelakon utama.

"Buat masa ini saya sudah dapat beberapa tawaran lain dan semuanya masih dalam peringkat perbincangan lagi. Saya semakin menyukai bidang lakonan kerana ia memberikan pengalaman baru kepada saya," katanya.

Post a Comment

0 Comments