Rezeki Audi-Nikki Melimpah Menjelang Perkahwinan


Inilah yang dikatakan rezeki orang berkahwin, tak putus-putus tawaran kerja yang diterima hinggakan tiada masa untuk merancang majlis perkahwinan yang lebih besar.

Jika pengantin lelaki sibuk dengan kerja-kerja rakaman album, pengantin perempuan pula terpaksa memenuhi komitmen di Shout! Awards (17 Julai), Anugerah Planet Muzik (18 Julai) dan aktiviti-aktiviti promosi untuk album keduanya, ‘Hawa’. Malah, tiga hari sebelum hari bersejarahnya, Nikki Palikat akan mengadakan persembahan di Borneo Baruk Club, Jalan Kia Peng, Kuala Lumpur.

“Kami tak sangka bila kami tetapkan tarikh 27 Jun untuk berkahwin selepas bertunang dulu (pada 26 Disember), jadual kami akan padat begini. Signifikan tarikh 27 Jun itu kerana ia tarikh lahir adiknya, June dan kami pun taknak bertunang lama,” jelas gadis berusia 23 tahun ini petang semalam, selepas pelancaran rasmi album ‘Hawa’.

Kesibukan jadual mereka bukan sahaja bermakna tempoh bulan madu mereka nanti tidak panjang, hanya lima hari di Bali, Indonesia, tetapi anak jati Kota Kinabalu ini juga tidak berpeluang meluangkan masa bersama ibunya sebelum bergelar isteri orang.

“She wants to have a heart-to-heart talk with me tapi saya memang takde masa nak balik. Saya anak kelima dari tujuh adik-beradik. Kiranya saya ni baby of the family, dan anak kesayangan ibu,” katanya sudah membayar tiga orang kakaknya dengan barangan kemas kerana terlebih dahulu berkahwin dari mereka.

“Ibu pernah menangis kerana sedih perkahwinan kami tidak diadakan di Sabah. Sebab itu pada awal Ogos nanti kami akan mengadakan satu majlis resepsi sederhana di sana sebagai memenuhi hasratnya.”

Majlis ringkas jadi pilihan
Majlis yang bakal diadakan pada 27 Jun ini hanya satu upacara gereja yang ringkas, dihadiri kira-kira 17 orang anggota keluarga Nikki selain keluarga Audi Mok dan rakan-rakan terdekat mereka. Nikki akan mengenakan gaun perkahwinan rekaan Jovian Mandagie (“konsepnya pari-pari dan berbeza dari rekaan Jovian untuk saya sebelum ini yang lebih ‘heavy’, kali ini dia mencadangkan sesuatu yang simple dan sweet) sementara Audi pula akan memakai sut dari Lord’s Tailor.

Menurut Audi yang turut hadir di majlis semalam, tidak banyak yang perlu dilakukan dari segi persediaan. Walaupun sudah mendaftar perkahwinan mereka pada 30 Mei lalu, namun dari segi agama (kedua-duanya beragama Katolik), mereka belum lagi diiktiraf sebagai suami isteri selagi tidak berkahwin di gereja.

Makan malam yang akan diadakan di Melaka pada malam itu diaturkan oleh ibu bapa Audi. Para jemputan yang bakal hadir terdiri daripada saudara-mara dan rakan-rakan mereka.

“Mereka sudah lama mendesak saya untuk berkahwin. Jadi, makan malam itu sesuatu yang penting buat mereka. Lagipun ini perkahwinan pertama di dalam keluarga saya. Saya hanya perlu tunjuk muka dan kumpul duit ang pow,” seloroh komposer terkenal yang berusia 37 tahun itu.

Audi teman lelaki pertama
Walaupun diusik Nikki sebagai seorang yang tidak romantik, namun cara lamarannya cukup ‘sweet’. Dedah Audi, sebelum berangkat ke Bangkok untuk menyambut harijadi Nikki, dia sudah merancang kesemuanya dengan adiknya. Namun perancangan itu tidak dapat dilaksanakan atas sebab tertentu dan mereka terpaksa mencari restoran lain. Tetapi akhirnya, semuanya berjalan dengan lancar.

Detik romantik itu sempat dirakam Audi dan ditunjukkan kepada para media. Nikki telah ditarik ke pentas untuk menari bersama penari-penari di situ. Sebaik saja selesainya tarian itu, Audi dilihat berjalan ke arahnya, melutut sebelum melamarnya. Ekspresi muka Nikki bertukar dari terkejut ke gembira dan terharu. Yang kelakarnya, Audi pada mulanya menyarungkan cincin pada jari yang salah.

“Lepas tu barulah saya faham mengapa dia tension semacam je dari waktu kita berlepas dari KL hingga malam itu. Saya tak jangka yang dia akan melamar saya,” cerita Nikki.

“Kami sudah tiga tahun berkawan walaupun saya memang serius tentang perhubungan ini sejak dari mulanya. Saya bukan seorang yang suka berdating. Dia boyfriend pertama saya (Audi yang duduk di sebelahnya pula menunjukkan jari telunjuknya, melambangkan Nikki juga teman wanita pertamanya).

“Masa bersekolah dulu saya tak fikir tentang boyfriend kerana saya belajar di sekolah perempuan. Apabila saya dewasa, saya hanya terfikir bagaimana nak mencapai cita-cita saya untuk menjadi seorang penyanyi.

“Tapi bila berjumpa dengannya, saya merasakan he’s the one. Tiada orang lain yang memahami saya sepertinya.”

Tak kenal maka tak cinta
Nak dijadikan cerita, Audi sebenarnya tidak berapa menyukai Nikki apabila mereka bertemu buat kali pertamanya, ketika rakaman single pertamanya selepas terkeluar dari ‘Malaysian Idol’.

“Masa tu, saya merasakan dia sombong. Dan apabila pengurusnya Vernon (Jolly Kedit) menelefon saya untuk menolong menerbitkan album sulungnya, saya kata ‘No way’. Hanya selepas album ‘Maharani’ keluar, baru saya mula mengenalinya,” dedah Audi.

Ditanya jika kerjasama di antara mereka sebagai produser dan penyanyi akan lebih mudah selepas bergelar suami isteri, kata Audi, “Kami mempunyai sempadan yang jelas di antara kerjaya dan peribadi. Cara saya, apabila saya bekerja saya hanya fokus pada itu saja. Jika ia bukan berkenaan muzik, ia tiada di dalam dialog saya.”

Buat Nikki, walaupun Audi kelihatan seperti seorang yang suka main-main, membuat lawak, namun dia seorang yang bijak dan profesional dari segi kerja. “Bagi saya, tidak timbul masalah bekerjasama selepas berkahwin kerana di dalam studio saya dan dia adalah penyanyi dan produser, dan dia seorang yang terbuka kepada idea dan cadangan.”

Post a Comment

0 Comments