Iqram Tidak 'Lembut'


Bila dikatakan seseorang lelaki itu berperwatakan lembut, tanggapan pertama masyarakat, lelaki tersebut ‘gay’, apalagi jika dia terlibat di dalam industri hiburan. Atas sebab itu, tidak menghairankan mengapa ada yang beranggapan Iqram Dinzly antara pelakon lelaki tempatan yang tergolong dalam kategori itu.

Dalam perbincangan topik ‘Lelaki Lembut’ di ‘Wanita Hari Ini’ (TV3) Selasa lalu, Iqram memberitahu lelaki lembut boleh juga dikategorikan sebagai kaum lelaki yang bersopan santun, yang dijaganya tatasusila mereka, atau anak emak yang mana perwatakan mereka lembut tetapi di dalamnya masih lelaki sejati.

Diterapkan nilai bersopan-santun sejak kecil oleh ibu bapanya, Iqram tidak melihat label lelaki lembut sebagai sesuatu yang negatif, walaupun ia mengundang sangkaan yang sedemikian daripada masyarakat umum.

“Mula-mula tu, terasalah juga tapi sekarang ni, saya dah lali. Kita tidak boleh tutup mulut orang. Saya tak boleh kata mereka takde hak untuk bercakap. Yang penting, keluarga dan ibu bapa, dan kawan-kawan yang kenali saya kerana mereka tahu apa yang saya lakukan.

“Tapi saya bersyukur ada yang memberi perhatian pada saya kerana itu tandanya mereka sayang. Kalau sudah tidak peduli, buat apa nak cakap,” jelas Iqram yang turut menegaskan pergaulan dengan kawan-kawan yang mempunyai kecenderungan sebegitu tidak bermakna dia juga seperti itu.

Tambahnya lagi, tiada seorang manusia yang dilahirkan sempurna dan walau apapun kecenderungan mereka, hanya Allah yang berhak menghukum.

Mengenai reaksi ibu bapanya apabila terbaca cerita sebegini tentang anak mereka di akhbar, jawab Iqram, “Tiada ibu bapa yang berfikiran buruk tentang anak mereka. Ibu bapa saya open-minded dan mereka faham. Mereka selalu ingatkan saya untuk menghormati orang, merendah diri, jangan buat benda jahat atau lupa Tuhan dan sembahyang.”

Namun jika ditanya anak kelahiran Ipoh, Perak ini, tidak dilihat dirinya sebagai lelaki lembut kerana “jika saya lembut taklah saya patah kaki naik motor, membuat aktiviti lasak”.

“Jadi, bagaimana tafsirannya? Adakah mereka ingin saya bercakap kasar? Nanti orang pula kata saya panas baran, kurang ajar (seperti yang diperkatakan selepas rancangan ‘Wakenabeb’ dimana Iqram telah dipermainkan). Sebab itu saya cuba tanamkan sifat kesederhanaan, in between, lihat pada keadaan.”

Sememangnya bukan mudah untuk memuaskan hati semua orang. Bagi Iqram yang sudah tidak lagi asing dengan kontroversi, apa yang berlaku itu dilihat sebagai satu permainan hidup.

“Saya pernah berputus asa, melihatkan hipokrasi di dalam industri ini. Tapi bila difikirkan balik, ini semua satu permainan hidup. Sama ada saya kalah atau ‘checkmate’. Alhamdullilah, saya banyak mendapat hidayah tentang kehidupan dalam setiap dugaan yang saya lalui, dan saya mengambil semuanya sebagai input untuk berjaya.”

Post a Comment

0 Comments