Namun, dalam pelayaran itu ada pasangan tidak mampu meneruskan pelayaran kerana karam di pertengahan jalan.
Begitu juga dengan nasib pelakon dan pengacara terkenal, Sarimah Ibrahim, 31, yang terpaksa akur dengan ketentuan Ilahi bahawa jodohnya dengan suami tercinta tidak dapat dipertahankan sehingga menuju persimpangan berbeza.
Disember 2008 menjadi titik noktah kepada hubungan wanita berdarah Melayu-Irish ini dengan jejaka Australia, Amir Andrew Abdullah, 38, selepas tiga tahun mendirikan rumah tangga walaupun beberapa bulan sebelum itu berpisah sementara.
“Saya dan Amir berpisah sementara sebelum mengambil jalan bercerai penghujung tahun lalu untuk menimbulkan rasa rindu, sekali gus memperbaiki hubungan kami.
“Namun jodoh kami hanya sampai di situ dan kami terpaksa berpisah,” kata anak kelahiran Dublin, Ireland ini yang menafikan wujud orang ketiga dalam hubungan mereka.
Menurut Sarimah, dia seboleh-bolehnya tidak mahu menghebahkan cerita rumah tangganya kepada khalayak, apatah lagi pasti ada yang menuding jari menyalahkan seorang daripada mereka menjadi punca kepada perceraian itu.
Malah, mereka mengambil keputusan itu atas dasar tiada lagi keserasian antara mereka dan memikirkan itu jalan terbaik supaya tidak terus dibelenggu perbezaan cara hidup yang mereka lalui.
“Memang perit apabila terpaksa menerima hakikat kami tidak lagi bersama, namun saya yakin ada hikmah di sebalik peristiwa ini.
“Kami sama-sama berusaha menyelamatkan hubungan ini, namun ternyata jodoh kami tidak panjang dan saya akur dengan ketentuan Tuhan,” kata Sarimah.
Menjawab persoalan mengapa dia tidak memberitahu orang ramai mengenai perceraian itu, apatah lagi bekas suaminya turut kelihatan ketika Sarimah mengendalikan Konsert Akhir Akademi Fantasia 7 baru-baru ini, Sarimah mengakui masih berhubung dengan Amir dan berkawan dengannya.
Menurutnya, hubungan persahabatan selama sembilan tahun yang terjalin menyebabkan kedua-dua pihak merasakan tidak perlu bermasam muka, apatah lagi memutuskan tali silaturahim.
“Kami saling mengenali dan memahami hati budi, termasuk apa yang kami suka atau tidak, sebab itu kami berkahwin.
“Cuma jodoh kami sebagai suami isteri yang tidak panjang, jadi usah menganggap yang bukan-bukan mengenai perceraian kami kerana setiap orang mengimpikan kebahagiaan,” kata anak sulung empat beradik ini.
Walaupun bersedih dengan kejadian menimpa rumah tangganya, ternyata wanita ini bukan calang-calang, apatah lagi dia mengendalikan pelbagai program televisyen selepas perceraiannya, termasuk rancangan Katanya... dan 50 episod Diari AF7, selain 10 episod Diari INT yang memerlukan komitmen tinggi.
Tiada siapa menyangka ketika itu dia bertarung dengan perasaan dukacita, malah sentiasa tersenyum mengendalikan setiap program yang menampilkannya sebagai pengacara, termasuk aksi ‘gila-gila’ yang ditampilkan.
Malah dalam tempoh itu, Sarimah yang pernah membintangi filem Seiras Hati, Maka Diciptanya Perempuan, Puteri Impian 2, Janji Diana, MX3 dan Gerak Khas 3 langsung tidak menunjukkan ciri-ciri bersedih atau terbelenggu dalam kemurungan berbanding wanita senasib dengannya, apatah lagi terpaksa memikul gelaran janda.
“Saya kuat kerana ada teman rapat sudi berkongsi masalah, malah merekalah meniupkan semangat supaya saya terus berjuang dalam dunia seni.
“Begitu juga rakan media yang terus memberi sokongan sepanjang 13 tahun saya menapak sebagai anak seni, jadi saya harapkan sokongan sama walaupun terpaksa melalui jalan sukar ini.
“Saya juga berharap peminat dan masyarakat memberi ruang kepada saya selain tidak menyalahkan saya dan Amir atas perpisahan ini,” kata Sarimah.
Sarimah dan Amir diijabkabulkan di Masjid Dublin, Ireland, pada 13 Mei 2006.
0 Comments