Gaya Lelaki: Cool Atau Tidak?



1) Jersi bola


Perhatikan sekeliling anda, pasti ada di kalangan lelaki yang lalu-lalang memakai jersi. Di pejabat GUA ini pun ada dua tiga orang individu yang suka mengenakan pakaian sebegitu sedangkan ia sangat tidak sesuai untuk ke pejabat. Agaknya mereka ini hendak tunjukkan kesetiaan kepada pasukan bola kegemaran mereka. Namun, apabila GUA tanyakan kepada beberapa rakan lelaki yang rapat, alasan yang diberikan ialah ia mudah (tak perlu digosok), ringkas dan sporty.

Ini pula pendapat kaum wanita:

Shahira, 23 tahun
“Saya masih belum mempunyai teman lelaki, tetapi kalau boleh saya mahukan lelaki yang ada ‘taste’ dalam berpakaian. Kalau ke mana-mana asyik dengan jersi bola, itu menunjukkan lelaki itu memang seorang yang cincai dalam berpakaian.”

Amylea, 25 tahun
“Lelaki dan jersi bola. Kalau tidak silap saya, pakaian itu cukup popular tidak lama dahulu. Ke mana sahaja kita pergi, pasti ramai lelaki yang menyarungkannya. Untuk masa sekarang saya rasa fesyen begitu agak ketinggalan. Lebih sesuai dipakai ketika berada di rumah atau minum teh tarik di kedai mamak!”

2) Rambut ala punk

Fesyen rambut lelaki sekarang ini boleh dikatakan seiring dengan fesyen rambut wanita. Sudah ramai lelaki yang berani menggayakan fesyen rambut yang ekstrem atau mewarnakan dengan warna terang. Salah satu fesyen rambut yang menarik perhatian GUA ialah gaya ala punk yang tercacak. Terus-terang GUA katakan, GUA tidak mahu teman lelaki GUA gayakan fesyen rambut sebegini. Tak berkenan langsung! Apa kata wanita lain?

Hanna, 21 tahun
“Hanna ini seorang yang suka mencuba sesuatu yang lain. Rambut Hanna pun sudah banyak kali diubah gaya. Rebonding, kerinting, diwarnakan dan dipotong secara bertingkat semua Hanna dah cuba. Jadi, Hanna tidak kisah kalau teman lelaki Hanna berambut ala punk. Apa salahnya. Pasti dia seorang yang yakin pada diri sendiri.”

Hazwani, 28 tahun
“Tolonglah jangan keluar dating dengan saya kalau anda berambut punk. Itu yang boleh saya katakan. Saya memang tidak berkenan langsung dengan gaya rambut ini. Apa salahnya gayakan rambut yang kemas. Senang hendak dibawa berjumpa bakal emak mentua pada bila-bila masa.”

3) Skinny jeans

Seluar jeans ini makin ramai diminati sama ada wanita atau lelaki. GUA tidak kisah dengan item fesyen yang ini asalkan ia bijak digayakan dan sesuai dengan individu tersebut. Kalau bertubuh besar atau boroi, janganlah gayakannya. Shahila dan Zurina setuju atau tidak?

Shahila, 26 tahun
“Teman lelaki saya suka gayakan skinny jeans dan saya tidak kisah dengan pilihannya itu. Saya rasa dia nampak ‘outstanding’ apabila memadankan skinny jeans dan t-shirt putih kegemarannya. Maklumlah, teman lelaki saya itu tinggi lampai.”

Zurina, 28 tahun
“Saya pun tidak kisah dengan lelaki yang gayakan skinny jeans. Kalau sesuai dengan dirinya apa salahnya. Tapi, saya lihat fesyen ini hanya digemari oleh golongan remaja. Lelaki yang berusia 30-an rasanya tidak ramai yang memakainya. Apa pun, saya ok aje kalau teman lelaki saya ingin memakainya.”

4) Bawa sikat ke mana sahaja

Perasan atau tidak, ketika zaman 80-an ramai lelaki yang suka membawa sikat kecil yang berwarna kuning jika ke mana-mana. Sikat itu diletakkan di dalam poket belakang seluar jeans. Rasa-rasanya, sekarang ini ada atau tidak lelaki yang berbuat begitu? Kalau ada, apa penerimaan kaum wanita di luar sana?

Marini, 30 tahun
“Saya masih ingat lagi dengan trend itu. Ketika itu saya masih di sekolah menengah. Kalau sekarang ini ada lelaki yang berbuat begitu, mesti nampak kelakar. Macam ketinggalan zamanlah pulak. Lagipun sekarang ini bukan ke sudah banyak produk rambut yang boleh kekalkan gaya rambut? Tak perlulah susah-susah bawa sikat dalam poket.”

Rinisa, 26 tahun
“Bawa sikat dalam poket? Ee! Tak sesuai sangat. Janganlah teman lelaki saya berbuat begitu. Pasti saya akan malu dan suruh dia buang aje sikat itu. Nampak tak cool dan ketinggalan zaman. Kalau ye pun hendak bawa sikat, lebih baik simpan di dalam beg galas yang dibawa. Tak perlulah tunjukkan pada semua orang. Secara peribadi, saya anggap lelaki yang bawa sikat dalam poket itu seorang yang tidak yakin dengan diri sendiri dan kurang bergaul.”

Post a Comment

0 Comments