Hadiah Harijadi Darling


Selepas puas menghadapi pelbagai kontroversi cinta dan kerjaya sebagai seorang anak seni, akhirnya pelakon dan penerbit drama jelita Nasreen Ngasri atau lebih dikenali sebagai Darling mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan kekasih hatinya, Nur Azlin Rahmat.

Malah majlis pernikahan mereka yang diadakan di rumah keluarga Darling di Taman Batu Permai, Jalan Ipoh, baru-baru ini cukup meriah dengan kehadiran ahli keluarga, sanak saudara serta kenalan terdekat.

Darling yang kini berusia 26 tahun ketika ditemui sejurus selepas majlis pernikahan itu selesai memberitahu sangat bersyukur kerana segala-galanya berjalan lancar. Malah hanya dengan sekali lafaz, Darling sah menjadi isteri Azlin. Lebih bermakna pasangan tersebut dinikahkan sendiri oleh bapa Darling, Ngasri Sain.



"Majlis ini ibarat hadiah harijadi buat saya kerana saya bakal meraikan hari jadi saya yang ke-26 pada Jun ini. Memang saya tidak merancang perkara tersebut kerana kami hanya merancang untuk mengadakan majlis ini pada musim cuti persekolahan. Cuma secara kebetulan ianya jatuh hampir dengan hari jadi saya," katanya yang teruja kerana kini telah bergelar isteri orang.

Diusik dengan persoalan tentang tanggapan segelintir pihak yang mengatakan majlis perkahwinannya itu diadakan dalam keadaan yang cukup singkat iaitu tidak sampai setahun perkenalannya dengan Azlin, pelakon yang cukup popular melalui drama bersiri ‘Gadis Cuci’ ini menyifatkan perkara tersebut sebagai jodoh dari Ilahi.

"Apabila telah wujud keserasian dan sikap saling percaya di antara kami, lebih baik kami akhirinya dengan perkahwinan. Mungkin ada sesetengah pihak yang merasakan kami kahwin terlalu cepat, tapi saya lebih senang katakan ini adalah jodoh.


"Malah usia Azlin kini sudah menjangkau 35 tahun, rasanya dia sudah cukup bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami," jelas Darling yang kelihatan cukup anggun dan

manis dengan persalinan serba putih.

Bagaimanapun Darling mengakui tanggungjawab yang dipikulnya kini semakin berat. Apatah lagi dia terlibat dalam bidang seni yang penuh dengan cabaran serta persaingan. Apapun dia berjanji untuk menjadi isteri terbaik buat Azlin dan menunaikan tanggungajawabnya sebaik mungkin.

"Mungkin saya dan Azlin perlukan sedikit masa untuk sesuaikan diri dengan kehidupan baru kami. Apapun sehingga kini kami sentiasa berdoa agar ikatan yang terjalin ini akan berkekalan sampai bila-bila," katanya.



Bercerita tentang detik-detik awal perkenalannya dengan Azlin hingga membuahkan rasa cinta di antara mereka, pasangan secocok yang bakal berbulan madu di Paris ini memberitahu mereka berkenalan melalui seoarang rakan. Daripada situ mereka selalu berbalas SMS dan akhirnya membibitkan rasa cinta di antara mereka.

"Sebelum ini Azlin tak tahu pun saya seorang artis. Bila dia sudah tahu barulah dia banyak membuat 'research' tentang saya di media dan internet. Dari situ dia tahu macam-macam perkara tentang saya termasuklah cerita-cerita 'panas'. Saya bersyukur kerana dia dapat menerima saya seadanya dan cukup rasional dengan setiap perkara yang berlaku," ujar Darling sambil tersenyum.


Sementara itu, Azlin yang kini bertugas sebagai pegawai pemasaran di sebuah syarikat swasta memberitahu dia menyukai Darling kerana ciri-ciri yang ada pada diri gadis tersebut.

Katanya Darling seorang yang matang, memahami dan tidak mudah melenting. Apa yang paling digemarinya, Darling juga merupakan seorang gadis yang suka mengambil berat serta mempunyai keyakinan diri yang tinggi.
"Saya tidak pernah menyekatnya untuk meneruskan kerjayanya di dalam dunia seni. Apa yang penting dia bijak menjaga diri serta tahu batas-batas sebagai seorang isteri," katanya.

Terdahulu pada majlis yang serba ringkas itu, Darling menerima mas kahwin RM80, wang hantaran sebanyak RM22,222.22 serta sembilan dulang hantaran berbalas 11 daripada pihaknya. Untuk rekod, Darling dan Azlin telah mengikat tali pertunangan pada pertengahan Mac setelah berkenalan pada bulan Ogos tahun lalu.

Pasangan ini mengadakan majlis persandingan mereka di Taman Metropolitan Batu, Jalan Ipoh, dengan bertemakan 'garden wedding', manakala resepsi di sebelah lelaki pula akan diadakan di Bukit Katil, Melaka pada 7 Jun depan.

Post a Comment

0 Comments