Ana keluar secara baik Menyentuh tentang kumpulannya itu, apabila Farhana mengumumkan pengundurannya dari Fabulous Cats, ramai yang tertanya adakah dia telah disingkirkan kerana Wangi? Jelas Cat, keputusan itu dibuat Ana sendiri kerana mempunyai komitmen lain. “Ana keluar dengan cara baik, begitu juga Alyah. Bukannya sebab kami gaduh. Ketika itu, Alyah mengundurkan diri kerana dia perlu menjaga ayahnya yang menghidap penyakit barah. Ana tiada penggantinya walaupun kami sedang mencari calon untuk melengkapkan Fabulous Cats. Buat masa ini, yang dapat kami lihat, Zizi (AF) adalah calon terbaik.” Tambah Cat, Fabulous Cats adalah Adeeb dan dirinya sementara Alyah, Ana dan kini Wangi merupakan “senjata” mereka. “Fabulous Cats merupakan satu platform sama seperti Akademi Fantasia, One In A Million dan Bintang RTM. Sesiapa yang pernah menganggotai Fabulous Cats akan berjaya. Lihat saja Alyah. Dan alhamdullilah, sebelum ini ada beberapa kumpulan top lain yang lahir hasil dari tunjuk ajar saya. Kerja saya tiada nilai buruknya. “Saya cuma nak tolong orang, bukannya tamak. Saya menolong Adeeb yang asalnya dari Singapura dan sebelum ini menganggotai 2D. Kini dia sudah menjadi seorang komposer untuk Luncai Emas. “Saya tak sehebat mana cuma menolong setakat yang mampu sebab saya tahu bukan mudah mendapat peluang untuk menceburi bidang nyanyian. Kita tolong orang, lain hari orang menolong kita.”
Wangi punyai keistimewaan Mengenai komen sesetengah orang yang tidak melihat sebarang keistimewaan pada Wangi, kata Cat, komen yang sama telah dilontarkan kepada Ana pada awal pembabitannya dengan Fabulous Cats. “Tapi saya yakin, apabila mereka sudah mendengar album dengan suaranya, mereka akan tahu dimana keistimewaannya. Di Indonesia, Wangi antara penyanyi Top 21 sementara dari segi sinetron, dia antara Top 11 pelakon wanita. Dia meninggalkan semua itu untuk menyertai Fabulous Cats kerana minatnya dalam nyanyian.“
Nak ikut jejak P. Ramlee Cat ditemui baru-baru ini di majlis pra-tonton ‘Jangan Pandang Belakang Congkak’ (JPBC). Memainkan watak sebagai Asmat yang bertukar menjadi hantu raya setiap kali bulan mengambang, filem komedi seram terbitan terbaru Metrowealth (MiG), Cat memberitahu dia suka dengan cerita dan watak yang dilakonkan. “Cerita mahupun wataknya tidak over atau mengelirukan saya, dan ini kali pertama saya memegang watak utama,” jelas Cat yang sering tampil di kaca TV dan layar perak sebagai watak sampingan dan untuk tujuan ‘comic relief’. Sudah tujuh tahun berkecimpung dalam bidang lakonan, menurutnya, MiG, syarikat produksi pertama yang menaruh kepercayaan pada bakat lakonannya. Antara filem lakonannya bersama MiG termasuk ‘Tipah Tertipu The Movie’, ‘Selamat Pagi Cinta’, ‘I’m Not Single’, ‘Impak Maksima’ dan ‘Rem-It’. Tapi Cat tidak mahu hanya dilihat sebagai seorang pelakon. Seperti idolanya Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, dia ingin mengembangkan bakatnya dalam semua cabang seni. Memasang hasrat untuk mengarah satu hari nanti, kini dia sedang sibuk dengan penulisan skrip, sebuah telemovie komedi keluarga berjudul ‘Kongkong’ untuk MiG.
0 Comments