Bersyukur Paknil tengok perubahan diri Nana yang kini bergelar isteri orang berbanding masa mula-mula Paknil mengenalinya tujuh tahun lalu.
Nampak gayanya, seorang demi seorang adik Paknil naik pelamin. Bermula Atie (AF1) diikuti Rosmah (AF1) dan Khai (AF1). Alih-alih, Mawi (AF3) ‘langkah bendul’ apabila dia pula terlebih dulu bernikah berbanding senior AF lain.
Begitu juga dengan Dekna (AF5) yang khabarnya kini bahagia membelai anak di Pulau Pinang.
Selamat Pengantin Baru juga Paknil ucapkan buat Aswad (AF5) yang khabarnya turut naik pelamin baru-baru ini. Mungkin Aswad terlupa nak layangkan kad buat Paknil kut, tetapi Aswad sempat juga jemput Paknil ketika bersua dengan dia dan tunangnya sebelum itu.
Velvet (AF4) juga terus mendiamkan diri setelah dikhabarkan menimang cahaya mata hasil perkahwinannya dengan Rich (AF4).
Bila lihat perkembangan ini, Paknil teringat pula zaman Paknil mula-mula ‘kenen-kenen’kan mereka di AF. Khai dan Rosmah umpamanya, tak sia-sia usikan Paknil.
Bukanlah ada tujuan lain pun ketika itu selain menyakat mereka, tetapi rupa-rupanya memang tersimpan bunga cinta di hati mereka.
Difahamkan, Khai dan Rosmah bermula sebagai pasangan adik-abang angkat. Alah, biasalah tu. Terma itu bagai nak menutup hubungan yang terjalin. Samalah dengan istilah ‘teman tapi mesra’ kini!
Satu negara yang ketika itu dilanda demam AF bercerita dan membuat spekulasi akan hubungan mereka, sedangkan mereka terus bermain teka-teki. Namun Paknil dan rakan AF1 yang lain menjadi saksi keintiman mereka.
Kalau dalam bas ke destinasi persembahan, pernah Paknil lihat kemesraan mereka berdua apabila Rosmah lena terlentuk kepenatan di bahu Khai.
Paknil tumpang gembira dengan apa yang berlaku kini sebab sekurang-kurangnya Paknil turut bertanggungjawab atas hubungan mereka yang terjalin sejak di AF.
Antara pasangan yang Paknil turut terkesan dengan usikan di AF adalah Velvet dan Rich. Masih jelas di ingatan akan hubungan mereka yang kononnya ‘teman tapi mesra’.
Peristiwa kejar-mengejar dan perang bantal Velvet dan Rich di AF rupa-rupanya menjadi kenangan yang mengikat talian percintaan mereka. Puas juga Paknil dan pihak produksi menyakat di konsert AF.
Dalam pada itu Paknil ingin membawa kenangan usikan Paknil ketika mengacarakan AF. Sebenarnya, Paknil dan pihak produksi bukan sekadar membuat usikan kosong terhadap pelajar, tetapi ia hasil pengamatan tajam kami sepanjang 10 minggu mereka dikurung di akademi.
Nana dan Burn umpamanya. Usikan Paknil bukan sekadar untuk mensensasikan lagi rancangan AF, tetapi terbukti benar apabila mereka akur hubungan terputus di tengah jalan.
Vince juga kami dapati sangat intim dengan Liza ketika di AF1 yang juga akhirnya akur pada hubungan singkat. Kalau tidak, takkan pihak produksi dan Paknil ternampak mereka berpegangan tangan di bawah bantal di sofa akademi! Ooops!
Paknil berani cerita perkara ini sekarang kerana Paknil percaya mereka juga menganggap cerita ini sebagai cerita lucu dan cinta monyet di akademi.
Namun, Paknil juga pernah dituduh sebagai pencetus gosip dan ada yang kata mereka muak dengan gelagat Paknil yang sengaja mereka-reka cerita percintaan sesama pelajar.
Sekarang buat pertama kalinya Paknil ingin membuka mulut yang dah lama Paknil kunci dan berdiam diri saja apabila Paknil dituduh sedemikian rupa.
Kalau Paknil bercerita pun, adik Paknil di AF dah tak hairan sebab ada yang secara terus terang mengakui cinta mereka.
Yazer dan Ekin dari AF3 juga kini masih bergelar pasangan yang kuat ikatan percintaan mereka. Hai, bila agaknya Paknil nak merasa nasi minyak mereka. Jangan tunggu lama-lama dik oi!
Begitu juga keakraban hubungan Adam dan Farah dari AF2 yang tidak terlepas pandang.
Ramai peminat suka pasangan ini bersatu sehinggakan gelaran untuk ‘anak’ mereka yang Paknil cadangkan diguna pakai oleh kelab peminat kedua-dua bintang ini iaitu FADAM.
Kini mungkin ramai mulai percaya usikan Paknil satu ketika dulu dan Paknil percaya kini ramai pembaca ruangan ini mula mengimbas kembali siapa lagi yang pernah Paknil usik ketika di akademi.
Ingat lagi pasangan Anding-Edlin (AF2), Kefli-Marsha (AF3), Aidil-Amelia (AF3), Felix-Akma (AF3), Haziq-Leez (AF4), Mila-Ebi (AF5) dan Dekna-Rizal (AF5)?
Betul kata orang tua-tua, kalau tiada angin, takkan pohon bergoyang. Kalau tiada sebab, takkan Paknil sengaja mahu jadikan modal usikan.
Bila difikirkan balik, mungkin juga mereka perlukan teman rapat ketika di akademi sebab mereka tidak nampak wajah dunia lain ketika dikurung, selain wajah dalam akademi.
Silap-silap ada juga yang jatuh hati dengan tenaga pengajar, penasihat residen atau pengetua! Ada ke? Ooops lagi!
Inilah dia sebenarnya antara drama realiti yang terpancar di AF. Untuk pengetahuan semua, AF bukan rancangan pencarian bakat nyanyian seperti disangkakan.
Mengikut format asal, AF sebuah program yang memaparkan kehidupan pelajar di sebuah akademi nyanyian yang berusaha keras mengejar impian mereka bergelar juara pertandingan nyanyian dan menjadi realiti.
Di dalam pencarian itu, lahir pelbagai insiden dan cerita yang menjadikan ia sebagai sebuah telenovela bersiri pula. Pengisian hubungan percintaan yang berlaku ketika itu sebenarnya bukan hasil arahan sesiapa kerana ia berlaku secara semula jadi.
Itu sebabnya pengisian Diari AF harian diseimbangkan dengan cerita di dalam dan luar fakulti. Maka, Paknil yakin ramai kini faham apa yang kami lakukan di AF sebelum ini adalah berlatarbelakangkan adegan realiti dan bukan diada-adakan.
Nasib baik Paknil hanya pengacara. Jika tidak, kisah kehidupan dan perasaan sebenar Paknil juga boleh dijadikan bahan AF.
Namun bila melihat seorang demi seorang adik AF Paknil menaiki jinjang pelamin, makin galak pula peminat menanyakan giliran Paknil.
Ini yang leceh ni bila ada orang yang dekat dengan kita kahwin, pasti kita juga terima tempias soalan cepumas.
Jawapan standard Paknil, belum ada jodoh! Paknil percaya perkara sama turut dilalui orang lain bila ada ahli keluarga mendirikan rumah tangga.
Tidak hairan jika ada yang rasa malas nak menghadiri majlis perkahwinan ahli keluarga kerana pasti akan diajukan soalan itu. Lebih-lebih lagi bila tuan empunya badan itu terlajak umurnya atau sudah lama bersendirian.
Namun ini yang dikatakan pusingan kehidupan. Kalau dulu Paknil sering mengusik mereka, kini jadi terbalik apabila adik Paknil yang dah berkahwin pula mengusik Paknil. Mereka pula yang ligat menyuruh Paknil cepat-cepat cari pengganti!
OKlah, Paknil harapkan adik Paknil di AF yang kini bahagia melayari kehidupan berumah tangga menjaga ikatan yang mereka bina ini supaya bertahan untuk selama-lamanya.
Paknil bukan orang terbaik untuk menasihatkan mereka dalam bab berumah tangga, tetapi Paknil sentiasa akan meluangkan masa dan telinga untuk kalian mengadu seandainya diperlukan.
Paknil terbayang pula, jika majlis alumni pelajar AF diadakan 10 tahun akan datang, siapa agaknya di antara bekas pelajar AF1 hingga AF5 yang masih bujang, paling ramai anak dan paling ‘maintain’ bentuk badan?
Apakah agaknya status diri Paknil ketika itu? Solo lagi ke? Dah bercucu ke? Hidup lagi ke? Tuhan saja yang tahu. Wassalam.
0 Comments