Lebih setahun setengah selepas beribu gambar intimnya bersama beberapa aktres Hong Kong disiarkan di Internet, Edison Chen nampaknya sudah bersedia untuk meneruskan kehidupannya. Juruteknik komputer yang mencuri gambar-gambar tersebut telah dijatuhkan hukuman penjara selama lapan setengah bulan pada April lalu.
Walaupun kepulangan Edison ke Hong Kong – apabila kontroversi ini melanda, dia telah membawa diri ke Amerika Syarikat – menerima reaksi yang bercampur-baur daripada masyarakat umum, namun jejaka berusia 28 tahun ini tabah menghadapi cemuhan dan ancaman ke atas nyawanya.
Pernah mengatakan dia tidak lagi akan terlibat di dalam bidang hiburan, Edison kini lebih senang menumpukan perhatian kepada perniagaannya. Tengah hari tadi, bertempat di Bangsar, pengasas CLOT Inc dan ketua pegawai eksekutif Clot Media Division Limited ini telah merasmikan pembukaan kedai pakaian pertamanya di Malaysia, yang dinamakan Juice. Sam Lee, rakan seangkatannya dalam filem ‘Gen Y Cops’ turut hadir untuk meriahkan acara.
Jika ada yang merasakan nama Edison sudah tidak lagi laku ekoran insiden tersebut, berdasarkan ratusan orang yang mengerumuni kedainya tadi, semua itu sudah dimaafkan. Baik lelaki atau perempuan, semuanya tak habis-habis menjerit namanya.
Di dalam satu sidang media yang telah diadakan di dalam kedainya, dimana pihak media terlebih dahulu dimaklumkan untuk tidak bertanyakan sebarang soalan berkait kontroversi yang telah berlaku, Edison menjelaskan keputusannya untuk meneroka pasaran Malaysia kerana populasi Cina-nya yang ramai selain adanya ruang yang besar untuk mengembangkan ‘street culture’ (budaya jalanan) di sini serta adanya seorang rakan kongsi yang bagus, Edwin Choong.
“Saya juga amat yakin dengan keadaan ekonomi Malaysia. Jika tidak, takkan saya mengambil risiko dan membuka sebuah kedai di sini?”
Jelas Edison yang masih kelihatan kacak walaupun berat badannya sudah susut dengan nyata sekali, pada usia yang muda dia sudah minat melukis walaupun diakuinya dia tidaklah begitu bagus di dalam seni lukisan. Ditambah dengan minatnya terhadap fesyen, yang dikatakan bermula selepas meminati pemain bola keranjang legenda Michael Jordan, tidak menghairankan mengapa dia akhirnya memasuki industri fesyen.
Sudah lebih 10 tahun dia menunggu peluang untuk terjun ke dalam industri ini tetapi keadaan ketika itu tidak mengizinkan dengan komitmen lakonan dan nyanyian. Namun, tercapai juga impiannya apabila bersama rakan kongsi Kevin Poon, mereka telah menubuhkan CLOT Inc.
Dengan terbukanya kedai fesyen pertamanya di Malaysia, Edison memberitahu dia akan kerap ke sini untuk menganjurkan pelbagai aktiviti, konsert dan promosi bagi menengahkan budaya jalanan.
Buat peminat fesyen streetwear, Edison menjanjikan setiap tiga bulan akan diketengahkan beberapa rekaan khas buat orang-orang Malaysia. Rekaan pertamanya, satu topi khas sempena pembukaan Juice.
Selain bidang fesyen, Edison juga akan membahagikan masanya kepada kerja-kerja belakang tabir, dimana dia akan terlibat dalam kerja-kerja produksi untuk artis-artis di bawah naungan syarikatnya seperti DJ Tommy dan terbarunya, pelakon-penyanyi Josie Ho.
Ditanya jika dia akan bersara pada usia 32 tahun seperti yang dikhabarkan pada suatu masa dulu (sebelum insiden gambar intimnya tersebar), katanya, “Rasanya sudah tidak mungkin disebabkan beberapa perkara yang telah berlaku. Mungkin pada usia 35 tahun, jika saya bekerja keras mulai sekarang.”
Kepada persoalan siapakah yang telah mendorongnya untuk meneruskan perjalanan hidupnya, Edison memberitahu, rakan-rakannya.
“Saya akui pernah putus asa, hilang arah tetapi jika bukan kerana kawan-kawan yang memberi sokongan kepada saya, tidak mungkin saya dapat bertahan sehingga hari ini. Saya senang dengan hidup saya kini, menjalani kehidupan yang saya ingini.”
0 Comments