Memey: Tidak Benar Kahwin 6 Jun


Sehingga hari ini, Memey Suhaiza dan Norman Hakim masing-masing menafikan wujud hubungan cinta di antara mereka. Namun keakraban yang ditonjolkan menyebabkan wujud pelbagai spekulasi tentang perhubungan mereka. Terbaru pasangan itu dilaporkan bakal mendirikan rumahtangga pada 6 Jun ini.

Berkesempatan bertemu Memey baru-baru ini, dia menafikan khabar angin yang bertiup kencang itu. Namun dia mengakui mendengar spekulasi tersebut dan menganggapnya sebagai satu gurauan daripada peminat.



"Memang macam-macam tarikh yang mereka berikan. Terbaru, saya dikatakan akan berkahwin pada 6 Jun ini. Memang tak masuk akal sebab saya sekarang tengah sibuk dengan penggambaran beberapa buah drama. Kalau saya nak kahwin dalam masa terdekat, sudah pasti saya sedang buat persiapan sekarang.

"Tapi apa yang diceritakan itu memang tidak benar dan hanyalah sekadar khabar angin sahaja. Kalau saya betul-betul mahu berkahwin, saya sudah pasti akan memberitahu pihak media.

Lagipun cerita kahwin adalah cerita yang baik dan saya mesti kongsi kegembiraan tersebut dengan peminat saya," katanya tersenyum.

Dijolok dengan pertanyaan bilakah dia akan mengakhiri zaman bujang dengan insane tersayangnya itu, Memey menjelaskan, dia dan Norman masih di peringkat berkawan dan saling mengenali hati budi masing-masing.

Apa yang pasti buat masa ini mereka berdua tiada perancangan untuk mendirikan rumahtangga. Sebaliknya mereka masing-masing sibuk dengan kerjaya seni yang semakin berkembang.

"Saya masih muda dan belum terfikir tentang perkara ini. Apatah lagi sekarang saya menerima banyak tawaran berlakon. Rugi pula jika saya lepaskan begitu sahaja. Jadi keputusan terbaik, saya fokus dengan kerjaya lakonan saya dahulu," ujarnya yang turut berlakon di dalam filem ‘Dimensi Cinta’ bersama Fahrin Ahmad dan Catriona Ross.

Ditanya tentang reaksi keluarga terhadap segala gosip yang melanda dirinya, anak kelahiran negeri Johor ini memberitahu keluarganya sudah sebati dengan perkara tersebut. Malah adakalanya keluarganya sendiri akan menelefonnya untuk bertanya tentang kesahihan sesuatu cerita termasuklah cerita tentang perkahwinannya bersama Norman yang dikatakan akan berlangsung dalam masa terdekat.

"Mula-mula dulu mungkin saya dan keluarga rasa sedikit tertekan. Maklumlah masih belum biasa. Tapi bila dah lama berada di dalam industri ini, semua cerita tidak benar yang diperkatakan oleh orang terhadap diri saya, saya hanya anggap ianya sebagai satu gurauan sahaja.

"Sebelum ini saya ada dengar cerita yang mengatakan saya akan berkahwin pada tarikh-tarikh tertentu, tapi bila tiba masanya, perkara yang mereka sebutkan itu tidak pula berlaku. Akhirnya cerita tersebut senyap begitu sahaja. Sekarang orang reka pula tarikh yang baru," jelasnya.

Walaupun pernah menghadapi 'insiden' yang memalukan sedikit masa lalu, namun perkara tersebut bukanlah alasan buat pelakon ‘Roda-Roda Kuala Lumpur’ ini untuk terus mendiamkan diri. Sebaliknya 'insiden' itu membuatkan dirinya lebih tabah dan bijak membawa diri di dalam dunia yang penuh cabaran dan persaingan ini.

"Segala apa yang pernah berlaku pada diri saya akan saya jadikan sebagai pengajaran. Namun saya bersyukur kerana peminat tidak jemu-jemu memberikan sokongan. Malah kalau berjumpa dengan peminat di mana-manapun, mereka sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya. Ini membuktikan peminat terus bersama saya," katanya.

Bercerita tentang perkembangan kerjaya seninya pula, Memey menjelaskan dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran drama ‘Belaian Kasih’ di samping Arash Mohamad dan Vanidah Imran. Katanya di dalam drama yang bertemakan hari bapa itu, dia merasa cukup bertuah kerana dapat bekerjasama dengan ramai pelakon senior yang berbakat besar.

Selaian ‘Belaian Kasih’, dia juga dalam proses penggambaran drama bersiri ‘Puteri Arora’ yang bakal ditayangkan tidak lama lagi. Drama bersiri itu menggandingkannya dengan ramai pelakon popular termasuklah Norish Karman, Aida Aris dan Ikram Dinzly.

"Saya gembira kerana sekarang peminat dan pengarah semakin mempercayai bakat saya. Saya harap kerjaya lakonan saya akan terus bersinar dan mendapat pelbagai tawaran menarik selepas ini," jelas Memey.

Post a Comment

0 Comments