Erra Enggan Aleesya Berlakon


Jika selebriti lain tidak kisah seandainya anak mereka melibatkan diri dalam dunia seni, namun buat penyanyi serta pelakon terkenal Erra Fazira dia enggan membenarkan puteri tunggalnya, Engku Aleesya mengikut jejak langkahnya bergelar anak seni.

Erra atau nama sebenarnya Fazira Wan Chik ketika ditemui di majlis pelancaran program realiti 'Gugu Gaga Erra' di Bangsar semalam memberitahu dia dan suami, Engku Emran Engku Zainal Abidin mahu Aleesya berjaya dalam bidang pelajaran terlebih dahulu.

"Sebagai ibu bapa, saya dan Emran mahu Aleesya mempunyai pendidikan setinggi yang mungkin. Kalau boleh saya pun tak mahu dia melibatkan diri dalam bidang seni. Apa yang penting saya dan Emran perlu bijak mengawal keadaan ini," ujarnya yang kelihatan semakin jelita selepas bergelar ibu.

Diusik dengan pertanyaan tentang penglibatan Aleesya di dalam program realiti 'Gugu Gaga Erra' yang dilihat sebagai pendedahan awal anaknya itu kepada dunia seni, isteri kepada Ketua Pegawai Operasi Suria FM itu menyatakan, 'Gugu Gaga Erra' merupakan program realiti mengenai dirinya. Oleh sebab itu, Aleesya mahupun Emran terpaksa menerima keadaan tersebut.

"Memang kalau boleh saya tidak mahu Aleesya terlibat. Tetapi ini program realiti dan melibatkan kerjaya saya. Saya tak boleh nak ambil anak orang lain bagi menggantikan Aleesya. Apa yang penting sebenarnya adalah tugas ibu dan bapa untuk mengawal perkara ini," katanya sekaligus menafikan khabar angin yang mengatakan Aleesya bakal membintangi drama bersiri ‘Mertua vs Menantu’ yang dibintanginya.

Bercerita tentang 'Gugu Gaga Erra', penyanyi yang sinonim dengan lagu “Yang Terindah Hanyalah Sementara” ini menjelaskan ianya sebuah program realiti mengenai dirinya. Ini termasuklah di saat-saat mencemaskan dia bakal bergelar ibu serta teknik penjagaan bayi yang diamalkannya.

"Sebenarnya bukan satu keputusan yang mudah untuk saya bersetuju melibatkan diri dalam program ini. Sebelum saya bersetuju, dua kali saya menolak permintaan pihak penerbit. Pada kali ketiga ditawarkan dan selepas berbincang panjang bersama suami, barulah saya dan Emran bersetuju.

"Ini kerana kami berpendapat program ini memberikan banyak kebaikan khususnya kepada golongan ibu bapa muda seperti kami. Ini kerana dengan bantuan Johnson & Johnson, saya dapat menggunakan produk mereka dengan cara yang betul serta banyak tip penjagaan bayi yang turut dimuatkan dalam program ini," ujarnya.

Namun katanya, proses penggambaran program tersebut yang memakan masa selama 15 hari bukanlah satu tugas mudah. Ini kerana dia tidak mempunyai privasi kerana apa sahaja aktiviti yang dilakukannya sepanjang proses penggambaran itu akan dirakam oleh pihak produksi. Sedikit sebanyak keadaan tersebut memberi tekanan kepadanya. Mujurlah suami serta rakan-rakan di sekililingnya banyak memberikan dorongan serta semangat kepadanya.

"Jika di Malaysia ini merupakan program realiti pertama seumpama ini. Tetapi jika di luar negara, memang telah ramai selebriti yang melakukannya. Saya turut berbangga kerana diberi kepercayaan oleh pihak penerbit dan Johnson & Johnson untuk menjayakan program ini. Mungkin selepas saya, peluang untuk artis lain melakukan perkara sebegini akan terbuka," katanya.

Dalam pertemuan itu juga, Erra yang pernah dilabelkan sebagai primadona filem Melayu menyatakan dia menerima tawaran tersebut bukan semata-mata kerana soal bayaran. Tidak menafikan bayaran yang diterimanya cukup berbaloi, tetapi apa yang penting katanya dia mahu berkongsi cerita dengan peminat yang tidak jemu-jemu memberikan sokongan kepada kerjaya seninya selama ini.

Sementara itu, Pengurus Saluran Astro Ria, Khairul Mizan Shagul memberitahu pihaknya berbangga kerana berjaya menerbitkan program realiti yang julung-julung kali diadakan. Sebagai wajah eksklusif Megadrama, dia percaya ramai peminat yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa sebelum dan selepas Erra melahirkan anak.

"Program ini bukan sahaja istimewa kerana memaparkan sedutan-sedutan spontan Erra dan suami bersama Aleesya, tetapi juga akan menyusuri detik-detik cemas Erra ketika bergegas ke hospital sebelum menyambut kelahiran puteri sulungnya," katanya mengenai program yang akan disiarkan setiap hari Selasa jam 9 malam bermula 9 Jun di Astro Ria.

Post a Comment

0 Comments