Edrie Hashim ... satu nama yang sering didengarkan sekarang ini kerana sesungguhnya tidak ramai yang seaktif beliau dalam membentuk arus muzik rock citarasa umum.
Dengan cinta yang mendalam terhadap muzik, komposer, pemuzik dan penerbit ini melengkapkan lagi kaedahnya dengan kecerdikan seorang usahawan dan juga visi moden yang menerajui setiap pergerakan syarikatnya, Neo Gendang Worldwide. Dengan karisma dan kejujuran yang disenangi semua, jiwa Edrie yang sentiasa terbuka kepada letupan-letupan baru muzik rock juga dihormati semua lapisan pemuzik tanahair.
Sejak permulaannya sebagai seorang A&R di awal 90-an, pengiktirafan Edrie di industri seni muzik tanahair dicapai atas titik peluhnya sendiri. Setelah diiktiraf sebagai pemuzik dengan gelaran duta Godin Guitars buat Malaysia, Edrie tidak membuang masa dan menumpukan perhatiannya terhadap bidang penggubahan dan penerbitan, dan baru-baru ini, dalam penilaian persembahan apabila dipertanggungjawabkan sebagai salah seorang juri Akademi Fantasia 7.
Pendek cerita, sentuhan ajaibnya dalam apa bidang sekalipun belum lagi gagal di mata umum. Albumnya melalui ‘supergroup’ Projek Pistol, bersama rockers-rockers berpengalaman seperti Moq, Zam dan Lola, yang bakal menemui peminat dalam masa terdekat ini akan membuka kembali penerimaan khalayak ramai terhadap kalibernya sebagai seorang gitaris dan pemuzik rock.
Sibuk tak sibuk, hari ini kita berpeluang dilayan dengan teliti dan ikhlas oleh Edrie apabila mendekatinya untuk temubual pendek ini bagi mengambil tahu serba sedikit inti-inti yang sedang mendorong detik karier terkini tokoh muzik pemuda ini.
Apa kesinambungan Edrie sekarang selepas menjadi salah seorang panel hakim AF7? Apa buah fikiran Edrie tentang program itu?Edrie: AF7 baru saja melabuhkan tirainya, sepanjang penglibatan saya bersama program realiti nombor satu itu, ada banyak mesej yang cuba saya sampaikan secara tidak langsung. Kena tengok balik semua komen-komen saya dan dalami maksud saya (ketawa). Saya ada banyak isu yang saya tak puas hati mengenai industri muzik kita. Tapi kadang-kadang ada isu-isu sensitif yang perlu diambil kira membuatkan ada beberapa komen saya samar. Haha... Tetapi itu tidak bermaksud saya tak tahu nak cakap apa. Cuma komen saya lebih bersifat ‘double meaning’. Walau bagaimanapun, saya berpuas hati dengan penglibatan saya, dan mengucapkan semua yang terbaik untuk kesemua para perserta AF7.
Boleh komen sikit tentang sebab-sebab utama Neo Gendang mengusahakan projek ‘Teruja’ & ‘Radio Rosak’ untuk tahun ni ... campur dengan tanggungjawab keluarga, mana dapat masa dan ketenangan untuk cipta lagu?
‘Radio Rosak’ merupakan satu projek gergasi syarikat saya, Neo Gendang. Ianya merupakan satu usaha untuk menyemarakkan industri muzik tempatan. Ramai orang cuma tahu complain jer pasal industri kita, tapi tak ramai yang cuba nak buat sesuatu mengenainya! ‘Radio Rosak’ adalah satu usaha saya dan Neo Gendang untuk membuka mata karyawan seni tempatan. Don’t just make noise ... ACT!
‘Teruja’ merupakan satu projek penghargaan buat Gloria Jean's Coffees (GJC) yang sentiasa menyokong usaha saya dalam memartabatkan industri muzik kita. Kedua-dua CD ‘Radio Rosak’ dan ‘Teruja 2009’ boleh di dapati secara ekslusif di GJC.
Saya tak nafikan kesibukan saya dalam mengejar cita-cita saya, tapi ianya perlu dilakukan. Saya tak suka sifat cuma tahu membuat bising je tanpa sebarang usaha untuk membetulkan keadaan. It's a hectic job, but somebody’s gotta do it! Minat dan passion terhadap muzik akan mendorong saya untuk terus berkarya dan berusaha demi muzik Malaysia.
Macam mana Nabila boleh mula menyanyi? Kenapa sekarang? Apa kekuatan dia sebenarnya pada Edrie?Nabila mempunyai personaliti yang disenangi ramai. Idea ini timbul dari Amy dan isterinya untuk membentuk satu single yang boleh mengetengahkan personaliti Nabila. Kekuatan single “X Ray” datang dari kejujuran suara Nabila dan karekter beliau menyanyikan lagu tersebut. Saya tak nampak ada orang lain yang boleh membawa lagu “X Ray” dengan jayanya selain Nabila. Setiap lagu perlu sesuai dengan karekter penyanyinya. Lagu ini merupakan contoh yang terbaik!
Apa rancangan dan langkah seterusnya untuk Projek Pistol tahun ini?Projek Pistol telah turut serta menjayakan kompilasi ‘Radio Rosak’ dimana terdapat dua lagu baru dalam kompilasi tersebut iaitu "Hingga Hujung Nyawa" dan "Turun Dari Langit". Buat masa ni, kesemua rakaman asas untuk album telah pun dirakamkan, cuma kesibukan ahli-ahli Projek Pistol membuat album ini tergendala sebentar. Album ini dijangka akan berada dipasaran pada Oktober ini.
Di manakah Maman dan apa rancangan dia?Sekarang ni rasanya semua orang bergerak ‘independent’, begitu juga Maman yang baru saja mengeluarkan album akustika ‘Hijrah’. Saya rasa sebagai seorang artis, Maman telah mengambil langkah yang betul. Namun, jika beliau memerlukan bantuan saya, saya akan tidak teragak-agak untuk membantu.
Sebegai penerbit Search, boleh komen sedikit tentang sukses jelajah terbaru Search bersama Celcom? Siapakah pelapis Search pada Edrie?
Saya rasa sudah kena pada masanya Search mendapat sokongan padu dari penaja seperti Celcom menerusi konsert jelajah mereka. Saya amat teruja dan gembira dengan kejayaan konsert tersebut. Sebagai salah seorang peminat setia Search, saya tidak sabar menanti konsert itu diadakan di Kuala Lumpur kelak. Lagenda rock tanahair itu pasti akan mengegarkan konsert jelajahnya. Saya pasti akan berada ditengah-tengah kelompok ribuan peminat untuk memberi sokongan!
Pelapis Search … Search merupakan idola rock ‘n’ roll semua peminat rock di Malaysia. Selagi muzik ini terus berkembang saya rasa tidak ada batasnya untuk pemuzik-pemuzik tanahair meneruskan perjuangan ini. Konsert Radio Rosak merupakan satu platform baru yang perlu diberi perhatian. Diharapkan akan lahir ramai pejuang muzik untuk meneruskan legasi Search di masa hadapan. Sekurang-kurangnya kita sudah ada barisan pelapis yang berkualiti sebagai pejuang muzik rock Malaysia.
Apa perkembangan album terbaru Hattan? Betul ke album itu akan dijaja dengan cara yang alternatif?
Saya baru saja selesai menerbitkan album terbaru Hattan berjudul ‘Inderawala’, sepertimana dengan semua album terbitan saya, saya pasti akan cuba mengetengahkan kelainan. Begitu juga dengan album ini, terdapat kolaborasi yang unik dari dunia muzik yang berbeza iaitu Hattan dan Edrie Hashim. Kolaborasi ini pastinya diharapkan dapat menyuntik satu style baru dalam industri kita. Namun begitu, Hattan tidak boleh lari dari balada hebat yang menjadi trademark muzik beliau. Tugas saya hanyalah menyuntik sedikit elemen moden untuk album terbaru beliau kali ini. Moga ianya mendapat perhatian dari peminat muzik.
Album ini dijangka akan menemui peminat pada 1 Julai ini. Terdapat pelbagai pendekatan baru dalam aspek pemasaran album ini kelak. Kita tunggu dan lihat.
0 Comments