Tiada angin tiada ribut tiba-tiba timbul gosip yang Almy Nadia sudah putus cinta dengan Fizz Fairuz selepas empat tahun menjalin kasih. Mungkin kerana ada yang dengki, mungkin disebabkan mereka jarang ditemui hadir di majlis bersama-sama. Almy, bila diminta komen, pun tidak tahu bagaimana boleh timbulnya cerita ini.
Yang pasti, sejak terkeluarnya berita itu, aktres manis ini terpaksa kuatkan diri untuk menghadapi pertanyaan para media dan orang sekeliling.
“Tapi saya tak terlalu fikirkan benda-benda seperti ini. Saya letak ke tepi. Fokus saya pada keluarga dan kerjaya, bukannya gosip. Mulut tempayan boleh ditutup tapi mulut manusia tidak boleh.
“Saya dapat tahu cerita ini pun dari suratkhabar. Selepas keluarnya berita itu, orang mula telefon saya, tanya betul ke cerita itu. Saya cuma jawab ‘no komen’,” jelas Almy yang mengakui terasa sedikit tegang dengan khabar angin tersebut.
“Sebab itu sebagai selebriti semangat kita perlu kuat. Jika tergoyang sikit, orang akan mengambil kesempatan dan ‘menyerang’ kita. Jadi bila timbulnya gosip seperti ini, lebih baik kita buat tak tahu saja.”
Tambahnya, “Tipu jika saya katakan saya tak sakit hati mendengar orang bercerita macam-macam. Saya ada menangis tapi bila di depan orang ramai, saya senyum saja. Itulah kehidupan selebriti. Kita perlu hadapi semuanya dengan jiwa yang kuat. Nak taknak kita perlu laluinya.
“Jika saya inginkan perhubungan kami tahan lama, sehingga ke jinjang pelamin, ada anak, saya perlu kuat. Saya redha dengan apa yang berlaku.”
Ditemui petang tadi selepas majlis Media Prima Berhad TV Raya Screenings 09 di Sunway Resort Hotel & Spa, Bandar Sunway, Almy mendedahkan berita ini belum lagi diketahui Fizz yang sedang sibuk menjalani penggambaran ‘Nur Kasih’ di Jordan dan dijangka akan pulang minggu ini.
Menurut gadis berusia 23 tahun ini, perkara ini tidak dimaklumkan kepada Fizz kerana perwatakannya yang lebih senang memendamkan semua di dalam hati.
“Bukan mudah mencari seorang kawan yang dapat bersama kita pada masa kita susah. Dan saya pun tak mahu bebankan keluarga,” jelas Almy.
0 Comments