Sejak memenangi pertandingan One In A Million (OIAM) bulan lalu, nama Tomok makin laku. Semua berebut ingin menjemputnya menghadiri acara ini, membuat persembahan di majlis itu. Tak menang tangan dibuatnya.
“Semua ini rezeki, Tomok tak complain. Tomok tahu masa inilah orang nak Tomok. Dijemput ke mana-mana, Tomok kena pergi. Takde alasan letih. Sebelum ini, peluang terhad, jadi bila peluang sudah datang, Tomok akan gunakan sepenuhnya,” katanya yang ditemui selepas sidang media konsert dan mini karnival Inspirasi TV3 semalam.
Seiringan dengan profilnya yang semakin meningkat, mulalah kedengaran cerita yang kurang enak, kononnya Tomok sudah mula besar kepala. Akhbar Utusan Malaysia Ahad lalu (‘Tomok dah berubah’) telah menerbitkan aduan seorang peminat yang mengatakan Tomok “tidak mesra, tidak seperti dulu semasa dia dengan New Boyz”.
“Tomok tak salahkan mereka. Tomok mungkin telah membuat kesilapan. Tomok hanya satu orang dan bila dalam satu acara itu dengan adanya begitu ramai orang, Tomok tidak mampu memuaskan semua.
“Tapi Tomok buat apa yang mampu. Tomok mengambil ini sebagai sesuatu yang positif dan belajar darinya. Tomok akan lebih terbuka. Tapi Tomok tak sombong. Tomok masih Tomok yang sama, sebelum dan selepas OIAM.”
Tomok jadi superhero Dalam perjumpaan semalam, Tomok juga memaklumkan berita tentang tawaran berlakon yang diterimanya baru-baru ini. Filem ‘Mantera’ yang dikatakan menelan belanja RM5.5juta, merupakan kerjasama di antara sebuah syarikat produksi Malaysia, Flare Studios Sdn Bhd, dan Spacetoon dari Russia. Ala-ala cerita ‘Iron Man’ dan ‘Transformers’, ‘Mantera’ akan menampilkan Tomok sebagai watak utama Azman, yang mendapati dirinya mempunyai kebolehan untuk bertukar menjadi motosikal.
Tidak banyak yang diketahuinya tentang filem bergenrekan sains fiksyen itu kerana belum mendapat skripnya lagi. Namun menurutnya, selain Lisa Surihani, dia juga akan digandingkan dengan seorang pelakon wanita Russia.
Penggambaran dijadualkan bermula pada bulan depan di sekitar Kuala Lumpur, Seremban dan kemungkinan di Russia. Kata Tomok, filem ini akan banyak menyelitkan elemen CGI sementara dialognya akan menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa utama.
Walaupun pernah membintangi beberapa buah drama serta filem, namun seiring dengan transformasinya sebagai seorang penyanyi, ramai yang sudah pasti mengharapkan sesuatu yang lebih darinya sebagai seorang pelakon.
“Tomok pun tak pasti kenapa mereka memilih Tomok. Tapi ini satu benda baru bagi Tomok, jadi peluang ini tidak harus dilepaskan. Sama seperti bidang nyanyian, Tomok berikan yang terbaik. Harapan Tomok, filem ini akan berjaya.
“Dengar kata apabila filem ini diriliskan kelak, akan diadakan satu sesi jelajah ke sekolah-sekolah untuk mempromosikan karektor ini sebagai satu ikon buat golongan kanak-kanak.”
Album solo tidak diketepikan Tentang perkembangan album solo pertamanya, Tomok memberitahu dia dalam proses memilih lagu untuk dijadikan single kedua.
“Ada beberapa lagu yang sedang dipertimbangkan, sumbangan dari Aubrey Suwito, Audi Mok dan saya sendiri. Dari segi genre, saya akan kekalkan stail lagu yang dibawa semasa OIAM seperti pop rock, muzik yang rancak dan fun, sebab Tomok tahu itu yang peminat sukakan.”
Bagi yang masih tertanya jika Tomok akan terus kekal dengan New Boyz, kata anak muda berusia 25 tahun ini, perancangan sudah dibuat untuk mengeluarkan sebuah single bersama mereka selepas selesainya penggambaran ‘Mantera’ dan rakaman albumnya.
0 Comments