Ella, Diva Rock yang sudah hampir tiga dekad berada dalam industri hiburan tanahair. Jika dihitung, Ella sudah mempunyai lebih 25 buah album, bermula dengan era dia bersama The Boys. Kehebatan dan keunikkan vokal yang dimiliki oleh Ella memang sukar disangkal dan sehingga kini tiada lagi penyanyi wanita lain yang mampu menandinginya.
Antara album miliknya yang cukup sukses ialah ‘Ella USA’ yang dirakam di Amerika Syarikat dan Jepun pada 1994. Album ini mencatat jumlah penjualan sebanyak 350 ribu unit. Pada tahun 1998 pula, Ella telah mendapat pengiktirafan daripada Malaysian Book of Records sebagai Artis Malaysia Pertama Mempunyai Penjualan Album Terbanyak.
Kini, pada usia 43 tahun, Ella hadir dengan bingkisan terbaru untuk menyemarakkan lagi persada seni tanah air. Walaupun kali ini Ella hadir dengan album kompilasi, tetapi kehadiran album ini dilihat mampu mengubat kerinduan peminat terhadap dirinya.
Menurut Ella, album ‘The Greatest Hits’ mengandungi 32 lagunya yang pernah menjadi hits termasuk tiga lagu baru yang berjudul “Puisi Hamba”, “Jiwa Setia” dan “Mencari”, hasil nukilan komposer baru, Amir.
“Album terbaru saya ini menggabungkan rangkaian lagu terbaik saya ketika masih bersama Warner Music dan EMI Records. Bolehlah dikatakan album ini menceritakan perjalanan cinta saya di persada muzik kerana ia memuatkan lagu-lagu popular saya daripada album pertama hinggalah album ‘Rama-Rama’ pada 2007. Antara lagu yang dimuatkan ialah “Layar Impian”, “Sembilu”, “Gemilang”, “Pengemis Cinta”, “Kesal”, “Sepi Sekuntum Mawar Merah”, “Terminal Rindu”, “Cinta Pertama” dan “Standing In The Eyes Of The World”.
Ditanya mengapa dia memilih komposer baru untuk projek terbarunya itu, Ella memberitahu dia yakin dengan kebolehan dan bakat yang dimiliki oleh Amir.
“Saya dapat merasakan Amir dan saya mempunyai ‘chemistry’ dan saya sangat selesa bekerja dengan dia. Lagipun, Amir tahu apa yang saya mahukan. Ketiga-tiga lagu ciptaannya itu menggambarkan siapa diri saya yang sebenar. Itulah jiwa saya,” ujar Ella dengan lenggok manjanya.
Tambah penyanyi yang pernah membintangi filem ‘Bayangan Maut’, ‘Pemburu Bayang’ dan ‘Hanya Kawan’ ini lagi, album kompilasi ini adalah bersifat ‘pemanas’ kerana tidak lama lagi dia akan hadir dengan album penuh.
“Setakat ini material untuk album terbaru itu sudah pun mencapai 40 peratus. Mengikut perancangan, album itu nanti akan memuatkan tiga lagu terbaru dalam album kompilasi ini dan enam buah lagi lagu baru. Jika ada permintaaan daripada peminat, mungkin juga saya akan muatkan bonus track. Kalau tiada sebarang halangan, kemungkinan album ini akan berada di pasaran pada tahun ini juga. Lagipun, saya tidak mahu tunggu terlalu lama, nanti peminat lupa pula pada album kompilasi ini,” ujar Ella yang akan sibuk dengan penggambaran video klip terbaru tidak lama lagi.
Sebagai seorang ‘diva’, Ella juga diminta mengulas tentang senario muzik tanahair sekarang ini.
“Saya melihat kehadiran bakat-bakat baru sekarang ini ada yang baik dan ada juga yang tidak berapa baik. Yang baiknya, ada di antara mereka ini betul-betul berbakat dan mampu memberi hasil kerja yang cukup bagus kepada industri muzik kita. Tetapi yang tidak baiknya, ada sesetengah daripada mereka ini menghasilkan album yang kurang berkualiti, main belasah aje. Tindakan sebegitu hanya akan membunuh industri muzik kita,” luah Ella kepada pihak media.
Berbicara tentang kehidupan peribadi rocker ini pula, pasti ramai yang sudah tahu soalan klise yang sering diajukan kepadanya. Tidak lain tidak bukan, pastilah tentang perkahwinan dan jejaka idaman hatinya. Seperti yang diduga, Ella masih bermain teka-teki dengan tidak mahu dedahkan siapa gerangan yang sedang ‘beraja’ di hatinya.
“Saya tidak mahu bercerita tentang perkara ini. Ajal, maut dan jodoh itu ditangan tuhan. Jika sudah sampai jodoh saya, pasti saya akan war-warkan pada semua,” jelas Ella.
Akhir sekali, kepada peminat Ella di luar sana, jangan lupa dapat album kompilasi terbaru Ella yang sudah pun berada di pasaran bermula 14 Mei lalu
0 Comments